Skip to main content

Narada Bhakti Sutras

Narada Muni

Pengenalan 

"Jalan yang terbaik untuk bersatu dengan Tuhan ialah dengan mengikuti laluan Cinta Ketuhanan yang diajar oleh Narada." ~ Sri Ramakrishna

Narada Bhakti Sutra merupakan sebuah karya klasik dan otoriti utama falsafah Bhakti. Karya ini dipercayai dihasilkan oleh Narada, seorang Rishi yang amat terkenal dalam zaman Purana. 

Kitab ini menggariskan proses Bhakti (Cinta pada Tuhan) atau Bhakti Yoga. Oleh itu, Narada Bhakti Sutra menjadi sebuah kitab suci yang penting dalam tradisi Bhakti dalam agama Hindu, terutamanya golongan Vaishnava dan Vedantin.  

Karya ini juga disanjung tinggi kerana gaya bahasanya yang pendek dan mudah difahami. Ini mungkin kerana Narada hanya merekodkan pengalamannya sendiri. Kitab ini tidak memberikan sebarang teori atau falsafah yang rumit, tetapi suatu panduan ringkas untuk membantu orang-orang yang hendak menjalani disiplin rohani. 

Narada juga merakamkan pengalaman dan pengaruh guru-guru Bhakti yang lain. Dengan memberikan perbandingan pendapat-pendapat yang berlainan, Narada memberikan kebebasan kepada seseorang untuk memilih jalan yang sesuai untuknya. Ini merupakan satu ciri yang unik Kitab ini.  

Menurut Narada, antara semua Jalan yang menuju kepada Tuhan, iaitu Bhakti, Karma, Jnana, dan Yoga, jalan yang paling mudah ialah Bhakti. 

"Jalan Cinta pada Tuhan" atau Bhakti Yoga dalam bahasa Sanskrit ialah suatu pendekatan melalui cinta untuk menyedari Tuhan. Seorang Bhakta (pencinta Tuhan) berusaha bersungguh-sungguh untuk mencintai Tuhan dan merasakan cinta Tuhan untuknya. Untuk ini, dia melakukan Japa atau ucapan nama Tuhan secara berulangkali dan bersembahyang. Dia menumpukan hati dan fikirannya pada sesuatu objek atau rupa Tuhan yang digemarinya. Narada, seperti guru-guru hebat yang lain, yakin bahawa apabila Bhakti seorang Bhakta meningkat, dia akan sedar bahawa sebenarnya Tuhan berada dalam dirinya sendiri. Pada tahap Bhakti yang tertinggi, pemuja dan Tuhan bersatu. 

Falsafah Hindu memberikan empat jalan untuk bersatu dengan Tuhan atau menyedari Tuhan: Bhakti Yoga, Karma Yoga, Jnana Yoga, dan Raja Yoga. 

Karma Yoga ialah pendekatan melalui aktiviti atau kerja-kerja tanpa kepentingan diri. Lazimnya, dalam amalan Karma Yoga, seseorang akan berkhidmat kepada dunia sebagai suatu disiplin kerohanian. Bagi mengikuti jalan ini, seseorang perlu mempunyai kekuatan fizikal, sifat berendah diri, dan kesabaran.  

Jnana Yoga ialah pendekatan intelektual dan membezakan antara kebenaran dan kepalsuan. Semua fenomena fana perlu dianalisasikan secara rasional dan ditolak sehingga Kebenaran atau Tuhan disedari. Seseorang perlu mempunyai daya intelek yang tajam untuk mengikuti Jnana Yoga. 


Raja Yoga pula ialah pendekatan melalui amalan meditasi. Seorang yang ingin mengikuti Raja Yoga perlu mempunyai daya tumpuan yang kuat serta kawalan penuh ke atas pancaindera dan badannya. 

