Skip to main content

Wanita Hindu

Pengenalan

Yasodha dengan Sri Krishna
Sekiranya tahap kecemerlangan sesuatu tamadun dan kebudayaan bergantung kepada tahap kecemerlangan kaum wanitanya, maka, wanita-wanita zaman Veda dan Purana telah memenuhi tahap ini tanpa sebarang keraguan. Wanita-wanita zaman Veda dan Purana menjadi ideal kewanitaan yang unggul dan boleh menjadi aspirasi tinggi untuk semua zaman. Wanita-wanita Hindu telah mencatatkan nama mereka dalam pelbagai bidang ilmu yang tinggi seperti, keagamaan, kerohanian, ilmu mistik, falsafah, kesusasteraan, ilmu pertahanan dan peperangan, pentadbiran kerajaan dan pelbagai kesenian. 

Agama Hindu menetapkan bahawa matlamat akhir kehidupan ialah untuk mencapai Tuhan dan mendapatkan ilmu-Ketuhanan. Orang-orang yang berjaya memperolehi ilmu-Ketuhanan ini dinamakan sebagai Brahmajnani. Sejak zaman Rig Veda, terdapat ramai wanita-wanita alim yang telah menjadi Brahmajnani (atau Brahmavadini) seperti Vagambhrni. Gargi Vacaknavi ialah seorang mahaguru yang arif, yang tidak segan untuk mencabar para pendeta dalam hal-hal agama dan falsafah. Sulabha ialah seorang mistik yang disebut dalam Mahabharara, Santiparva 320. Arundhati ialah seorang Acharya atau guru rohani. Dalam zaman moden pula, tokoh-tokoh wanita Hindu yang telah memberikan sumbangan besar kepada agama dan tamadun Hindu ialah Andal (kurun ke-8 atau 9 M), Akka Mahadevi (c.1130-1160 M), Mirabhai (1547-1614 M), Sri Sarada Devi (1853- 1920 M), dan Anandamayi (1896-1982).
Rani Lakshmi Bai dari Jhansi
Wanita-wanita Hindu juga telah membuktikan kebolehan mereka dalam bidang pemerintahan seperti Ahalyabhai Holkar (1735-1795 M) dan ketenteraan seperti Nayakadevi dari Gujarat (1158 M). 

Selain itu, dari segi domestik, wanita Hindu juga telah mencapai tahap yang tertinggi sebagai ibu yang ideal,  isteri yang ideal, kekasih yang ideal dan anak yang ideal. Savitri, Sita, Anasuya, Radha dan Andal menjadi lambang cinta, kesetiaan dan kesucian wanita Hindu. 

Dasar Hinduisme

Apakah faktor kecemerlangan wanita Hindu? Apakah yang memberikan wanita Hindu satu status yang tinggi dalam kalangan wanita-wanita bangsa lain? Jawapannya ialah Vedanta. Sebagai intipati kitab-kitab suci agama Hindu, Vedanta telah mengumumkan tanpa sebarang keraguan bahawa lelaki dan perempuan adalah dua aspek berlainan ketuhanan yang sama (Svetasvatara Upanishad 1.4.3). Maka, kedua-dua jantina mempunyai kemampuan untuk menyedari ketuhanan ini. Akibatnya, tanpa sebarang diskriminasi, agama Hindu memberikan hak yang sama rata kepada lelaki dan perempuan untuk menyedari potensi ketuhanan mereka. Maka, wanita juga diberikan hak untuk mencari ilmu dan kebenaran. Maitreyi ialah seorang sadhaka (penuntut) Kebenaran (Brhadaranyaka Upanishad 2.4.3-5) dan Vagambhri ialah seorang Brahmavadini yang sempurna (Rig Veda 10.125).

Satu lagi faktor asas perlu diingati. Menurut Vedanta, kedua-dua lelaki dan perempuan ialah pada asasnya Atman (roh) yang abadi. Atman mengambil sesuatu rupa tertentu, sama ada dalam badan lelaki atau perempuan, bergantung kepada Karmanya. Oleh itu, Karma seseorang boleh menyebabkan kelahiran-kelahiran semulanya kadang-kadang sebagai lelaki dan kadang-kadang sebagai perempuan. 

Kedua-dua faktor ini telah memberikan wanita Hindu kebebasan penuh untuk mencapai kecemerlangan duniawi atau rohani. 

