Skip to main content

Upanishad


Pendahuluan 
Upanishad merupakan bahagian Veda yang berunsur falsafah. Maka, ajaran Veda yang paling utama terkandung dalam bahagian Upanishad. 

Upanishad merupakan suatu kelas kitab suci yang paling utama dalam memelihara dan mempengaruhi agama Hindu selama beribu-ribu tahun. 

Upanishad meraikan kemenangan kerohanian ke atas material dan kemenangan manusia ke atas alam. Dengan ini, Upanishad telah membina, memperkukuh, dan melindungi suatu tradisi kerohanian yang hebat. Upanishad menggabungkan intelek dan pengalaman mistik. Malah boleh dikatakan bahawa tidak ada sebarang gerakan falsafah atau mazhab agama di India yang tidak dipengaruhi oleh Upanishad. Sebaliknya, banyak gerakan atau mazhab agama ini telah mendapat martabat tinggi atau diterima oleh masyarakat India hanya kerana mereka mengikuti hala yang dicerahi oleh ilmu Upanishad.

Para cendekiawan India telah menemui pengaruh Upanishad dalam kehidupan agama-kebudayaan di negara-negara lain seperti Jepun, China, dan Korea dan Asia Tengah.

Dalam tradisi agama Hindu, Upanishad sentiasa diberikan otoriti yang tertinggi dan diterima sebagai 'Sruti' atau Wahyu.

Maksud "Upanishad" 
Perkataan 'Upanishad' berasal daripada perkataan "sad" yang mempunyai beberapa maksud iaitu melonggarkan, pergerakan, dan penghapusan. Maka, "Upanishad" boleh diberi maksud "ilmu atau pengetahuan suci yang melonggarkan ikatan samsara (kehidupan semula), menghapuskan kejahilan manusia mengenai Dirinya yang sebenar, dan membawanya kepada Tuhan atau Brahman. Maka, kitab suci yang mengajar ilmu ini dipanggil sebagai "Upanishad".

Satu lagi maksud "Upanishad" ialah "duduk di samping". Maka, "Upanishad" ialah "ilmu kerohanian yang diajar secara peribadi atau sulit kepada seorang pelajar yang berkelayakan dan ilmu yang  dipelihara dengan penuh rahsia."


Kamus Sanskrit oleh Monier-Williams menyatakan bahawa "Menurut otoriti orang-orang India, Upanishad bermaksud menyingkirkan kejahilan dengan mendedahkan ilmu Roh yang Agung."

Sankaracharya menjelaskan dalam ulasan Katha Upanishad dan Brihadaranyaka Upanishad bahawa perkataan ini membawa maksud, "Atmavidya, iaitu, Ilmu Atman", atau "Brahmavidya, Ilmu Brahman".

Max Muller dan Paul Deussen menterjemahkan "Upanishad" sebagai "doktrin rahsia". 

Robert Hume pula menterjemahkan perkataa ini sebagai "maksud mistik", sementara Patrick Olivelle pula memberikan maksud "hubungan terselindung". 

Vivekananda menyatakan bahawa "Upanishad mempunyai satu subjek, satu kerja yang perlu dilakukan iaitu kerja membuktikan perkara ini: 'Seperti mana seketul tanah dapat mengajar kita mengenai semua tanah dalam dunia ini, jadi, apakah perkara yang boleh mengajar kita tentang segala-galanya dalam dunia ini?'" 

Menurut Swami Vivekananda, "Upanishad mengajar kita segala-galanya tentang agama." 

Masa Penulisan 
Menurut tradisi, Upanishad ialah Wahyu. Ayat-ayat suci ini didedahkan oleh Tuhan pada permulaan setiap kitaran ciptaan kepada orang-orang yang berkelayakan. Maka, ayat-ayat suci ini adalah abadi. 

Upanishad adalah suatu bahagian integral Veda. Oleh itu, Upanishad juga dipercayai didedahkan serentak dengan masa pendedahan Veda. 

Tarikh-tarikh Rigveda adalah antara 4500 S.M. (oleh B.G.Tilak) dan 2400 S.M. (oleh Hang) dan 1200 S.M. (oleh Max Muller). 

Para cendekiawan Eropah menyatakan bahawa kemungkinan Upanishad didedahkan antara 700 S.M hingga 600 S.M. 

Menurut data astronomikal dalam Maitrayaniya Upanishad, B.G.Tilak mengandaikan bahawa Upanishad itu dihasilkan pada 1900 S.M. Maka, menurut Tilak dan para cendekiawan yang bersetuju dengannya, Upanishad dihasilkan antara tahun 2500 S.M. hingga 2000 S.M. 

Bilangan & Klasifikasi 
Pada masa ini, terdapat lebih 200 judul bercetak yang dikenali sebagai "Upanishad". 

