Skip to main content

Kenapa Sembah Berhala?

Soalan Purba

Salah satu soalan yang sering dilontarkan kepada seorang Hindu ialah: 'Kenapa kamu sembah patung?' Malah, dalam kalangan penganut Hindu sendiri, ramai yang tidak tahu atau pernah menyoal diri sendiri tentang perbuatan menyembah sesuatu berhala atau gambar. Ini bukan satu soalan yang baru! Soalan ini telah dikemukakan dan dijawab dalam kitab-kitab suci agama Hindu, terutamanya dalam teks-teks Āgama dan Purana
Suatu peristiwa dalam riwayat Swami Vivekananda memberikan jawapan kepada soalan purba ini begini: 
Raja Mangal Singh ialah seorang pemerintah di Alwar. Baginda seorang yang berpendidikan moden dan tidak mempercayai agama Hindu.

 

Dalam suatu pertemuan dengan Swami Vivekananda, Raja Mangal Singh bertitah: “Beta tidak percaya kepada penyembahan berhala. Tengok, beta tidak boleh menyembah kayu, tanah, batu, atau logam, seperti orang lain. Jadi apakah nasib beta selepas beta mangkat?” 
Swami Vivekananda menjawab, “Saya rasa setiap manusia harus mengikuti agama yang dipercayainya.”  
Kemudian, Vivekananda meminta tuan rumahnya untuk membawa gambar Mangal Singh yang tergantung di dinding rumah itu. Apabila gambar itu dibawa, Vivekananda berkata kepada tuan rumahnya, Mari meludah ke atas gambar ini. Sesiapa sahaja boleh meludah ke atas gambar ini.” 
Semua orang di dalam bilik itu terperanjat dengan kata-kata Vivekananda. Tidak berani membuka mulut, mereka memandang muka Vivekananda dan Mangal Singh silih berganti. Swami mengulangi, “Ludah ke atasnya!” Tuan rumahnya membantah, “Swami, ini gambar Raja kami. Macam mana saya boleh melakukan perkara begitu?”
Vivekananda berujar, “Ini cuma sebuah gambar. Walaupun ini hanya sekeping kertas biasa, kamu enggan untuk meludah ke atasnya kerana gambar ini ialah bayangan Raja kamu. Gambar ini mengingatkan kamu tentang Raja. Oleh itu, meskipun ini cuma objek yang tidak bernyawa, kamu memberinya penghormatan yang sama kamu berikan kepada Raja kamu.”
Vivekananda berpaling kepada Mangal Singh dan berkata, “Tengok, tuanku; demikian juga penyembahan berhala. Berhala yang diperbuat daripada tanah liat, logam atau kayu mengingatkan seorang pemuja tentang Tuhan Yang Maha Esa. Berhala itu bukan Tuhan tetapi berhala itu mengingatkan pemuja tentang Tuhan. Tidak ada orang yang memuja berhala, mengatakan, "'Wahai Batu, saya menyembah-Mu. Wahai Logam, tolong berkati saya.'"
Kepentingan Penyembahan Arcā
Durga Yantra 
Dalam agama Hindu, Tuhan boleh disembah pada empat tempat (catus-sthānārcanā) iaitu dalam sesuatu arca, api suci, maṇḍala atau yantra (bentuk geometri) dan air.

Sebagai alternatif, empat ‘tempat’ ini ialah hati sendiri, Kalaśa (belangga air suci), matahari dan arca.  

Butir-butir penyembahan akan berbeza bergantung kepada ‘tempat’ yang dipilih. Pilihan ‘tempat’ pula bergantung kepada tahap intelek dan rohani seorang individu. 

Antara semua ‘tempat’ penyembahan ini, penyembahan arca adalah yang paling mudah dan sesuai untuk semua orang.[1]

Kosa Kata 
Berhala atau Arcā ialah perkataan Sanskrit yang berasal sejak zaman Rig Veda. Perkataan ini berasal dari kata dasar ‘arc’ yang bermaksud ‘memuji dengan ayat-ayat suci’[2]. 

Menurut Vaijayantī Kośa, arcā bermaksud ‘pemujaan’ dan ‘objek yang dipuja’[3].

Amara Kośa pula memberikan definisi Arcā sebagai ‘suatu objek yang boleh dipuja’.[4]

Arcā dikenali dalam bahasa Melayu sebagai ‘arca’.

Arcā dalam bahasa Sanskrit juga disebut sebagai ‘Vigraha’ iaitu arca yang diperlakukan dengan istimewa (viśeshena grhyate iti). 