Perubahan 

Kecuali 'perubahan', segala-galanya berubah. Demikan, keadaan wanita dalam masyarakat Hindu berubah secara beransur-ansur. Wanita yang pada zaman Veda mengambil bahagian bersama dalam upacara keagamaan, mula hilang kepentingan dengan kewujudan satu sistem atau kelas 'sami' yang berasingan. Idea ini julang kali disuarakan oleh bangsa Assyria dari keturunan Semitik yang mengajar doktrin bahawa kaum wanita tidak ada sebarang hak walaupun selepas berkahwin. Idea Babylonia ini diserap ke dalam masyarakat Persia. Dari Persia, idea ini merebak ke Rom dan Greece dan akhirnya, taraf wanita di seluruh dunia mengalami kemunduran. 

Perubahan dalam sistem perkahwinan juga menjadi pemangkin perubahan. Pada awalnya, masyarakat mengamalkan sistem matriaki di mana ibu menjadi ketua keluarga. Tempat ibu diambil alih oleh anak perempuan dalam keluarga. Dengan peredaran zaman, sistem patriaki menjadi lebih meluas sehingga pada hari ini, matriaki hanya tinggal dalam beberapa kelompok kecil sahaja. 


Perubahan seterusnya dibawa oleh perkembangan agama Buddha yang memperkenalkan institusi kerahiban.  

Pendidikan 

Rig Veda, kitab suci Hindu yang tertua, mempunyai dua puluh tujuh Rishi wanita (atau dikenali sebagai Rishika) seperti Visvavara (5.28), Apala (8.91), dan Ghosa Kaksivati (10.39) sebagai Rishi-rishi yang mencapai tahap kerohanian yang tertinggi dan  melihat ayat-ayat suci. 

Dalam zaman Veda, anak-anak perempuan juga menjalani upacara 'Upanayana' (pemakaian benang suci dan mendapatkan mantera Gayathri). Selepas upacara 'Upanayana', mereka akan menetap di Gurukula (kediaman Guru) untuk mempelajari Veda. Pelajar-pelajar perempuan ini dikenali sebagai 'Brahmavadini'. 

Sekiranya seorang gadis tidak meneruskan pendidikannya di Gurukula, dia akan dikahwinkan selepas upacara Upanayana. 

Tradisi menghantar anak perempuan ke Gurukula, nampaknya telah berakhir secara beransur-ansur. Tanggungjawab mengajar seorang anak perempuan diambil alih oleh bapa atau seorang lelaki tua dalam setiap keluarga. 

Tradisi memberikan upanayana dan mengajar Veda kepada anak perempuan telah berterusan sehingga ke zaman Purana. Kemungkinan tradisi ini telah hilang pada masa Manu Smriti ditulis iaitu sekitar 200 S.M. 

Mirabai
Keadaan wanita Hindu mula merosot sejak beransur-ansur sejak zaman Dharmasastra dan Smriti. Akhirnya, status wanita disamakan dengan status golongan Sudra yang dinafikan segala hak dan kepentingan. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh kegoncangan dalam masyarakat disebabkan penaklukan dan penjajahan kuasa-kuasa asing yang berterusan. Bagi melindungi golongan wanita daripada ancaman asing, masyarakat Hindu terpaksa menyekat kebebasan wanita. Dalam masa panjang, ini menyumbang kepada kelemahan dan kemundaran masyarakat Hindu.  

Namun, dalam zaman kegelapan (sejak 900 M) ini juga, terdapat beberapa orang wanita yang telah memberikan sumbangan dalam pelbagai bidang dan menegakkan semula semangat India purba. Antaranya ialah Karaikkal Ammaiyar (kurun ke-6 M), Mangayarkkarasiyar, Godadevi (kurun ke-8 atau 9 M), Ketaladevi (kurun ke-12 M), Nayakadevi (dari Gujarat, 1158 M), Ahalyabai Holkar (1735-1795 M), dan Mirabai (1547-1614 M).   

Perkahwinan Hindu

Perkahwinan atau Vivaha adalah salah satu daripada enam belas Samskara (kewajipan agama) seorang Hindu. 