Maka, Karma Yoga, Jnana Yoga, dan Raja Yoga memerlukan beberapa kualiti dan kebolehan yang perlu dimiliki oleh seseorang yang ingin mengamalkannya. Oleh itu, bukan semua orang boleh atau layak untuk mengikuti ketiga-tiga Yoga ini. 

Berbanding tiga Yoga ini, Bhakti Yoga nampaknya, jauh lebih mudah dan lebih menarik. Bukankah ianya lebih mudah untuk menyayangi daripada berfikir, bekerja, atau bermeditasi? Oleh itu, tidak syak lagi bahawa Narada bercakap benar bahawa Bhakti adalah Yoga yang paling mudah. 

Namun, kita tidak boleh terpedaya bahawa Bhakti Yoga adalah sesuatu yang senang dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Ya, memang semua orang layak untuk mencintai Tuhan. Jika begitu, kenapa semua orang tidak menyintai Tuhan? Atau adakah benar-benar kita menyintai Tuhan? Bagi menjawab soalan-soalan ini, kita perlu meneliti apakah sebenarnya 'Cinta' yang disebut oleh Narada? Adakah ianya serupa dengan cinta antara dua jantina, sekejap ada, sekejap tidak ada. Adakah ianya cinta yang sering dilanda pelbagai emosi negatif seperti cemburu, marah, mementingkan diri sendiri, dan sebagainya. 

Cinta pada Tuhan yang disebut oleh Narada adalah cinta yang tidak mengenal cemburu, pertikaian ego, iri hati, dan ketakutan pengabaian. Ia adalah cinta yang tidak mengenal duka. 

Bab Pertama - Parabhakti Svarupam

1. Hari: Aum. Sekarang, maka, kita akan menjelaskan agama Bhakti, Cinta pada Tuhan. 

2. Itu, sesungguhnya, adalah bersifat Cinta yang agung pada Tuhan. 

3. Dan, Nikmat Abadi merupakan sifat semulajadinya. 

4. Dengan mengecapinya, manusia menyedari kesempurnaan dan ketuhanannya, serta mendapat kepuasan. 

5. Dengan mengecapinya, manusia tidak mengidamkan apa-apa lagi, dia bebas daripada duka dan benci, dia tidak girang untuk apa-apa, dan dia tidak melakukan sesuatu untuk kepentingan diri. 

6. Dengan menyedarinya, manusia menjadi seolah-olah mabuk dan teruja kerana dia ditenggelami sepenuhnya dalam Nikmat Atman. 

7. Bhakti bukan bersifat nafsu berahi kerana ia adalah bersifat pelepasan. 

8. Pelepasan adalah pentakdisan segala aktiviti sekular dan agama. 

9. Dalam pelepasan secara pentakdisan begitu, wujud penyatuan penuh, dan ketidakpedulian (penolakan) segala yang bertentangan dengannya. 

10. 'Penyatuan' bermaksud penyingkiran segala sokongan lain. 

11. Ketidakpedulian terhadap semua faktor yang bertentangan dengan Cinta pada Tuhan bermaksud melakukan aktiviti-aktiviti  agama dan sekular yang mendorong Cinta pada Tuhan. 

12. Biarlah seseorang mengikuti kitab-kitab suci walau pun selepas dia mantap dalam kesedaran rohani. 

13. Kerana, kalau tidak, wujud bahaya kejatuhan. 

14. Amalan dan tradisi sosial juga boleh diikuti dengan cara yang sama, setakat itu. Tetapi aktiviti-aktiviti seperti makan, boleh diteruskan setakat yang perlu untuk melindungi kesihatan badan sehingga maut secara semulajadi. 