Pembuatan Arcā

Arcā Nataraja
Arcā yang diperbuat oleh manusia harus mengikuti Dhyana Śloka dalam teks-teks Śilpa Śāstra

Dhyana Śloka ialah ayat-ayat suci yang didedahkan kepada para Rishi yang melihat rupa-rupa berlainan Tuhan. Ayat-ayat suci ini memberikan deskripsi sesuatu rupa Tuhan. Seorang Śilpi perlu merenungkan ayat-ayat suci itu, melakukan meditasi dan berdoa kepada Tuhan untuk mendedahkan rupa-Nya seperti yang disebut dalam Dhyana Śloka. Maka, Arca yang dibuat oleh seorang Śilpi bukan suatu imaginasi atau rekaan Śilpi itu sendiri.

Maksud Penyembahan Arcā
Arcā yang disembah dengan khas hanya menjadi satu ‘perantara’ untuk berhubung dengan Tuhan (ālambanasya prādhānyena dhynam pratīkopāstih). Maka, arca juga dipanggil sebagai pratimā atau imej.

Tuhan berada di luar imaginasi manusia. Namun, atas kehendak-Nya sendiri, Tuhan boleh muncul dengan rupa tertentu. Apabila arca-Nya disembah dengan baik, Tuhan boleh muncul dalam arca itu dan memberkati pemuja-Nya.  

Adalah sukar atau mustahil untuk manusia memikirkan tentang Tuhan secara abstrak. Secara semulajadi, manusia akan menggambarkan sesuatu imej apabila berfikir tentang sesuatu perkara. 

Sekiranya manusia dihalang daripada menggambarkan sesuatu, kemungkinan besar, ia akan mengantuk, tidur, atau fikirannya melayang entah ke mana! Maka, penyembahan arca dapat menumpukan fikiran seseorang pada aktiviti sembahyang.[5]

Arca Tuhan juga dapat membantu seseorang melakukan meditasi ke atas sifat-sifat ketuhanan untuk menyembah dan menyintai Tuhan.[6]

Menurut Rishi Bhrgu, terdapat dua jenis penyembahan, iaitu ‘dengan bahan-bahan luaran’ (iaitu menggunakan simbol seperti berhala) dan ‘tanpa bahan-bahan luaran’ (secara mental). Penyembahan jenis pertama adalah lebih baik dan sesuai untuk Grihasta (orang yang berumah tangga). 

Penyembahan jenis kedua, iaitu tanpa sebarang bahan luaran adalah lebih sesuai untuk golongan Vānaprastha (pesara daripada kehidupan duniawi pada usia tua) dan Sannyasi (rahib).[7] 

Bagi mereka yang mengingini nikmat-nikmat duniawi seperti kekayaan, kejayaan dan sebagainya, penyembahan Tuhan dalam rupa disarankan.  

Dalam Vaikhānasa Āgama, penyembahan berhala (atau Archanā) di kuil merupakan suatu jalan ke arah Mokṣa. Archanā membantu seseorang manusia mengatasi kelemahannya, menyucikan mindanya, dan akhirnya mencapai kesedaran-Tuhan. Penyembahan arca juga boleh meningkatkan Bakti atau Cinta Ketuhanan seseorang.

Teks-Teks Suci
Āgama merupakan teks-teks suci berhubung pembinaan kuil, pembuatan arca, ukiran-ukiran kuil, ritual pemujaan di kuil dan sambutan perayaan-perayaan agama. Lazimnya, setiap mazhab mempunyai Āgamanya sendiri.

Sthāpatya Veda            
Ini ialah sebuah Veda subsidiari berhubung dengan sains pembinaan kuil. Teks-teks ini juga dikenali sebagai Śilpa Śāstra, Śilpavidyā, Vāstuśilpa, Vāstuvidyā, dan Vastu Śāstra.

Sthāpatya Śāstras (sains pembinaan) merupakan sebahagian daripada Atharva Veda
Pembinaan kuil perlu mengikuti prinsip dan hukum-hukum pembinaan yang spesifik yang terkandung dalam teks-teks ini.

Selain Sthāpatya Veda, pembinaan kuil juga perlu mematuhi Āgama, Tantra Śāstras atau Purāna yang relevan menurut mazhab Śaiva, Vaishnava, atau Śākta.

Mūrtiśilpaśāstra
Pembuatan arca dan ukiran-ukiran kuil perlu mematuhi teks-teks Mūrtiśilpaśāstra (ikonografi Hindu) seperti berikut: 
  • Bodhāyana Grhyasūtras
  • Brhatsamhitā
  • Mānasāra
  • Kāranāgama
  • Mayamata
  • Śilparatna oleh Śrī Kumāra
  • Śilpasangraha
  • Śilpasāra
  • Śukranītisāra
  • Suprabhedāgama
  • Vaikhānasāgama
  • Vishnudharmottara Purāna 
Arca yang dibina secara tetap di kuil dipanggil sebagai 'Acala' atau 'Dhruvabera' dan ia diperbuat daripada batu seperti granit dan batu marmar. 

