Skip to main content

Thirukkural & Agama Hindu

Thirukkural dikenali sebagai suatu teks klasik dunia. Teks Tamil ini bukan sahaja suatu mahakarya yang penuh dengan nilai-nilai estetik dan kesusasteraan, tetapi ia juga suatu panduan hidup untuk seluruh umat manusia.

Meskipun Thirukkural menjadi kitab untuk seluruh umat manusia tanpa mengenal agama, kaum, bangsa, darjat, dan seumpamanya yang membawa perbezaan sesama manusia, memang tidak dapat dinafikan bahawa Thirukkural patut kepada segala hukum-hukum asas agama Hindu. Thiruvalluvar tidak pada bila-bila masa pun mencabar atau menafikan sebarang hukum asas agama Hindu. 

Doa dan Pujian

Setiap kitab atau teks suci agama Hindu bermula dengan doa kepada atau pujian untuk Yang Maha Esa.

Setiap kitab atau teks suci agama Hindu bermula dengan doa kepada atau pujian untuk Yang Maha Esa. 
Thiruvalluvar, penulis Thirukkural
Sumber: Pinterest

Thirukkural bermula begini:
"Agara mudala ezhuththellam Aadhi 
Bhagavan mudhatre ulaku."
"'A' adalah abjad pertama. Begitu juga, Tuhan menjadi asas dunia ini."

Dalam kebanyakan terjemahan dan ulasan Thirukkural, perkataan 'Bhagavan' disamakan dengan 'Tuhan'.

Namun, sekiranya kita memahami gaya penulisan Thirukkural, kita akan sedar bahawa penulisnya tidak membazirkan kata-kata atau berputar belit. Thiruvalluvar memberikan segala ideanya mengenai sesuatu subjek dengan perkataan yang minimum dan tepat.

Jadi mengapakah Thiruvalluvar memberikan di sini 'Bhagavan'? Kenapa tidak menggunakan perkataan 'Kadavul' atau 'Iraivan'?

Apakah maksud 'Bhagavan?' 'Bhagavan' bermaksud 'seseorang yang mempunyai Bhaga'. 'Bhaga' ialah kumpulan enam nilai-nilai terpuji iaitu Aisvarya (kepimpinan), Dharma (kebaikan), yasas (kemasyhuran), Sri (keserian), Jnana (ilmu), dan vairagya (sifat tersisih). Seorang yang mempunyai enam nilai-nilai ini ialah 'Bhagavan'.[1]

Enam Bhaga juga disenaraikan seperti Jnana, Aisvarya, Sakti (kesaktian), bala (kekuatan), virya (kelelakian), dan tejas (keindahan). Sifat-sifat ini dianggap sebagai bahan material untuk ciptaan alam semesta. Dalam mazhab Vaishnavisme, enam Bhaga ini juga berperanan dalam penjelmaan Vyuha atau penjelmaan Tuhan Vasudeva (Vishnu) sebagai Sankarshana, Pradyumna, dan Aniruddha.

Amnya, 'Bhagavan' digunakan untuk Tuhan Vishnu terutamanya Sri Krishna. Perkataan 'Bhagavan' juga digunakan Tuhan Shiva.

Dalam agama Buddha, teks-teks suci Pali memanggil Gautama Buddha sebagai 'Bhagavan Buddha' dan 'Bhagavan Shakyamuni'. Perkataan 'Bhagavan' juga digunakan dalam teks-teks Buddhisme Theravada, Mahayana, dan Tantra.

Lazimnya, perkataan 'Bhagavan' merujuk kepada aspek Tuhan yang personal dan berupa dan sering digunakan dalam tradisi-tradis Bhakti - Cinta Ketuhanan.

Perkataan 'Bhagavan' tidak ada mana-mana Veda. Nampaknya, perkataan ini mula digunakan dalam Upanishad pada zaman pertengahan seperti dalam Kali Santarana Upanishad. Perkataan ini banyak digunakan dalam Bhagavad Gita dan Purana.

Menurut segelintir pendapat, Thiruvalluvar ialah seorang beragama Jain, dan Thirukkural dikatakan mempunyai banyak nilai-nilai agama Jain. Namun, penggunaan 'Bhagavan' pada awal Thirukkural menimbulkan keraguan tentang pendapat ini. Meskipun agama Jain menggunakan perkataan 'Bhagavan' untuk para Tirthankara, agama Jain tidak menerima konsep Tuhan sebagai pencipta dunia ini. Dunia ini telah sentiasa wujud dan ia tidak memerlukan Tuhan sebagai pencipta, pelindung, dan pemusnah. Oleh itu, rujukan kepada 'Aadhi Bhagavan' sebagai asas dunia ini bertentangan dengan agama Jain.