Isteri dipanggil sebagai Ardhangini (secara literal bermaksud ‘separuh badan’). Suami isteri dianggap sebagai dua bahagian kepada satu perkahwinan yang ideal. Isteri juga dipanggil sebagai sahadharmini yang bermaksud “pekongsi dalam kehidupan rohani”. Suami isteri harus bekerjasama untuk mencapai perkembangan kerohanian. Seorang individu dalam masyarakat Aryan diingatkan tentang matlamat akhir hidup – iaitu kesedaran Tuhan – pada setiap tahap hidupnya.
Perkahwinan antara Siva dan Parvati Devi

Mantera-mantera suci yang diucap ketika upacara perkahwinan dan masih diikuti pada masa ini telah diberikan oleh Rig Veda (10.85.6-47). Ini menunjukkan bahawa institusi perkahwinan Hindu telah menjadi kukuh pada zaman Rig Veda. 

Tujuan utama sesuatu perkahwinan Hindu ialah untuk memberikan hak kepada seorang lelaki untuk menjalankan upacara keagamaan. Ini kerana, seorang lelaki dianggap tidak sempurna tanpa isterinya. Isteri dipanggil sebagai Saha Dharmini (penganut agama bersama) yang membantu seseorang lelaki untuk mengamalkan agamanya. Seorang bujang atau duda tidak boleh menjadi sami atau melakukan apa-apa ritual agama. Ini merupakan satu ciri utama yang membezakan masyarakat Hindu dengan masyarakat Semitik. Dalam masyarakat Semitik (iaitu penganut-penganut agama Yahudi, Kristian dan Islam), kehadiran seorang perempuan dianggap sebagai mengugut kealiman seseorang dan perempuan tidak ada apa-apa hak untuk melakukan sebarang upacara ritual. 

Perkahwinan juga penting bagi melahirkan anak-anak yang baik. Anak yang dilahirkan hasil daripada doa kedua-dua suami isteri dinamakan sebagai 'Aryan'. Anak yang dilahirkan daripada kepuasan nafsu semata-mata tanpa sebarang doa pula dinamakan 'bukan Aryan'. 

Menurut Swami Vivekananda, asas perkahwinan Hindu adalah untuk kebaikan negara dan masyarakat dan bukannya untuk kebahagiaan individu. 

Dalam 'Modern India', Vivekananda menyatakan tentang peranan perkahwinan dalam masyarakat India moden begini: 

'India moden berkata, "Kami mahu kebebasan penuh dalam pemilihan suami dan isteri. Ini kerana perkahwinan melibatkan kebahagiaan dan kesengsaraan untuk seluruh masa depan kami. Kami mesti mempunyai hak untuk menentukan (pasangan) mengikut kehendak hati kami sendiri." Di pihak yang lain pula, India purba mengarahkan, "Perkahwinan bukan untuk keseronokan fizikal, tetapi untuk mengekalkan bangsa. Ini adalah konsep perkahwinan India. Dengan melahirkan anak-anak, kamu menyumbangkan kepada dan bertanggungjawab terhadap masa depan masyarakat, sama baik atau buruk. Maka, masyarakat mempunyai hak untuk menentukan siapa yang kamu harus atau tidak harus berkahwin. Sesungguhnya, bentuk perkahwinan yang membawa lebih banyak kebaikan kepada masyarakat diamalkan. Oleh itu, lepaskan keinginan kamu untuk kebahagiaan sendiri demi kebaikan umum."' 

Seorang gadis dara yang berumur lebih kurang sepuluh tahun dipanggil sebagai 'Kanya' dalam teks-teks Hindu. Seorang Kanya dipercayai berada di bawah perlindungan dewa-dewa Soma, Gandharva dan Agni sebelum perkahwinannya. 

Seorang bapa (atau abang, sekiranya bapa si gadis telah meninggal dunia) bertanggungjawab untuk mengahwinkan anak perempuannya. Namun, sekiranya bapa atau abangnya gagal untuk melaksanakan tanggungjawab mereka, seorang gadis bebas untuk mencari suaminya sendiri. 

Syarat-syarat kelayakan seorang gadis untuk berkahwin telah berubah sejak beberapa kurun lepas. Menurut Bharadvaja Grhyasutra 1.6, antara syarat-syarat am ialah: 
  • bandhavam (ketulenan keluarga)
  • rupam (kecantikan)
  • prajna (kepintaran)
  • vittam (kekayaan)
  • Seorang gadis tanpa abang, dengan nama yang pelik, atau kesuciannya diragui, perlu dielakkan.  
Agama Hindu melarang dan mencemuh amalan perdagangan perempuan untuk tujuan perkahwinan. Amalan purba ini wujud di negara-negara lain tetapi Dharmasutra Hindu melarangnya sama sekali. Wang atau benda yang diterima oleh bapa seorang gadis semasa perkahwinannya (sebagai Kanyasulka) daripada keluarga mempelai, hendaklah diberikan kepada pasangan yang baru berkahwin untuk kegunaan mereka.