15. Terdapat pelbagai huraian ciri-ciri Bhakti disebabkan perbezaan pandangan. 

16. Vyasa anak lelaki Parasara berpendapat bahawa Bhakti terserlah dalam aktiviti sembahyang dan seumpamanya. 

17. Rishi Garga berfikiran bahawa Bhakti ialah minat untuk mendengar cerita-cerita suci dan sebagainya. 

18. Rishi Sandilya berpendapat bahawa ia mesti tanpa menjejaskan kebahagiaan dalam Atman. 

19. Namun, menurut Narada, sifat semulajadi Bhakti adalah pentakdisan segala aktiviti, dengan penyerahan diri sepenuhnya pada Tuhan, dan keseksaan jiwa sekiranya Tuhan dilupakan. 

20. Sesungguhnya, wujud beberapa contoh untuk Bhakti ini. 

21. Misalnya, para Gopi di Vraja.

22. Di sini, bantahan bahawa mereka tidak mengenali keagungan Tuhan adalah tidak berguna. 

23. Sekiranya mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang Ketuhanan objek cinta mereka, maka, cinta mereka hanya serupa dengan dengan nafsu seorang wanita untuk kekasihnya. 

24. Dalam cinta seorang wanita untuk kekasihnya, kebahagiaannya sedikit pun tidak bergantung pada kebahagiaan kekasihnya. 

Bab Kedua - Param Bhakti Mahatmyam 

25. Namun, Parabhakti - Cinta pada Tuhan yang agung, yang dijelaskan adalah lebih daripada Karma, Jnana, dan Yoga. 

26. Kerana Bhakti adalah hasil semua ini.

27. Oleh kerana Tuhan tidak suka keegoan dan suka sift rendah diri, maka, Bhakti adalah yang terbaik. 

28. Menurut beberapa pendapat, hanya ilmu yang boleh memberikan Bhakti.  

29. Pendapat lain mengatakan bahawa semua cara yang berlainan ini adalah saling bergantung. 

30. Tetapi, menurut Narada, kesedaran rohani adalah hasilnya sendiri. 

31. Ini boleh dilihat dalam keadaan seorang raja, rumah, dan makanan. 

32. Bukan disebabkan itu seorang raja menjadi raja, atau seorang musafir berpuas hati, atau seorang yang lapar menjadi kenyang. 

33. Maka, orang yang mencari kebebasan, perlu menerima kesedaran rohani yang tertinggi sebagai matlamat akhir. 

Bab Ketiga - Bhakti Sadhanani

34. Para guru menjelaskan dalam ayat-ayat suci dan lagu-lagu suci. 

35. Bagi mendapatkan Cinta Agung ini, seseorang perlu melepaskan semua objek keseronokan termasuk ikatan padanya. 

36. Dengan perkhidmatan penuh cinta tanpa henti. 

37. Dengan mendengar dan mendikir keagungan Tuhan, meskipun ketika melakukan aktiviti-aktiviti sekular.

38. Ia terutamanya diperolehi dengan rahmat orang-orang mulia, atau melalui sedikit rahmat Tuhan.

39. Namun, ianya amat sukar untuk bertemu dengan orang yang mulia, dan mendapat faedah berada bersamanya, pengaruh orang begitu adalah amat tidak ketara, tidak boleh difahami, dan kesannya pasti.

40. Walau bagaimanapun, ia boleh dicapai dengan rahmat Tuhan dan orang-orang alim sahaja.

41. Kerana tiada sebarang perbezaan antara Tuhan dan para pemuja-Nya seperti perbezaan di antara dua objek.

42. Hanya aktiviti-aktiviti yang membolehkan kia mendapat rahmat mereka harus dilakukan.

43. Pergaulan dengan orang jahat harus dielakkan.

44. Ini kerana itu menyemarakkan nafsu, kemarahan, dan delusi, dan menyebabkan kehilangan memori, kehilangan diskriminasi, dan akhirnya kemusnahan.

45. Meskipun pada mulanya, ia timbul bagai buih-buih kecil, akhirnya, disebabkan pergaulan dengan orang jahat, ia menjadi sebesar laut.