Maka, boleh disimpulkan bahawa dengan memuji 'Bhagavan' pada permulaan karyanya, Thiruvalluvar melakukan apa yang lazimnya dilakukan oleh penulis-penulis Hindu pada zamannya.

Tiga Bahagian 

Thirukkural dibahagikan kepada tiga bahagian - Aram, Porul, dan Inbam. Aram ialah Dharma. Porul ialah Artha. Inbam ialah Kama. Tiga subjek-subjek ini adalah empat Purushartha dalam bahasa Sanskirt. Menurut agama Hindu, makna hidup manusia dipenuhi dengan mencapai empat matlamat hidup atau purushartha. Tanpa empat perkara ini, hidup manusia tidak bermakna. Empat matlamat hidup ini ialah Dharma, Artha, Kama, dan Moksha atau dalam bahasa Tamil disebut sebagai Aram, porul, inbam, dan Veedu.

Veedu atau Moksha 

Konsep 'Veedu' telah disentuh dalam bab pertama, dalam 'Kadavul Vazhthu' pada Kural 7, 8, dan 10. Veedu atau Moksha, amnya bermaksud, merentasi kehidupan duniawi atau Samsara yang penuh dengan suka duka dan mencapai ketenangan abadi dan bebas daripada kelahiran semula. Dalam tradisi Bhakti, Veedu bermaksud mencapai Tuhan dan berada bersama Tuhan selama-lamanya.

Kural ke-7 berbunyi begini:
Tanakkuuvamai illaatavan taalserntaarkku allaal
manakkavalai maatral aritu. 
Ianya amat sukar orang lain untuk mengatasi penderitaan
Kecuali oleh mereka yang berada pada Tapak yang Tiada Tandingan

Maksudnya: Hanya mereka yang mencapai Tuhan yang Tiada Tandingan, boleh bebas daripada duka. 

Kural ke-8 berbunyi begini:
Araazhi antanam taalserntarkku allaal
piraaazhi neental aritu. 
Jika manusia tidak mencapai Tapak Samudera Dharma
Ianya sukar untuk merentasi lautan dosa dan duka. 

Maksudnya: Orang yang tidak mencari Tuhan, tidak boleh melepaskan dirinya daripada kejahatan dan penderitaan dalam hidup/ 

Dan Kural ke-10 pula menyebut ini:

Piravip perungkadal neentuvar neentaar 
Iraivan adiseeraa taar
Lautan kehidupan yang luas boleh direntasi 
Oleh mereka yang berpegang kepada Tapak Tuhan

Maksudnya: Hanya orang-orang yang berserah kepada Tuhan boleh membebaskan diri daripada penderitaan kelahiran semula. 

Maka, jelas bahawa Thiruvalluvar telah menyebut 'Bhakti' kepada Tuhan sebagai satu jalan ke arah Moksha. Lazimnya, hanya dalam tradisi-tradisi Bhakti seperti Shaivisme dan Vaishnavisme, perkataan 'Tapak Tuhan' (Adi atau Taal) amat popular. Hanya dengan Bhakti dan berserah sepenuhnya kepada Tuhan (secara simbolik disebut mencapai Tapak Teratai Tuhan), seorang boleh membebaskan dirinya daripada kitaran kelahiran semula dan mencapai Moksha.

Thirukkural juga mengukuhkan idea 'Tapak Tuhan' dalam Kural-Kural 2, 3, 4, dan 9.

Faedah 

Satu lagi ciri utama teks-teks suci Hindu ialah penulisnya sering memberikan 'Phalasruti' atau ayat-ayat pujian. Ayat-ayat pujian ini akan memberikan faedah mengaji atau mengikuti ajaran yang diberikan.

Apakah faedah yang seseorang boleh perolehi dengan mengikuti ajaran Thirukkural?

Bab pertama Thirukkural memberikan faedah-faedah yang diperolehi apabila seseorang menjalani kehidupan yang penuh dengan Aram atau kebaikan.

Dalam Kural ke-2, Thiruvalluvar menyoal kegunaan pendidikan yang gagal membawa seseorang kepada Tapak Suci Tuhan yang Maha Mengetahui. Dalam Kural ke-9, Thiruvalluvar menyatakan bahawa sia-sialah hidup orang yang tidak menyembah Tuhan. Maka, pastinya, ilmu yang diberikan oleh Thiruvalluvar sendiri bertujuan untuk membawa seseorang kepada Tuhan.