Perkahwinan kanak-kanak atau sebelum mencapai umur adalah salah satu kesan akibat sekatan yang dikenakan terhadap golongan wanita. Perkahwinan kanak-kanak juga menyumbang kepada satu lagi sumpah masyarakat iaitu janda kanak-kanak. Penderitaan wanita-wanita Hindu selepas kematian suami menjadi satu isu penting dalam pembaharuan agama Hindu dan masyarakat India. Gerakan pembaharuan sosial seperti di bawah pimpinan Isvara Chandra Vidyasagar (1820-1891 M) yang cuba untuk memperkenalkan perkahwinan semula wanita-wanita Hindu tidak begitu berjaya. 

Dalam Hinduisme, perkahwinan dianggap sebagai suatu pertalian dan hubungan suci yang abadi. Oleh itu, idea pembubaran atau perceraian tidak wujud dalam agama Hindu. Selepas kematian suami, seorang isteri diharapkan untuk menjalani kehidupan yang suci seperti seorang Brahmacharini. Dengan mengekalkan kesucian dan kesetiaannya, dia dapat bersatu dengan suaminya, sama ada di syurga atau dalam kelahiran semula. Inilah rasional sebenar di sebalik amalan 'Sati' yang sering disebut untuk mengkritik masyarakat Hindu. 

Menurut Dharmasastra, terdapat lapan jenis perkahwinan. Namun, hanya empat iaitu brahma, daiva, arsa dan prajapatya diiktiraf sebagai perkahwinan yang sah.

Keibuan

Masyarakat Hindu memberikan tempat tertinggi dan paling mulia untuk ibu. Menurut Manu Smriti 2.145, kedudukan ibu adalah lebih tinggi bapa, dan ibu diberikan status dewi. Tiada apa-apa yang dapat menghindari sumpah seorang ibu. Seorang Sannyasin yang harus disembah oleh semua orang termasuk bapanya sendiri, perlu menunduk hormat di hadapan ibunya. Secara literal, ibu adalah Tuhan pertama bagi seorang anak Hindu. Di India, wanita yang ideal ialah ibu. 

Swami Vivekananda membandingkan idea kewanitaan dalam masyakarat India dan masyarakat Barat begini: 


"Bagi seorang Hindu, perkataan perempuan mengingatkan tentang ibu. Tuhan dipanggil sebagai Ibu. Semasa menjadi kanak-kanak, setiap hari, pada awal pagi, budak-budak lelaki akan membawa secawan air dan meletakkannya di depan ibu. Ibu mencelup ibu jari kakinya ke dalam air itu dan kami akan meminumnya. 


"Di Barat, wanita adalah isteri. Kewanitaan tertumpu pada idea isteri. Bagi seorang lelaki India biasa, seluruh kewanitaan tertumpu dalam keibuan. Isteri memerintah sesebuah keluarga Barat. Dalam keluarga India pula, ibu yang berkuasa. Di Barat, jika seorang ibu datang ke rumah anaknya, dia perlu tunduk pada si isteri kerana isteri memiliki rumah itu. Sebaliknya (di India), seorang ibu sentiasa tinggal di rumah kami dan isteri mesti tunduk padanya. Ini adalah idea-idea yang berbeza. 


"Jika kamu tanya, "Apakah kedudukan seorang wanita India sebagai isteri?", orang India bertanya, "Apakah kedudukan wanita Amerika sebagai ibu?" Siapakah dia yang hebat, yang memberikan saya badan ini? Siapakah dia yang mengandung saya selama sembilan bulan? Di manakah dia yang sanggup memberikan hidupnya dua puluh kali untukku, sekiranya perlu? Di manakah dia yang kasihnya tidak akan lupus, meskipun aku seorang yang kejam dan keji? Di manakah dia berbanding wanita yang meminta cerai di mahkamah sebaik sahaja saya melayannya sedikit buruk?" 


