Skip to main content

Agama Hindu - Dharma yang Abadi

Pengenalan 

Sejarah agama Hindu menjangkaui lebih 8,000 tahun. Perkataan 'Hindu' kemungkinan berasal daripada perkataan "Sindhu", sebuah sungai. Daripada rujukan geografi dan etnik, kemudiannya perkataan 'Hindu' digunakan untuk merujuk kepada agama yang dianuti oleh masyarakat ini.

Sememangnya perkataan Hindu bukan suatu kosa kata yang tepat atau tradisional untuk 'Agama' masyarakat majmuk yang kini dikenali sebagai orang Hindu. 

Perkataan 'Hindu' tidak pernah digunakan secara tradisional dalam sebarang kitab suci. Negara India juga secara tradisional dikenali sebagai 'Bharata Varsha' atau 'Bharatam'. 

Dalam tradisi Bharatam, tidak ada sebarang perkataan khusus yang membawa maksud 'Agama'. 

Agama ialah kehidupan rohani (Adhyatmika Jivana) dan bukannya suatu sistem. Perkataan yang komprehensif yang digunakan ialah 'Dharma', yang meliputi segala aspek kehidupan dan 'agama'. Dalam kata lain, Dharma merangkumi segala aspek sekular dan kerohanian. 

Pada asasnya, Dharma untuk semua manusia dan aplikasinya berubah menurut masa dan keadaan. Ini kerana, Kebenaran atau Kewujudan ialah Satu dan Tidak Berbahagi. Sifat Kebenaran disebut dalam Rig Veda sebagai Ekam Sat, viprah bahudha vadanti. (Rig Veda, 1.164.46)

Maka itu, secara tradisional, agama Hindu atau Hindu Dharma dikenali dengan beberapa perkataan seperti Sanatana Dharma (Agama yang Abadi), Vaidika Dharma (Agama Veda), Manava Dharma (Agama Manusia), dan sebagainya. 

Swami Vivekananda menyarankan perkataan 'Vedanta' untuk agama Hindu. Ini kerana, Vedanta merupakan asas falsafah yang umum untuk semua mazhab Hindu seperti Vaishnava, Saiva, Sakta, Ganapatya, Saura, Kaumara, dan sebagainya, dan Vedanta juga boleh merangkumi segala agama lain di dunia kerana Vedanta ialah Sains Agama. 

Pokok Ashvattha yang Abadi

Katha Upanishad menyebut tentang sebatang pokok yang terbalik yang dikenali sebagai Pokok Ashvattha. Akar pokok ini berada di atas dan dahan-dahannya pula bercabang ke bawah. Pokok mistikal ini amat besar dan padat meliputi bumi dan angkasa. Disebabkan saiz gergasinya, sering kali ramai yang sesat di dalamnya tanpa dapat membezakan antara akar dan dahan!

Ini Pokok Ashvattha yang Abadi
Akarnya berada di atas (dalam Realiti yang Infinit)
dan dahan-dahannya bercabang ke bawah (dalam Dunia)
ITU adalah Suci
ITU ialah Brahman
dan ITU juga dikenali sebagai Abadi.
Segala dunia berada dalam ITU,
dan tiada sesiapa yang dapat merentasi ITU.
Sesungguhnya, INI ialah ITU.
(Katha Upanishad, VI-I)

Begitu juga dengan agama Hindu. Agama purba ini amat kaya dengan pelbagai bentuk ritual, prinsip-prinsip etika, ilmu kerohanian, ilmu mistikal, dan falsafah. Meskipun purba dan penuh dengan tradisi, agama Hindu sentiasa terbuka untuk pembaharuan dan pemodenan, dan mampu menyerap elemen-eleman baru ke dalamnya dan menyepadukan pelbagai fahaman yang bertentangan. Agama Hindu juga amat praktikal kerana agama ini mampu menyesuaikan diri dengan peredaran masa tanpa melupakan asasnya. Namun begitu, kerja memahami agama Hindu bukanlah mudah! 