Dalam Kural ke-6, Thiruvalluvar mengingatkan bahawa orang yang mengamalkan Jalan Kebaikan Tuhan, yang telah mengawal pancaindera, akan hidup bahagia selama-lamanya.

Matlamat Falsafah 

Semua falsafah Hindu menemui bahawa meskipun manusia berusaha dengan bersungguh-sungguh, kehidupannya penuh penderitaan. Semua sistem-sistem falsafah Hindu bermula dari titik yang sama iaitu kewujudan penderitaan dalam kehidupan.

Oleh itu, matlamat utama falsafah Hindu adalah untuk melepaskan diri daripada penderitaan, bukan sahaja untuk sekarang, tetapi untuk selama-lamanya. Keadaan ini diperolehi dengan mendapatkan ilmu yang betul. Ilmu yang betul bukan sahaja ilmu intelektual, tetapi pengalaman terus.  Bagi mendapatkan pengalaman terus, seseorang perlu mengamalkan disiplin-disiplin seperti hidup bermoral, mengelakkan daripada Arisadvarga (enam musuh-musuh) seperti nafsu berahi yang keterlaluan, ketamakan, dan kebencian. Di samping itu, seseorang juga perlu memikirkan, menghayati, dan melakukan meditasi berterusan ke atas kebenaran yang didengarnya, sehingga dia menyedari kebenaran itu.

Dalam Kural-Kural ke-3, 4, 5, 6, 7, 8. dan 10, Thiruvalluvar memberikan rahsia melepaskan diri daripada penderitaan sekarang dan selama-lamanya dengan berserah kepada Tapak Tuhan. Orang yang memuji keagungan Tuhan juga tidak akan terjerat dalam kegelapan ilusi dan belenggu baik dan buruk. Melainkan orang yang berserah kepada Tuhan, orang-orang lain sukar untuk melepaskan diri daripada duka. Tanpa mengecapi Tapak Tuhan, tiada sesiapa pun yang boleh melepaskan diri daripada dosa dan duka.

Dalam Kural 38, Thirukkural menekankan bahawa perbuatan baik berulang kali akan menjadi penghalang kepada kelahiran semula.

Konsep Tuhan? 

Dalam Kural ke-1 hingga ke-10, Thiruvalluvar merujuk kepada Tuhan seperti berikut:
  • Bagavan - Tuhan 
  • Vaalarivan Natraal - Tapak Tuhan yang Maha Mengetahui
  • Maanadi - Tapak Tuhan
  • Veenduthal veendamai elaanadi - Tapak Tuhan yang tidak ada keinginan atau kebencian
  • Iraivan - Tuhan
  • Aintavittaan - Tuhan yang telah mengawal pancaindera
  • Tanak kuvamai illaataan taal - Tapak Tuhan yang Tiada Bandingan
  • Ara aazhi andanan taal - Tapak Tuhan, Samudera Dharma 
  • Engunattaan - Tuhan dengan lapan nila-nilai mulia 
Dalam Kural 610
Madi ilaa mannavan eitum adi Alantaan
taa ayatu ellam orungu
Raja yang tidak malas akan mendapat dengan serta-merta
Seluruh dunia yang dijejaki oleh Tuhan. 

Di sini perkataan 'adi Aalantaan' merujuk kepada episod Mahavishnu dalam Jelmaan Vamana yang menjejaki seluruh dunia dan angkasa dengan dua Tapak-Nya.

Memang pelik Thiruvalluvar menggunakan simbol Tapak Tuhan berulang kali!

Bandingan dengan Teks-teks Hindu Lain

Beberapa teks Hindu purba seperti Manusmriti, Arthasastra oleh Kautilya, dan Nitisara oleh Kamandaka mempunyai beberapa persamaan dengan bahagian Porul dalam Thirukkural. 

Bhagavad Gita 3.14
annād bhavanti bhūtāni parjanyād anna-sambhavaḥ

Semua mahkluk hidup disebabkan makanan. Makanan dihasilkan oleh hujan. 


Kural 12 - Hujan menghasilkan makanan untuk semua makhluk-makhluk dunia
                   Hujan juga menjadi makanan.  

