Skip to main content

Ayodhya, Lanka & Kishkindha

Pengenalan   

Tamadun dan kebudayaan tidak semestinya wujud bersama-sama. Sesuatu masyarakat yang bertamadun tidak semestinya mempunyai kebudayaan yang tinggi. Ketamadunan menjadikan kehidupan di dunia lebih selesa dan senang. Sebaliknya, kebudayaan mengajar kita untuk menggunakan semua benda-benda baik yang diberikan oleh tamadun untuk kebaikan berpanjangan semua orang. Ada kalanya, ketamadunan turut membawa bersama-samanya pelbagai kejahatan dan maksiat. Sebaliknya, kebudayaan, yang mengutamakan nilai-nilai murni dan etika, serta memberikan penekanan kepada kemajuan yang holistik dapat mengurangkan kesan-kesan buruk ketamadunan dan juga meningkatkan tamadun itu ke suatu tahap yang mulia. 

Ramayana oleh Valmiki memberikan kita kedua-dua aspek ini. Mahakarya ini memperkenalkan kita kepada tiga ketamadunan dan kebudayaan yang tipikal tetapi berlainan iaitu Ayodhya, Lanka dan Kishkindha. Kisah Ramayana berlaku pada zaman Treta Yuga.  


Treta Yuga 

Yuga ialah suatu unit masa yang besar dalam agama Hindu. Terdapat empat Yuga atau Caturyuga   menurut turutan berikut: Krita Yuga (juga dinamakan Satya Yuga), Treta Yuga, Dwapara Yuga dan Kali Yuga. Yuga kedua dinamakan Treta (= tiga) kerana jangka masanya tiga kali lebih panjang daripada Kali Yuga. Yuga ini berlanjutan selama 3600 tahun Tuhan atau 1,296,000 tahun manusia. 

Dalam Krita Yuga, Dharma atau kebaikan wujud dengan sepenuhnya. Dalam Treta Yuga pula, Dharma telah merosot hampir satu suku. Namun, manusia masih berpegang kepada kebenaran dan melakukan tugas-tugas mereka dengan baik.

Upacara ritual korban atau Yajna (atau Yaga) telah wujud julung kali dalam Yuga ini. Maka, upacara-upacara ritual amat popular dalam zaman ini. Pelbagai upacara korban dilakukan untuk mencapai sesuatu matlamat atau niat. Dasaratha melakukan upacara Aswamedha Yaga dan Putra Kameshthi Yaga untuk mendapatkan anak. Vishwamitra membawa Rama dan Lakshmana ke upacara korban Raja Janaka di Mithila. Indrajit melakukan yaga untuk mendapat kemenangan di medan peperangan. Selepas menaiki takhta Ayodhya, Rama juga melakukan Aswamedha Yaga yang dihadiri oleh Rishi Viswamitra bersama-sama Lava dan Kusa

Ramayana juga menunjukkan bahawa upacara-upacara ritual yang dilakukan oleh para Rishi sering dihalang dan diganggu oleh golongan Asura. Vishwamitra menjemput Rama dan Lakshmana untuk melindungi asramanya ketika upacara korban dijalankan. Apabila Rama dibuang negeri ke hutan Dandaka, para Rishi memintanya untuk melindungi mereka daripada serangan Asura
. 

Ayodhya

Ayodhya merupakan kota pertama antara tujuh kota suci India. Kota purba ini dipercayai sebagai sebuah tempat untuk mencapai Moksha. Kota ini juga terkenal sebagai tempat lahir Sri Rama, Jelmaan Tuhan. 
  
Menurut sejarah, kota ini ditubuhkan oleh Manu, raja pertama India sebagai pusat kerajaannya. Antara raja-raja terkenal yang memerintah dari Ayodhya ialah Ikshvaku, Mandhata, Harischandra, Bhagiratha, Dilipa dan Raghu. Rishi Vasistha dan keturunannya menjadi sami diraja. 

Ayodhya ialah sebuah tamadun yang telah mencapai kebudayaan yang tertinggi. Valmiki memberikan deskripsi tentang kota Ayodhya di bawah pemerintahan Dasaratha dan kemudiannya di bawah Rama.

Kota ini penuh dengan istana-istana yang mengagumkan. Jalan-jalannya luas, bersih dan dihiasi dengan cantik. Kubunya kuat dan penuh dengan semua kelengkapan pertahanan. Pasukan tentera Ayodhya sentiasa bersedia untuk menghadapi medan pertempuran. Mereka berpegang kuat kepada Yuddhadharma atau etika peperangan. Penduduk Ayodhya hidup dengan aman, selesa dan gembira. Setiap penduduk Ayodhya melakukan pekerjaan yang sesuai dengan kebolehan dan kelayakan mereka. Pembelajaran dan penyebaran ilmu Veda serta pelaksanaan upacara agama berjalan tanpa sebarang halangan.