Sifat Agama Hindu

Agama Hindu tidak sama dengan agama-agama lain. Sebenarnya, semua agama lain merupakan suatu  kepercayaan (Matam) iaitu kepercayaan kepada Tuhan-Pencipta yang berada di Syurga, suatu Mahkluk Agung yang Maha Berkuasa dan dibezakan dengan alam dan manusia. 

Sebaliknya, agama Hindu bukan suatu Kepercayaan (Matam). Agama Hindu ialah Tattva atau Satya (Kebenaran Agung yang boleh dikaji dan disedari) dan aplikasi praktikal Tattva dalam kehidupan (Dharma). Dalam kata lain, agama Hindu ialah suatu gabungan falsafah, agama, dan etika. 

Kebenaran Abadi yang ditemui oleh para Rishi dirakamkan dalam Veda. Aplikasi Kebenaran Abadi ini dalam kehidupan manusia dikenali sebagai Dharma. Oleh itu, agama ini juga dikenali sebagai Manava Dharma iaitu agama untuk Manusia. Ini bermaksud, kebenaran ini terpakai untuk semua manusia dan bukan sekadar penganut-penganutnya sahaja. Manava Dharma juga membawa maksud bahawa agama ini adalah untuk dan mengenai 'manusia' dan bukan setakat kepercayaan atau dogma mengenai suatu Tuhan di Syurga. 

Agama Hindu adalah amat luas dan mendalam seperti lautan. Secara perlahan-lahan, agama ini telah berkembang, merangkumi segala aspek kehidupan manusia. Agama-agama lain telah berkembang dengan menambahkan bilangan penganutnya dan menakluki kawasan-kawasan baru. Perkembangan agama Hindu pula adalah secara peresapan dalaman. Pelbagai falsafah, sistem agama dan etika, ritual-ritual ringkas dan rumit serta pengalaman mistikal meresapi agama Hindu. 

Agama Hindu telah lahir dan berkembang secara perlahan-lahan daripada:

(a) Shruti : Kebenaran mengenai Brahman, Realiti yang Agung, Sumber dan Intipati segala kewujudan dan pengalaman, sama ada sekular atau kerohanian yang ditemui oleh para Rishi

(b) Yukti : secara perbahasan terbuka dan perbincangan mengenai persoalan-persoalan agama dan falsafah.

(c) Svanubhuti : Kesedaran yang diperolehi secara pencarian kerohanian, renungan, meditasi, dan kesedaran oleh seluruh masyarakat ke atas Kebenaran yang ditemui (Shruti) dan diterima intelek (Yukti).

Penemuan rohani Hindu tidak dihadkan oleh masa seperti agama lain. Dalam kebanyakan agama lain, hanya pengasas agama atau orang tertentu sahaja yang dapat memperolehi kesedaran atau ilmu secara terus. Sebaliknya, agama Hindu tidak bergantung kepada seseorang pengasas, wali, atau 'Anak Tuhan'.

Kebenaran yang ditemui oleh para Rishi, boleh dikaji dan disahkan dengan pengalaman setiap individu. Setiap manusia berhak dan bebas untuk memastikan sendiri Kebenaran yang disebut dalam Shruti. Manusia tidak diwajibkan untuk menerima Kebenaran tanpa soal selidik.

Oleh itu, aspek pengalaman peribadi merupakan satu elemen penting yang membezakan agama Hindu dengan agama lain.

Agama Hindu bukan suatu agama mengenai Tuhan, iaitu Pencipta seperti dalam konteks agama-agama lain. Tuhan dalam agama Hindu bukan suatu Mahkluk Agung yang berada di Syurga.

Sebaliknya, Brahman dalam agama Hindu berada dalam diri setiap mahkluk sebagai Atman. Brahman meliputi segala-galanya dan tidak asing daripada ciptaan.