Thirukkural juga mengandungi banyak nilai-nilai murni yang disanjung tinggi dalam agama Hindu seperti berikut:

Kural 38
Kebaikan yang dilakukan oleh seseorang secara berterusan menghalang rantai kelahiran semula.

Kural 43
Nenek moyang, dewa, diri sendiri, saudara-mara, dan tetamu adalah kewajipan utama seorang yang berumah tangga.

Kural 54
Tiada apa-apa yang lebih mulia daripada seorang isteri yang suci.

Kural 55
Jika seorang isteri tidak menyembah Tuhan lain kecuali suaminya, hujan akan turun mengikut perintahnya,

Kural 62
Dalam semua tujuh kelahiran, keburukan tidak menjejaskan orang yang mempunyai anak-anak yang baik.

Kural 84
Dewi Kekayaan (Lakshmi) menetap di rumah di mana para tetamu dijamu dengan muka yang mesra.

Kural 86
Orang yang menjamu para tetamu dengan berterusan, akan menjadi tetamu kehormat di syurga.

Kural 107
Orang baik akan meingati dalam tujuh kelahiran akan persahabatan orang yang membantunya dalam kesusahan.

Kural 319
Jika kau melukakan orang lain pada waktu pagi, kau akan ditimpa duka pada waktu tengah hari.

Kural 320
Orang yang hendak bebas daripada kejahatan tidak akan melakukan kejahatan
Kerana segala kejahatan akan kembali kepada orang jahat

Kural 338
Hubungan antara badan dan roh adalah seperti burung meninggalkan kulit telur.

Kural 339
Kematian adalah seperti tidur yang mendalam, kelahiran adalah seperti bangun daripada tidur.

Kural 340
Roh berlindung dalam badan (untuk sementara) tanpa sebarang kediaman yang tetap.

Kesimpulan

Meskipun Thirukkural dikatakan sebagai sebuah kitab yang sekular dan universal, namun, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat pengaruh agama Hindu yang kuat dalam kitab ini. 

Rujukan / Pautan Luar: 
[1] http://eoh.rkmathbangalore.org/

Comments

Popular posts from this blog

Kenapa Sembah Berhala?

Soalan Purba Salah satu soalan yang sering dilontarkan kepada seorang Hindu ialah: 'Kenapa kamu sembah patung?' Malah, dalam kalangan penganut Hindu sendiri, ramai yang tidak tahu atau pernah menyoal diri sendiri tentang perbuatan menyembah sesuatu berhala atau gambar. Ini bukan satu soalan yang baru! Soalan ini telah dikemukakan dan dijawab dalam kitab-kitab suci agama Hindu, terutamanya dalam teks-teks   Āgama   dan Purana .  Suatu peristiwa dalam riwayat Swami Vivekananda memberikan jawapan kepada soalan purba ini begini:  Raja Mangal Singh ialah seorang pemerintah di Alwar. Baginda seorang yang berpendidikan moden dan tidak mempercayai agama Hindu.   Dalam suatu pertemuan dengan Swami Vivekananda, Raja Mangal Singh bertitah: “Beta tidak percaya kepada penyembahan berhala. Tengok, beta tidak boleh menyembah  kayu, tanah, batu, atau logam, seperti orang lain. Jadi apakah nasib beta selepas beta mangkat?”   Swami Vivekananda menjawab, “Saya rasa setiap manusia har

Ramayana

Pengenalan Sri Rama Tidak ada karya lain yang telah mempengaruhi segala aspek kehidupan penduduk India seperti Ramayana. Antara dua epik India, Mahabharata dan Ramayana , ternyata pengaruh Ramayana adalah lebih mendalam dan luas. Sebab utama untuk keadaan ini adalah kerana watak-watak utama Ramayana telah menjelajah hampir ke seluruh benua India termasuk Sri Lanka. Sungai di mana Sita mencuci pakaiannya, batu yang dipijak oleh Rama, gunung yang terbelah dua akibat tekanan Hanuman - demikian rakyat jelata India mengaitkan kampung kecil atau pekan mereka dengan Rama, Sita, Lakshmana, dan Hanuman. Selain itu, setiap watak Ramayana telah menjadi ideal masyarakat Hindu sejak beribu-ribu tahun. Setiap wanita Hindu mengidamkan suami seperti Rama. Setiap lelaki Hindu menginginkan isteri seperti Sita. Setiap adik-beradik cuba menjadi seperti Rama dan Lakshmana. Setiap orang mengharapkan sebuah kerajaan ideal seperti Ramarajya. Demikian, watak-watak Ramayana telah memberikan inspira