Skip to main content

Saraswati - Devi Segala Ilmu

Saraswati atau Sarasvati merupakan seorang Dewi sejak zaman Rig Veda. Saraswati ialah Sakti iaitu kuasa Brahma, Tuhan Pencipta. Maka, Saraswati menjadi Ibu yang melahirkan segala ciptaan. 

Secara literal, Saraswati bermaksud 'yang mengalir'. Dalam Rigveda, Saraswati juga merujuk kepada sebatang sungai yang kini telah kering dan Dewi sungai itu. Maka, Saraswati juga dikaitkan dengan kesuburan dan kesucian. 

Seperti semua dewa-dewi lain, Saraswati juga mempunyai beberapa nama lain. Antaranya ialah Sarada (Pemberi Intipati), Vagisvari (Penguasa Percakapan), Brahmi (Pasangan Brahma), Mahavidya (Maha Ilmu), Veenapani (Pembawa Veena, sejenis alat muzik India), Hamsavahini (Dewi yang menaiki Hamsa, sejenis burung), Vagdevi (Dewi Kata-kata) dan sebagainya. 

Nama-nama lain Saraswati ini menunjukkan konsep Saraswati yang terkandung dalam kitab-kitab Purana.

Saraswati dengan maksud 'yang mengalir' merujuk kepada percakapan. Menurut suatu fahaman, ciptaan bermula dengan 'kata-kata'. Sebelum sesuatu benda dicipta, idea mengenai benda itu akan dilahirkan. Idea pula dilahirkan dengan aliran kata-kata. Maka, Saraswati  ialah segala kuasa dan ilmu yang diperlukan untuk ciptaan. Tanpa Saraswati, proses ciptaan tidak akan bermula. 

Saraswati dianggap sebagai jelmaan segala ilmu - seni, sains, kraf, dan kemahiran. Ilmu adalah cahaya. Maka, ilmu bertentangan dengan kegelapan dan kejahilan. Oleh kerana Saraswati mewakili segala ilmu seni, sains, kraf, dan kemahiran, maka, kecantikan dan kelembutan Dewi ini amat mengagumkan. Dengan memakai sari yang putih tulen, Saraswati bersemayam di atas sekuntum teratai. Empat tangan-Nya memegang Veena (alat muzik), 'aksamala' (kalung tasbih), dan sebuah kitab (Veda). Ada kalanya, Saraswati juga memegang beberapa objek lain seperti 'pasa' (tali), 'ankusa' (sejenis senjata), bunga teratai, 'trisula', 'sankha' (conch), 'cakra' (cakera), dan sebagainya. Kadang-kala, Saraswati mempunyai lima muka, lapan tangan, tiga mata atau leher yang kebiru-biruan. Rupa begini dikenali sebagai Mahasaraswati, suatu aspek Durga atau Parvati. 

Seekor Hamsa (sejenis burung) atau seekor burung merak menjadi Vahana (kenderaan) Saraswati. 

Mari kita lihat simbologi Saraswati. Sebagai pasangan Brahma, Tuhan Pencipta, Dewi ini mewakili kesaktian dan kepintaran Brahma. Tanpa ilmu dan kesaktian, Brahma tidak boleh menjalankan tugas ciptaan dengan teratur. Keputihan Saraswati yang luar biasa menandakan kesaktian akal yang hebat lagi suci. 

Lazimnya, empat tangan ialah lambang kesaktian yang tidak terbatas yang merangkumi segala-galanya. 

Sebagai Dewi Ilmu, tangan kiri Saraswati sering memegang sebuah kitab. Kitab ini ialah lambang segala ilmu sekular atau duniawi. Ilmu intelek sahaja tanpa hati yang penuh dengan perasaan dan emosi adalah bagai sungai yang kering. Maka, Saraswati juga mendukung sebuah Veena (alat muzik) yang dimainkan-Nya. Ini menunjukkan kepentingan seni halus dalam membentuk personaliti yang seimbang. Tangan kanan Saraswati pula memegang sekalung 'aksamala' (tasbih) yang menandakan segala sains rohani atau Yoga termasuk disiplin rohani, meditasi, dan 'japa' atau ulangan nama Tuhan. 'Aksamala' di tangan kanan dan kitab di sebelah kiri menunjukkan bahawa ilmu rohani adalah lebih mulia daripada ilmu sekular. 