46. Siapa merentasi, siapa merentasi Maya? Orang yang mengelakkan segala objek-objek pancaindera yang boleh menyemarakkan nafsu, mendapatkan orang-orang mulia, berkhidmat kepada mereka, dan melepaskan segala milikan mereka dengan berkhidmat kepada orang-orang miskin.

47. Orang yang mencari tempat yang suci dan sunyi, menghapuskan ikatan pada keseronohan dalam tiga dunia, membebaskan diri daripada kesan tiga Guna, dan melepaskan segala idea mengumpul dan menjaga milikannya.

48. Orang yang melepaskan segala hasil kerjanya, melepaskan segala aktiviti bagi kepentingan diri dan merentasi segala pasangan bertentangan seperti suka dan duka. 

49. Orang yang melepaskan ritual dan adat istiadat yang disebut dalam Veda, dan tanpa henti mengidamkan Tuhan.

50. Sesungguhnya dia merentasi, dia merentasi Maya dan turut membawa dunia ini merentasinya.

Bab Empat - Prema Nirvacanam

51. Secara intrinsik Cinta pada Tuhan adalah sukar untuk dihitung, ditaksir, atau dihurai dengan tepat.

52. Itu adalah seperti kegembiraan yang dialami oleh seorang bisu ketika merasakan sesuatu yang manis.

53. Walau bagaimana pun, Cinta pada Tuhan terserlah pada seseorang, tidak kira siapa, apabila orang itu melayakkan dirinya dengan disiplin kerohanian yang berterusan.

54. Bebas daripada segala sifat-sifat dan kecenderungan untuk aktiviti yang mementingkan diri, ia adalah pengalaman subjektif yang bersifat homogenuus dan integral, halus bagi kehalusan sendiri, terserlah sendiri secara semula jadi apabila wujud keadaan-keadaan tertentu, dan berkembang setiap saat.

55. Dengan mencapainya, seseorang hanya melihat dan mendengar, bercakap, dan berfikir mengenainya.

56. Terdapat tiga jenis Cinta kepada Tuhan pada tahap rendah, mengikut kualiti minda seseorang; sama ada ia boleh dikelaskan sebagai Sattvika, Rajasika, dan Tamasika; atau ia dapat dibahagikan sebagai Arta, Jijnasu, dan Artharthin seperti yang diberikan dalam Bhagavatam VII.16. 

57. Setiap kelas dari mula adalah lebih baik berbanding kelas berikutnya. 

58. Berbanding Parabhakti, Cinta kepada Tuhan tahap rendah ini adalah lebih mudah dicapai dan senang dikenalpasti. 

59. Kerana ia tidak bergantung kepada sebarang bukti lain; ia terbukti sendiri. 

60. Kerana ia adalah berbentuk ketenangan penuh dan kebahagiaan agung. 

61. Seorang Bhakta tidak ada sebab untuk khuatir akan penderitaan dunia; kerana dia telah menyerahkan dirinya sendiri, dunia, dan juga Veda kepada Tuhan. 

62. Selepas mencapai Bhakti, atau bagi mencapai Bhakti, kehidupan dalam masyarakat tidak perlu dilepaskan; cuma hasil aktiviti-aktiviti sosial perlu diserahkan kepada Tuhan; sementara semua aktiviti yang lazimnya baik dan membawa hasil yang baik, boleh diteruskan. 

63. Cerita atau deskripsi mengenai perempuan, kekayaan, atau orang ateis tidak harus didengar. 

64. Keangkuhan, kemegahan diri, dan nilai-nilai buruk lain perlu dielakkan. 

65. Dengan membaktikan segala aktiviti kepada-Nya, keinginan, kemarahan, kebanggaan, dsb., harus ditujukan hanya kepada-Nya, atau digunakan hanya untuk tujuan Bhakti kepada-Nya. 

66. Cinta dan hanya cinta seperti kasih seorang pekerja yang setia atau seorang isteri, yang menjangkaui tiga bentuk yang disebut dalam Sutra 56 harus diamalkan. 