Matlamat hidup seorang manusia ialah untuk menyedari Tuhan atau sifat ketuhanannya sendiri yang akan memberinya Mukti (Kebebasan Rohani). Pencapaian syurga selepas kematian bukan matlamat hidup seorang Hindu.

Agama Hindu bukan suatu agama teologi seperti dalam konteks agama-agama lain. Agama-agama lain memberi tumpuan utama kepada perkara-perkara monoteisme, politeisme, syurga dan neraka, cara untuk menyembah Tuhan yang berada di syurga, dan mencaci apa yang mereka namakan sebagai 'penyembahan berhala'. Agama Hindu pula tidak memberikan sebarang kepentingan kepada perkara-perkara ini.
Matlamat seorang penganut Hindu ialah untuk menyedari Kebenaran Rohani, menyedari bahawa Tuhan berada dalam setiap kehidupan dan menyedari kesatuan rohani antara setiap mahkluk. Segala bentuk ritual, pemujaan, sembahyang, penyembahan arca Tuhan, penggunaan simbol dan pelbagai sistem falsafah yang berbeza adalah sebenarnya percubaan-percubaan untuk mencapai Kebenaran Rohani ini. Semuanya merupakan Jalan-Jalan berlainan yang menuju ke Satu Matlamat. Maka itu, agama Hindu tidak memberikan sebarang kepentingan kepada apa-apa 'isme' seperti Monoteisme, Politeisme, Animisme, Panteisme atau pun Ateisme.

Menurut Swami Vivekananda, "Kami (orang Hindu) tidak menolak apa-apa pun; sama ada teisme, panteisme, monisme, politeisme, agnostik atau pun ateisme ..."

Agama Hindu adalah universal dan peribadi. Agama ini menarik seseorang yang cenderung dengan kehidupan rohani. Oleh itu, agama Hindu tidak cuba untuk menukar agama atau bergaduh dengan agama lain bagi menegakkan kebenaran. Perubahan dalaman seseorang individu adalah lebih penting bagi agama Hindu berbanding menambahkan bilangan penganutnya. Meskipun agama Hindu tidak pernah cuba untuk menambahkan bilangan penganutnya, agama ini sentiasa terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang ingin untuk mendapatkan ilmu rohani. Sifat terbuka agama Hindu juga terserlah di mana agama ini sedia menerima perkara-perkara baik daripada agama lain dan tidak cuba untuk menyekat pembaharuan.

Agama Hindu menerima semua agama yang benar dan berguna kepada seluruh umat manusia, tidak kira agama primitif atau pun moden. Ini kerana, menurut agama Hindu semua agama-agama lain juga merupakan percubaan roh manusia (Atman) untuk mencapai Kebenaran dengan pelbagai cara.

Agama Hindu bukan satu 'ISME' sama sekali. Agama ini ialah suatu tradisi kerohanian komprehensif yang sentiasa berkembang dan dibaharui daripada zaman ke zaman. Agama ini tidak tertutup atau tersekat dengan sistem-sistem yang statik. Kepelbagaian merupakan nadi agama Hindu. Sama seperti Yang Maha Berkuasa menjelma dalam pelbagai nama dan rupa, agama-Nya juga mempunyai kepelbagaian mengikut kesesuaian masa, tempat dan sifat-sifat berbeza manusia. Maka itu, Kesatuan dalam Kepelbagaian menjadi pelan dasar Agama Hindu. Ini terkandung dalam ayat suci Vasudhaiva kutumbakam - seluruh dunia ialah sebuah keluarga.

Kesimpulan

Agama Hindu berasaskan kepada prinsip-prinsip abadi yang ditemui oleh para Rishi. Penemuan para Rishi sama seperti penemuan sains oleh seorang ahli sains. Setiap penemuan boleh dikaji, diuji dan ditentukan semula oleh mana-mana orang. Begitu juga dengan agama Hindu memberi kebebasan penuh kepada setiap insan untuk mencari Kebenaran. 