"... Apabila kami mati, pada saat itu juga, kami tidak mahu isteri atau anak-anak kami mengambil alih tempat ibu? Ibu kami! Jikalau kami mati dahulu, kami mahu mati dengan meletakkan kepala pada pangkuan ibu sekali lagi. Di manakah dia? Adakah perempuan suatu nama yang harus dikaitkan hanya dengan badan fizikal? Tidak! Seorang Hindu takut untuk memikirkan sebarang idea yang mengatakan bahawa badan mesti bersatu dengan badan. Tidak, tidak! Perempuan! kau tidak harus dikaitkan dengan apa-apa yang berkaitan dengan badan. Untuk selama-lamanya, nama 'ibu' telah menjadi suci. Selain 'ibu', adakah nama lain yang tidak boleh didekati oleh nafsu berahi? Adakah nama lain yang tidak boleh dicemari oleh hawa nafsu? Inilah ideal di India."


Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Agama Hindu - Dharma yang Abadi

Pengenalan  Sejarah agama Hindu menjangkaui lebih 8,000 tahun. Perkataan 'Hindu' kemungkinan berasal daripada perkataan "Sindhu", sebuah sungai. Daripada rujukan geografi dan etnik, kemudiannya perkataan 'Hindu' digunakan untuk merujuk kepada agama yang dianuti oleh masyarakat ini.

Sememangnya perkataan Hindu bukan suatu kosa kata yang tepat atau tradisional untuk 'Agama' masyarakat majmuk yang kini dikenali sebagai orang Hindu. 
Perkataan 'Hindu' tidak pernah digunakan secara tradisional dalam sebarang kitab suci. Negara India juga secara tradisional dikenali sebagai 'Bharata Varsha' atau 'Bharatam'. 
Dalam tradisi Bharatam, tidak ada sebarang perkataan khusus yang membawa maksud 'Agama'. 
Agama ialah kehidupan rohani (Adhyatmika Jivana) dan bukannya suatu sistem. Perkataan yang komprehensif yang digunakan ialah 'Dharma', yang meliputi segala aspek kehidupan dan 'agama'. Dalam kata lain, Dharma merangku…

Kuil Hindu

Pengenalan 
Kuil Hindu sering menjadi bahan cemuhan dan serangan. Apa yang menyedihkan ialah masyarakat Hindu sendiri sering mencemuh dan memandang rendah pada 'Kuil Hindu'. Cemuhan yang sering dilontarkan adalah bahawa tindakan membina atau melawat kuil adalah sia-sia. Mengapakah wang yang boleh digunakan untuk membina sekolah dan membantu orang miskin disia-siakan untuk membina kuil? Apakah gunanya bersembahyang di kuil? Bukankah Tuhan Maha Wujud dan berada di semua tempat? Malah perbuatan sembahyang juga sering dikutuk sebagai perbuatan meminta sedekah! 

Semua persoalan ini hanya menunjukkan kejahilan tentang konsep 'Kuil Hindu' dan kejahilan tentang matlamat hidup manusia! 

Menurut agama Hindu, matlamat hidup manusia adalah untuk mencapai kebebasan daripada kitaran kehidupan-kematian (samsara) atau dalam kata lain, untuk mencapai Tuhan. Tujuan Kuil Hindu adalah untuk membantu manusia biasa yang menjalani kehidupan berumahtangga untuk mencapai matlamat ini. Ibadat semb…

Thirukkural & Agama Hindu

Thirukkural dikenali sebagai suatu teks klasik dunia. Teks Tamil ini bukan sahaja suatu mahakarya yang penuh dengan nilai-nilai estetik dan kesusasteraan, tetapi ia juga suatu panduan hidup untuk seluruh umat manusia. Meskipun Thirukkural menjadi kitab untuk seluruh umat manusia tanpa mengenal agama, kaum, bangsa, darjat, dan seumpamanya yang membawa perbezaan sesama manusia, memang tidak dapat dinafikan bahawa Thirukkural patut kepada segala hukum-hukum asas agama Hindu. Thiruvalluvar tidak pada bila-bila masa pun mencabar atau menafikan sebarang hukum asas agama Hindu.  Doa dan Pujian Setiap kitab atau teks suci agama Hindu bermula dengan doa kepada atau pujian untuk Yang Maha Esa.

Setiap kitab atau teks suci agama Hindu bermula dengan doa kepada atau pujian untuk Yang Maha Esa. 
Thirukkural bermula begini:
"Agara mudala ezhuththellam Aadhi  Bhagavan mudhatre ulaku." "'A' adalah abjad pertama. Begitu juga, Tuhan menjadi asas dunia ini."
Dalam kebanyakan terj…