Bab Lima - Mukhya Bhakta Mahima

67. Pemuja-pemuja yang utama ialah mereka yang mempunyai Cinta Tak Berbahagi kepada Tuhan demi Tuhan. 

68. Dengan bercakap sesama sendiri dengan suara yang tersekat-sekat, mata yang berlinangan air, dan badan yang teruja, mereka menyucikan keluarga dan juga tanah air mereka. 

69. Mereka menambah kesucian kepada tempat-tempat suci, menjadikan sesuatu tindakan baik dan mulia, dan memberikan otoriti rohani kepada Kitab-Kitab suci (Sastras). 

70. Setiap seorang yang disebut dalam Sutra terakhir, dipenuhi dengan semangat para orang alim, dan menerusinya, dengan semangat Tuhan sendiri. 

71. Nenek moyang bergembira, dewa-dewi menari riang, dan bumi mendapat seorang pelindung. 

72. Tiada sebarang perbezaan kasta atau kebudayaan, kecantikan atau kelahiran, kekayaan atau pekerjaan, dan seumpamanya dalam kalangan mereka. 

73. Kerana mereka adalah milik-Nya sendiri. 

74. Adalah tidak baik untuk seseorang memasuki sebarang kontroversi mengenai Tuhan, atau sebarang kebenaran rohani, atau mengenai kemuliaan para pemuja. 

75. Kerana wujud ruang untuk perbezaan pendapatan, dan tidak ada pendapat, berdasarkan kepada penaakulan semata-mata, adalah konklusif. 

76. Ajaran kitab-kitab suci mengenai Cinta kepada Tuhan dan pemujaan boleh dibincangkan dan direnungkan; dan amalan-amalan rohani yang boleh meningkatkan bhakti masih boleh dilakukan. 

77. Dia akan mempunyai masa lapang kerana dia bebas daripada suka dan duka, keinginan dan keuntungan, dan sebagainya, maka, dia tidak harus membazirkan walau pun setengah saat. 

78. Dia harus memupuk dan memelihara nilai-nilai murni seperti tiada kekerasan, kebenaran, kesucian, simpati, dan kepercayaan kepada realiti rohani yang tinggi, dan seumpamanya. 

79. Hanya Tuhan yang menjadi khazanah segala nilai-nilai mulia yang harus sentiasa disembah oleh orang yang bebas daripada segala tanggungjawab dan kekhuatiran, dalam setiap aspek hidupnya. 

80. Dengan pemujaan sedemikian, Tuhan menjelma dan memberkati pemuja-Nya dengan kesedaran rohani. 

81. Hanya cinta pada Tuhan yang mutlak dan abadi adalah cinta yang agung. Inilah cinta yang tertinggi. 

82. Bhakti atau Cinta pada Tuhan, meskipun cuma satu sahaja, ia terserlah dalam sebelas bentuk berbeza: Cinta untuk mengagungkan sifat-sifat kemuliaan Tuhan, Cinta pada kecantikan-Nya yang memukau, Cinta pada sembahyang, Cinta untuk ingatan berterusan, Cinta untuk berkhidmat, Cinta pada Tuhan sebagai sahabat, Cinta pada Tuhan sebagai seorang Anak, Cinta pada Tuhan sebagai seorang isteri untuk suaminya, Cinta untuk pengabdian kepada-Nya, Cinta untuk menenggelami dengan ingatan-Nya, dan Cinta untuk penderitaan akibat perpisahan dengan-Nya. 

83. Demikian, guru-guru Bhakti secara serentak mengatakan, tanpa sedikit pun takut akan kritikan umum. Guru-guru hebat ini ialah Kumara, Vyasa, Suka, Sandilya, Garga, Vishnu, Kaundilya, Sesha, Uddhava, Aruni, Bali, Hanuman, Vibhisana, dan lain-lain. 