Raja memerintah kerajaannya dengan penuh efisyen dibantu oleh para menteri dan penasihat yang bijak. Para rishi menjadi penasihat dan sami diraja. Satya (kebenaran) dan Dharma (Kebaikan) menjadi tunjang kerajaan dan kehidupan setiap penghuni Ayodhya. Tugas dan tanggungjawab empat varna (brahmin, kshatriya, vaisya, dan sudra) dan empat asrama (brahmachari, grihasta, vanaprastha, dan sannyasa) diikuti dengan ketat.

Ramayana menunjukkan bahawa semakin tinggi seseorang berada dalam hierarki sosial, semakin tinggi tanggungjawab sosial dan disiplin dirinya. Golongan bangsawan dikehendaki mengamalkan disiplin diri yang ketat kerana tanpa disiplin, secara beransur-ansur, mereka akan kehilangan kuasa mereka. Seorang Kshatriya, terutamanya raja perlu melindungi negara dan penduduknya dan mempertahankan Dharma. Seorang raja juga diharapkan untuk mematuhi segala etika moral, hukum-hukum agama dan Dharma. Demi kebaikan penduduknya, raja juga perlu bersedia untuk melepaskan segala suka duka dan kepentingan dirinya. Tragedi yang menimpa Dewi Sita adalah bukti keadaan ini. Meskipun Rama mengetahui tentang kesucian Sita, Rama terpaksa menolak Sita dan menghalaunya dari Ayodhya.  

Kemewahan duniawi, keseronokan jasmani, dan kekuasaan langsung tidak menggoda putera-putera Ayodhya. Asas kehidupan mereka ialah Dharma dan kebaikan orang lain. Dasaratha yang terikat dengan janjinya kepada Kaikeyi, Rama yang serta-merta mengikuti titah ayahandanya untuk melepaskan haknya dan pergi ke hutan, kesediaan Lakshmana dan Sita untuk mengikuti Rama ke hutan, percubaan Bharata untuk membawa balik Rama, semua ini menunjukkan suatu masyarakat yang berbudaya tinggi.   



Lanka

Mali ialah pengasas awal kota Lanka. Kota ini direka oleh Vishvakarma, arkitek dewa. Mali dibantu oleh Malyavan dan Sukesa, saudara-saudaranya dalam memerintah kerajaan Lanka. Oleh kerana, Mali seorang pemerintah yang zalim yang mengancam dewa-dewi, Maha Vishnu menghapuskannya. Golongan raksasa meninggalkan kota Lanka dan berpindah ke Patala. Lanka diberikan kepada Kubera, raja Yaksha (dewa-dewi minor). Ravana merampas Lanka daripada Kubera dan menghalaunya. Kota ini dilindungi oleh Lankini, seorang dewi raksasa sehingga Hanuman menewaskannya.

Kerajaan Lanka di bawah pemerintahan Ravana menjadi sebuah kota mewah yang menakjubkan. Keindahan kota ini dijelaskan dengan terperinci dalam buku Sundara Kanda, Ramayana. Namun, hampir ke semua kemewahan dan kekayaan kota ini adalah hasil daripada rompakan atau rampasan peperangan. Kota ini penuh dengan istana-istana, bangunan-bangunan besar, dan taman-taman yang indah. Penduduknya berbadan besar dengan penampilan yang mengerunkan. Perbuatan kanibalisme dan meminum arak  amat berleluasa. Golongan Brahmin di Lanka lebih cenderung kepada upacara-upacara sihir dan ilmu hitam. Kebanyakan kuil di Lanka adalah untuk dewa-dewi yang menakutkan seperti Badrakali. Ravana dan puteranya, Indrajit menyembah Badrakali di sebuah tempat tersembunyi bernama Nikumbhila untuk mendapatkan kemenangan dalam peperangan dan senjata-senjata ajaib. Ravana dan Indrajit juga mahir dalam Maya Yuddha, peperangan yang menggunakan ilmu sihir dan kuasa ajaib untuk memperdayakan musuh. Satu-satunya matlamat hidup penduduk Lanka ialah untuk menikmati keseronokan duniawi.

Ravana ialah seorang raja yang amat berkuasa, berpendidikan dan berkebolehan. Ravana juga dapat menjalani disiplin agama yang rumit. Namun, nafsu yang tidak terkawal, keegoan dan sifat mementingkan diri sendiri telah membawa kepada kekalahan Ravana, kejatuhan dan akhirnya kemusnahan Lanka

Satu-satunya penduduk Lanka yang mengikuti Dharma ialah Vibhisana, adik Ravana. Lanka telah selamat daripada kemusnahan sepenuhnya disebabkan Vibhisana. Selepas menewaskan Ravana, Rama menabalkan Vibhisana sebagai raja Lanka. 