Arca yang sering dibawa keluar iaitu 'Utsava Mūrti' atau imej yang dipuja di rumah pula diperbuat daripada logam, batu permata, kayu dan tanah liat. Arca logam yang diperbuat daripada perak, emas, atau pañcaloha (lima jenis logam) adalah amat popular. Arca yang diperbuat daripada kayu digunakan hanya di dua buah kuil iaitu di kuil Jagannatha di Puri, Orissa dan di kuil Trivikrama di Tirukkoilur, Tamil Nadu.
Imej-imej Dhruvabera
~ Imej-imej tetap di kuil dinamakan sebagai 'Acala' atau 'Dhruvabera'.Terdapat tiga jenis imej Acala ini iaitu:
  • sthānaka (kedudukan berdiri)
  • āsīna (kedudukan duduk)
  • śayāna (kedudukan berbaring)
Kebanyakan arca yang disembah di kuil biasanya berada dalam kategori Sthānaka atau berdiri. Imej-imej Dewi, Ganapati dan Narasimha biasanya berada dalam kedudukan duduk. Hanya arca-arca Maha Vishnu, seperti Padmanabha dan Ranganatha berada dalam keadaan berbaring.
Menurut suatu klasifikasi lain, terdapat dua jenis Dhruvabera iaitu ugra (ganas) dan śānta (tenang). Beberapa aspek Dewi seperti Kali, Narasimha, Parasurama, dan Gajaha (Siva) berada dalam aspek ugra. Kuil-kuil dengan arca yang ganas biasanya dibina di luar bandar atau kampung. Semua imej lain yang tidak termasuk dalam kategori ugra boleh disifatkan sebagai śānta.


[1] The Āgama Encyclopaedia, Vol.IV, ms.131
[2] Rig Veda. V.13.1
[3] Vaijayantī Kośa, VI.2.1
[4] Amara Kośa, II. 10.35cd-36a
[5] Viṣṇu Samhitā, 29, 51
[6] Parama Samhitā, 3, 5-10
[7] Arcanā Tilaka, Bhārad-vāja-nṛsimha
[8] The Āgama Encyclopaedia, ms.135
[9] The Āgama Encyclopaedia, ms.141

Comments

Popular posts from this blog

Ramayana

Pengenalan Sri Rama Tidak ada karya lain yang telah mempengaruhi segala aspek kehidupan penduduk India seperti Ramayana. Antara dua epik India, Mahabharata dan Ramayana , ternyata pengaruh Ramayana adalah lebih mendalam dan luas. Sebab utama untuk keadaan ini adalah kerana watak-watak utama Ramayana telah menjelajah hampir ke seluruh benua India termasuk Sri Lanka. Sungai di mana Sita mencuci pakaiannya, batu yang dipijak oleh Rama, gunung yang terbelah dua akibat tekanan Hanuman - demikian rakyat jelata India mengaitkan kampung kecil atau pekan mereka dengan Rama, Sita, Lakshmana, dan Hanuman. Selain itu, setiap watak Ramayana telah menjadi ideal masyarakat Hindu sejak beribu-ribu tahun. Setiap wanita Hindu mengidamkan suami seperti Rama. Setiap lelaki Hindu menginginkan isteri seperti Sita. Setiap adik-beradik cuba menjadi seperti Rama dan Lakshmana. Setiap orang mengharapkan sebuah kerajaan ideal seperti Ramarajya. Demikian, watak-watak Ramayana telah memberikan inspira

Thirukkural & Agama Hindu

Thirukkural dikenali sebagai suatu teks klasik dunia. Teks Tamil ini bukan sahaja suatu mahakarya yang penuh dengan nilai-nilai estetik dan kesusasteraan, tetapi ia juga suatu panduan hidup untuk seluruh umat manusia. Meskipun Thirukkural menjadi kitab untuk seluruh umat manusia tanpa mengenal agama, kaum, bangsa, darjat, dan seumpamanya yang membawa perbezaan sesama manusia, memang tidak dapat dinafikan bahawa Thirukkural patut kepada segala hukum-hukum asas agama Hindu. Thiruvalluvar tidak pada bila-bila masa pun mencabar atau menafikan sebarang hukum asas agama Hindu.  Doa dan Pujian Setiap kitab atau teks suci agama Hindu bermula dengan doa kepada atau pujian untuk Yang Maha Esa. Setiap kitab atau teks suci agama Hindu bermula dengan doa kepada atau pujian untuk Yang Maha Esa.  Thiruvalluvar, penulis Thirukkural Sumber: Pinterest Thirukkural bermula begini: "Agara mudala ezhuththellam Aadhi  Bhagavan mudhatre ulaku." "'A' adalah abja