Sumber: Hinduism The Eternal Dharma, Swami Mukhyananda 


Comments

Popular posts from this blog

Kenapa Sembah Berhala?

Soalan Purba Salah satu soalan yang sering dilontarkan kepada seorang Hindu ialah: 'Kenapa kamu sembah patung?' Malah, dalam kalangan penganut Hindu sendiri, ramai yang tidak tahu atau pernah menyoal diri sendiri tentang perbuatan menyembah sesuatu berhala atau gambar. Ini bukan satu soalan yang baru! Soalan ini telah dikemukakan dan dijawab dalam kitab-kitab suci agama Hindu, terutamanya dalam teks-teks   Ä€gama   dan Purana .  Suatu peristiwa dalam riwayat Swami Vivekananda memberikan jawapan kepada soalan purba ini begini:  Raja Mangal Singh ialah seorang pemerintah di Alwar. Baginda seorang yang berpendidikan moden dan tidak mempercayai agama Hindu.   Dalam suatu pertemuan dengan Swami Vivekananda, Raja Mangal Singh bertitah: “Beta tidak percaya kepada penyembahan berhala. Tengok, beta tidak boleh menyembah  kayu, tanah, batu, atau logam, seperti orang lain. Jadi apakah nasib beta selepas beta mangkat?”   Swami Vivekananda menjawab, “Saya rasa setiap manusia har

Kuil Hindu

Kuil Sri Nandi di Bengaluru Pengenalan  Kuil Hindu sering menjadi bahan cemuhan dan serangan. Apa yang menyedihkan ialah masyarakat Hindu sendiri sering mencemuh dan memandang rendah pada 'Kuil Hindu'. Cemuhan yang sering dilontarkan ialah bahawa tindakan membina atau melawat kuil adalah sia-sia. Mengapakah wang yang boleh digunakan untuk membina sekolah dan membantu orang miskin disia-siakan untuk membina kuil? Apakah gunanya bersembahyang di kuil? Bukankah Tuhan Maha Wujud dan berada di semua tempat? Malah perbuatan sembahyang juga sering dikutuk sebagai perbuatan meminta sedekah!  Semua persoalan ini hanya menunjukkan kejahilan tentang konsep 'Kuil Hindu', perbuatan sembahyang, dan matlamat hidup manusia!  Menurut agama Hindu, matlamat hidup manusia adalah untuk mencapai kebebasan daripada kitaran kehidupan-kematian (samsara) atau dalam kata lain, untuk mencapai Tuhan. Tujuan Kuil Hindu adalah untuk membantu manusia biasa yang menjalani kehidupan beru

Thirukkural & Agama Hindu

Thirukkural dikenali sebagai suatu teks klasik dunia. Teks Tamil ini bukan sahaja suatu mahakarya yang penuh dengan nilai-nilai estetik dan kesusasteraan, tetapi ia juga suatu panduan hidup untuk seluruh umat manusia. Meskipun Thirukkural menjadi kitab untuk seluruh umat manusia tanpa mengenal agama, kaum, bangsa, darjat, dan seumpamanya yang membawa perbezaan sesama manusia, memang tidak dapat dinafikan bahawa Thirukkural patut kepada segala hukum-hukum asas agama Hindu. Thiruvalluvar tidak pada bila-bila masa pun mencabar atau menafikan sebarang hukum asas agama Hindu.  Doa dan Pujian Setiap kitab atau teks suci agama Hindu bermula dengan doa kepada atau pujian untuk Yang Maha Esa. Setiap kitab atau teks suci agama Hindu bermula dengan doa kepada atau pujian untuk Yang Maha Esa.  Thiruvalluvar, penulis Thirukkural Sumber: Pinterest Thirukkural bermula begini: "Agara mudala ezhuththellam Aadhi  Bhagavan mudhatre ulaku." "'A' adalah abja