Kishkindha

Kota ini digambarkan sebagai sebuah gua. Kemungkinan ia terletak di kawasan pergunungan dan jalan ke kota ini menerusi sebuah gua. Kota ini amat luas dengan bangunan-bangunan yang cantik dan dipenuhi dengan segala keselesaan seperti suatu tamadun yang maju


Namun, Valmiki telah menggambarkan penduduk Kiskindha sebagai 'vanara' atau monyet-monyet. Jika kita mengaji seluruh Ramayana, kita boleh merumuskan bahawa 'vanara' ialah suatu perkataan simbolik. Perkataan 'va-nara' mungkin bermaksud, 'atau, mungkin dia adalah seorang manusia'. Muka masyarakat ini mungkin serupa dengan rupa monyet. Namun, mereka bercakap dalam bahasa manusia. Golongan perempuan vanara tidak mempunyai ekor dan mereka juga dihuraikan sama seperti perempuan dalam spesis manusia. Maka, kita boleh merumuskan bahawa vanara adalah masyarakat yang hidup di kawasan pergunungan, perhutanan dan persisiran sungai. Mungkin mereka mewarnai diri mereka seperti monyet dan mengikat kain yang panjang di belakang seperti ekor. Mungkin monyet adalah simbol negara mereka. 


Penduduk Kishkindha mempunyai badan yang tegap dan kuat. Mereka juga mahir dalam seni gusti. Mereka menggunakan gigi dan kuku mereka serta beberapa peralatan daripada batu atau dahan ketika bertempur. Masyarakat vanara juga nampaknya tidak mahir dalam penggunaan senjata buatan. 


Penduduk Kishkindha juga mengamalkan pemakaian 'yajnopavita' (benang suci) dan melakukan upacara ritual Sandhya. Namun, adat perkahwinan dan hubungan lelaki-perempuan masyarakat ini tidaklah begitu beretika tinggi seperti dalam masyarakat Ayodhya. Kedua-dua lelaki dan perempuan vanara juga mempunyai ketagihan minuman keras.


Hanuman merupakan Vanara yang popular. Cinta bhakti, kesetiaan, kekuatan dan kebijaksanaan Hanuman adalah sesuatu yang amat jarang


Kerohanian lawan Kebendaan

Seperkara perlu diingati sebelum membaca atau mengaji mahakarya ini. Penulis mahakarya ini, Valmiki ialah seorang Rishi yang telah melepaskan segala nikmat duniawi dan menjalani kehidupan rohani demi kebaikan dunia dan untuk mencapai Tuhan. Matlamat utama mahakarya Valmiki ialah untuk menunjukkan bahawa evolusi moral dan rohani adalah kemajuan sebenar manusia dan bukannya pencapaian material atau kemajuan saintifik. Kemajuan sebenar manusia adalah di dalam dirinya sendiri dan bukan di luar. Di luar, seseorang mungkin kelihatan kasar, primitif dan kolot, tetapi di dalam, mungkin dia mempunyai moral dan etika yang tinggi. Watak-watak seperti Hanuman, Jambavan, dan Jatayu nampaknya memberikan kita mesej ini. Meskipun dari segi penampilan, watak-watak ini kelihatan seperti binatang, namun mereka penuh dengan sifat-sifat terpuji seperti kesetiaan, persahabatan, kesanggupan untuk berkorban demi kebaikan orang lain. Satu lagi kemuliaan watak-watak ini ialah kebolehan mereka untuk mengenali dan menghargai kebaikan, kebenaran dan kerohanian.

Sebaliknya, seseorang yang lain, mungkin kaya-raya, berdarah bangsawan, mahir dalam segala seni dan sains, dan berpendidikan tinggi, tetapi sikapnya mungkin masih primitif dan seperti binatang. Inilah gambaran yang diperolehi daripada watak-watak Ravana dan Indrajit.

Falsafah Ramayana, secara ringkas ialah bahawa kekayaan, kekuatan fizikal atau kekuasaan tentera tidak boleh menyelamatkan seorang individu atau sebuah negara. Kepercayaan dan amalan Satya (kebenaran) dan Dharma (Kebaikan) yang melindungi manusia dan negara! 