84. Sesiapa yang mempercayai Kitab Narada ini dan menyakininya, menjadi seorang pencinta Tuhan, dan mencapai Matlamat dan Kebahagiaan hidup yang tertinggi.  


Comments

Popular posts from this blog

Kenapa Sembah Berhala?

Soalan Purba Salah satu soalan yang sering dilontarkan kepada seorang Hindu ialah: 'Kenapa kamu sembah patung?' Malah, dalam kalangan penganut Hindu sendiri, ramai yang tidak tahu atau pernah menyoal diri sendiri tentang perbuatan menyembah sesuatu berhala atau gambar. Ini bukan satu soalan yang baru! Soalan ini telah dikemukakan dan dijawab dalam kitab-kitab suci agama Hindu, terutamanya dalam teks-teks   Ä€gama   dan Purana .  Suatu peristiwa dalam riwayat Swami Vivekananda memberikan jawapan kepada soalan purba ini begini:  Raja Mangal Singh ialah seorang pemerintah di Alwar. Baginda seorang yang berpendidikan moden dan tidak mempercayai agama Hindu.   Dalam suatu pertemuan dengan Swami Vivekananda, Raja Mangal Singh bertitah: “Beta tidak percaya kepada penyembahan berhala. Tengok, beta tidak boleh menyembah  kayu, tanah, batu, atau logam, seperti orang lain. Jadi apakah nasib beta selepas beta mangkat?”   Swami Vivekananda menjawab, “Saya rasa setiap manusia har

Kuil Hindu

Kuil Sri Nandi di Bengaluru Pengenalan  Kuil Hindu sering menjadi bahan cemuhan dan serangan. Apa yang menyedihkan ialah masyarakat Hindu sendiri sering mencemuh dan memandang rendah pada 'Kuil Hindu'. Cemuhan yang sering dilontarkan ialah bahawa tindakan membina atau melawat kuil adalah sia-sia. Mengapakah wang yang boleh digunakan untuk membina sekolah dan membantu orang miskin disia-siakan untuk membina kuil? Apakah gunanya bersembahyang di kuil? Bukankah Tuhan Maha Wujud dan berada di semua tempat? Malah perbuatan sembahyang juga sering dikutuk sebagai perbuatan meminta sedekah!  Semua persoalan ini hanya menunjukkan kejahilan tentang konsep 'Kuil Hindu', perbuatan sembahyang, dan matlamat hidup manusia!  Menurut agama Hindu, matlamat hidup manusia adalah untuk mencapai kebebasan daripada kitaran kehidupan-kematian (samsara) atau dalam kata lain, untuk mencapai Tuhan. Tujuan Kuil Hindu adalah untuk membantu manusia biasa yang menjalani kehidupan beru

Thirukkural & Agama Hindu

Thirukkural dikenali sebagai suatu teks klasik dunia. Teks Tamil ini bukan sahaja suatu mahakarya yang penuh dengan nilai-nilai estetik dan kesusasteraan, tetapi ia juga suatu panduan hidup untuk seluruh umat manusia. Meskipun Thirukkural menjadi kitab untuk seluruh umat manusia tanpa mengenal agama, kaum, bangsa, darjat, dan seumpamanya yang membawa perbezaan sesama manusia, memang tidak dapat dinafikan bahawa Thirukkural patut kepada segala hukum-hukum asas agama Hindu. Thiruvalluvar tidak pada bila-bila masa pun mencabar atau menafikan sebarang hukum asas agama Hindu.  Doa dan Pujian Setiap kitab atau teks suci agama Hindu bermula dengan doa kepada atau pujian untuk Yang Maha Esa. Setiap kitab atau teks suci agama Hindu bermula dengan doa kepada atau pujian untuk Yang Maha Esa.  Thiruvalluvar, penulis Thirukkural Sumber: Pinterest Thirukkural bermula begini: "Agara mudala ezhuththellam Aadhi  Bhagavan mudhatre ulaku." "'A' adalah abja