Keindahan bulu burung merak secara simbolik mencerminkan dunia yang menakjubkan. Manusia asyik tercicir daripada matlamat rohani disebabkan tarikan duniawi. Jadi, burung merak menandakan ‘avidya’ atau kejahilan. Sebaliknya, burung Hamsa yang dikatakan mempunyai  ‘viveka’ iaitu daya luar biasa untuk mengasingkan susu daripada air. Maka itu, Hamsa menjadi simbol ‘vidya’ (ilmu). Sememangnya ‘vidya’ atau ‘paravidya’ (iluminasi rohani) sahaja boleh memberikan manusia kebebasan muktamad atau Mukti. Namun begitu, ‘avidya’ atau ilmu sekular yang merangkumi segala ilmu sains dan seni juga penting dan tidak harus diabaikan. Īśāvāsya Upaniṣad menyarankan bahawa manusia harus berusaha untuk menyara diri dengan ilmu duniawi dan hanya selepas itu dia boleh mencapai Mukti dengan ilmu rohani. Inilah pelajaran yang kita perolehi daripada dua kenderaan Saraswati iaitu burung merak dan burung Hamsa.

Dewi Saraswati dipuja khususnya pada hari Vasant Panchami dan hari Saraswati Puja semasa Navarathri. Pada kedua-dua pemujaan ini, kanak-kanak Hindu akan menjalani ritual 'Akshara Abhyasa' atau 'Vidyarambham' untuk memulakan alam pendidikan. Selain itu, Dewi Saraswati juga dipuja khas pada hari Deepawali. 


 


Comments

Popular posts from this blog

Kenapa Sembah Berhala?

Soalan Purba Salah satu soalan yang sering dilontarkan kepada seorang Hindu ialah: 'Kenapa kamu sembah patung?' Malah, dalam kalangan penganut Hindu sendiri, ramai yang tidak tahu atau pernah menyoal diri sendiri tentang perbuatan menyembah sesuatu berhala atau gambar. Ini bukan satu soalan yang baru! Soalan ini telah dikemukakan dan dijawab dalam kitab-kitab suci agama Hindu, terutamanya dalam teks-teks   Āgama   dan Purana .  Suatu peristiwa dalam riwayat Swami Vivekananda memberikan jawapan kepada soalan purba ini begini:  Raja Mangal Singh ialah seorang pemerintah di Alwar. Baginda seorang yang berpendidikan moden dan tidak mempercayai agama Hindu.   Dalam suatu pertemuan dengan Swami Vivekananda, Raja Mangal Singh bertitah: “Beta tidak percaya kepada penyembahan berhala. Tengok, beta tidak boleh menyembah  kayu, tanah, batu, atau logam, seperti orang lain. Jadi apakah nasib beta selepas beta mangkat?”   Swami Vivekananda menjawab, “Sa...

Kuil Hindu

Kuil Sri Nandi di Bengaluru Pengenalan  Kuil Hindu sering menjadi bahan cemuhan dan serangan. Apa yang menyedihkan ialah masyarakat Hindu sendiri sering mencemuh dan memandang rendah pada 'Kuil Hindu'. Cemuhan yang sering dilontarkan ialah bahawa tindakan membina atau melawat kuil adalah sia-sia. Mengapakah wang yang boleh digunakan untuk membina sekolah dan membantu orang miskin disia-siakan untuk membina kuil? Apakah gunanya bersembahyang di kuil? Bukankah Tuhan Maha Wujud dan berada di semua tempat? Malah perbuatan sembahyang juga sering dikutuk sebagai perbuatan meminta sedekah!  Semua persoalan ini hanya menunjukkan kejahilan tentang konsep 'Kuil Hindu', perbuatan sembahyang, dan matlamat hidup manusia!  Menurut agama Hindu, matlamat hidup manusia adalah untuk mencapai kebebasan daripada kitaran kehidupan-kematian (samsara) atau dalam kata lain, untuk mencapai Tuhan. Tujuan Kuil Hindu adalah untuk membantu manusia biasa yang menjalani kehidupan beru...

Narada Bhakti Sutras

Narada Muni Pengenalan  "Jalan yang terbaik untuk bersatu dengan Tuhan ialah dengan mengikuti laluan Cinta Ketuhanan yang diajar oleh Narada." ~ Sri Ramakrishna Narada Bhakti Sutra merupakan sebuah karya klasik dan otoriti utama falsafah Bhakti. Karya ini dipercayai dihasilkan oleh Narada, seorang Rishi yang amat terkenal dalam zaman Purana.  Kitab ini menggariskan proses Bhakti (Cinta pada Tuhan) atau Bhakti Yoga. Oleh itu, Narada Bhakti Sutra menjadi sebuah kitab suci yang penting dalam tradisi Bhakti dalam agama Hindu, terutamanya golongan Vaishnava dan Vedantin.   Karya ini juga disanjung tinggi kerana gaya bahasanya yang pendek dan mudah difahami. Ini mungkin kerana Narada hanya merekodkan pengalamannya sendiri. Kitab ini tidak memberikan sebarang teori atau falsafah yang rumit, tetapi suatu panduan ringkas untuk membantu orang-orang yang hendak menjalani disiplin rohani.  Narada juga merakamkan pengalaman dan penga...