Mahakarya ini memberikan kita semua ideal-ideal dalam sebuah masyarakat dan kebudayaan yang tertinggi. Rama ialah seorang lelaki, suami, anak, abang, sahabat, dan raja atau pemerintah yang ideal. Dewi Sita ialah seorang wanita ideal yang tiada tandingan dan menjadi simbol kewanitaan India. Keluarga Dasaratha menjadi sebuah keluarga yang ideal di mana setiap ahli mengutamakan kebaikan orang lain. Ramayana juga memberikan adik-beradik ideal, kawan-kawan ideal dan pekerja ideal. Contoh sebuah kerajaan yang ideal diberikan melalui Ramarajya. 


Dalam kata lain, mahakarya ini memberikan segala idea dan ideal kehidupan yang mulia yang boleh dicontohi dan diikuti oleh seluruh umat manusia dalam semua zaman. Ramayana bukan sebuah mitologi yang penuh dengan cerita dongeng. Ia adalah khazanah ilmu ketamadunan dan kebudayaan tertinggi yang telah mempengaruhi dan memperkayakan arus pemikiran, kreativiti, keagamaan dan kerohanian dunia. 

Comments

Popular posts from this blog

Kenapa Sembah Berhala?

Soalan Purba Salah satu soalan yang sering dilontarkan kepada seorang Hindu ialah: 'Kenapa kamu sembah patung?' Malah, dalam kalangan penganut Hindu sendiri, ramai yang tidak tahu atau pernah menyoal diri sendiri tentang perbuatan menyembah sesuatu berhala atau gambar. Ini bukan satu soalan yang baru! Soalan ini telah dikemukakan dan dijawab dalam kitab-kitab suci agama Hindu, terutamanya dalam teks-teks   Āgama   dan Purana .  Suatu peristiwa dalam riwayat Swami Vivekananda memberikan jawapan kepada soalan purba ini begini:  Raja Mangal Singh ialah seorang pemerintah di Alwar. Baginda seorang yang berpendidikan moden dan tidak mempercayai agama Hindu.   Dalam suatu pertemuan dengan Swami Vivekananda, Raja Mangal Singh bertitah: “Beta tidak percaya kepada penyembahan berhala. Tengok, beta tidak boleh menyembah  kayu, tanah, batu, atau logam, seperti orang lain. Jadi apakah nasib beta selepas beta mangkat?”   Swami Vivekananda menjawab, “Saya rasa setiap manusia har

Kuil Hindu

Kuil Sri Nandi di Bengaluru Pengenalan  Kuil Hindu sering menjadi bahan cemuhan dan serangan. Apa yang menyedihkan ialah masyarakat Hindu sendiri sering mencemuh dan memandang rendah pada 'Kuil Hindu'. Cemuhan yang sering dilontarkan ialah bahawa tindakan membina atau melawat kuil adalah sia-sia. Mengapakah wang yang boleh digunakan untuk membina sekolah dan membantu orang miskin disia-siakan untuk membina kuil? Apakah gunanya bersembahyang di kuil? Bukankah Tuhan Maha Wujud dan berada di semua tempat? Malah perbuatan sembahyang juga sering dikutuk sebagai perbuatan meminta sedekah!  Semua persoalan ini hanya menunjukkan kejahilan tentang konsep 'Kuil Hindu', perbuatan sembahyang, dan matlamat hidup manusia!  Menurut agama Hindu, matlamat hidup manusia adalah untuk mencapai kebebasan daripada kitaran kehidupan-kematian (samsara) atau dalam kata lain, untuk mencapai Tuhan. Tujuan Kuil Hindu adalah untuk membantu manusia biasa yang menjalani kehidupan beru

Thirukkural & Agama Hindu

Thirukkural dikenali sebagai suatu teks klasik dunia. Teks Tamil ini bukan sahaja suatu mahakarya yang penuh dengan nilai-nilai estetik dan kesusasteraan, tetapi ia juga suatu panduan hidup untuk seluruh umat manusia. Meskipun Thirukkural menjadi kitab untuk seluruh umat manusia tanpa mengenal agama, kaum, bangsa, darjat, dan seumpamanya yang membawa perbezaan sesama manusia, memang tidak dapat dinafikan bahawa Thirukkural patut kepada segala hukum-hukum asas agama Hindu. Thiruvalluvar tidak pada bila-bila masa pun mencabar atau menafikan sebarang hukum asas agama Hindu.  Doa dan Pujian Setiap kitab atau teks suci agama Hindu bermula dengan doa kepada atau pujian untuk Yang Maha Esa. Setiap kitab atau teks suci agama Hindu bermula dengan doa kepada atau pujian untuk Yang Maha Esa.  Thiruvalluvar, penulis Thirukkural Sumber: Pinterest Thirukkural bermula begini: "Agara mudala ezhuththellam Aadhi  Bhagavan mudhatre ulaku." "'A' adalah abja