Di Indian Selatan, suatu senarai menurut Muktikopanishad yang diterbitkan dalam bahasa Telugu memberikan senarai 108 Upanishad. Senarai ini telah menjadi popular dan masih diikuti kini. Di India Utara pula, satu senarai 52 Upanishad lebih popular. 

Sankaracharya (788 - 820 M) telah memilih sepuluh Upanishad sahaja untuk menulis ulasannya. Sankaracharya juga merujuk kepada beberapa buah Upanishad lain dalam ulasan Brahmasutra. Ramanuja (1017-1137 M) pula telah menambah dua lagi Upanishad. Sekiranya kita menerima Upanishad-Upanishad ini sebagai yang paling purba dan utama, senarai berikut (menurut susunan abjad) dapat diberikan: 

  • Aitareya Upaniṣad
  • Bṛhadāraṇyaka Upaniṣad
  • Chāndogya Upaniṣad
  • Īśāvāsya Upaniṣad
  • Jābāla Upaniṣad
  • Kaivalya Upaniṣad
  • Kaṭha Upaniṣad
  • Kauṣītaki Upaniṣad
  • Kena Upaniṣad
  • Māṇḍūkya Upaniṣad
  • Mahānārāyaṇa Upaniṣad
  • Muṇḍaka Upaniṣad
  • Praśna Upaniṣad
  • Śvetāśvatara Upaniṣad
  • Taittirīya Upaniṣad
  • Vajrasūcikā Upaniṣad
Para cendekiawan telah memberikan pelbagai klasifikasi berlainan seperti susunan mengikut kronologi dan menurut gaya bahasa. Maka, Brhadaranyaka Upanishad, Chandogya Upanishad, dan Taittiriya Upanishad dianggap sebagai lebih purba berbanding Katha Upanishad atau Svetasvatara Upanishad. 
Selain daripada Upanishad dalam senarai di atas, terdapat banyak Upanishad yang lebih baru dan dipercayai dihasilkan untuk memperkembangkan sesuatu kultus atau mazhab tertentu. Perkataan "Upanishad" ditambah untuk karya-karya lain bagi meningkatkan martabatnya dan agar karya itu diterima sebagai otoriti. Namun, Upanishad-Upanishad ini juga telah menyumbang kepada gerakan agama dan perkembangan moral selain melindungi semangat Vedanta dalam kalangan masyarakat. 
Kumpulan Upanishad minor ini adalah seperti berikut: 
  • Vedānta Upaniṣad
  • Śaiva Upaniṣad
  • Śākta Upaniṣad
  • Vaiṣṇava Upaniṣad
  • Yoga Upaniṣad
  • Saṁnyāsa Upaniṣad
Vedanta Upanishad mengikuti prinsip-prinsip umum dalam Upanishad-Upanishad utama lain. 

Śaiva, Śākta dan Vaiṣṇava Upaniṣad pula mengandungi prinsip dan pandangan mazhab masing-masing. 

Yoga Upanishad memberikan maklumat mengenai Hathayoga dan Rajayoga berdasarkan kepada Yogasutra oleh Patanjali dan kitab-kitab lain mengenai  ilmu Yoga. 

Samnyasa Upanishad pula menyentuh khususnya mengenai ideal dan amalan Samnyasa atau kebiaraan Hindu. 

Kaitan Veda dengan Upanishad boleh dirumuskan seperti berikut:  


Ulasan-ulasan Sanskrit 
Upanishad ialah suatu karya ilmu esoterik yang amat sukar difahami. Bahasa Sanskrit kuno yang digunakan juga menambahkan kesukaran untuk memahaminya. Banyak konsep-konsep yang digunakan adalah berkaitan dengan upacara korban dalam bahagian Samhita dan Brahmana yang kini telah hampir terpupus. Oleh itu, memang sukar atau pun mustahil untuk memahami Upanishad tanpa sebarang bantuan. 

Bagi memudahkan pemahaman kitab-kitab suci purba ini, beberapa orang pemikir Hindu telah menulis ulasan-ulasan yang boleh dipercayai. Sankara (788-820 M) telah menghasilkan ulasan awal beberapa Upanishad. Ulasan-ulasan Sankara juga perlu dipelajari bersama dengan penjelasan yang diberikan oleh Anandagiri (kurun ke-13). 
Rāmānuja (1017-1137M) tidak memberikan sebarang ulasan Upanishad. Namun, beliau telah menghuraikan beberapa konsep-konsep Upanishad dalam karyanya, Vedārthasaṅgraha

Raṅga-rāmānuja (kira-kira 1600 M.) telah menyempurnakan kerja menulis ulasan bagi semua Upaniṣad yang utama. Madhva (1197-1276M) telah menulis ulasan ringkas untuk sepuluh Upanishad purba dan Rāghavendra Tīrtha (1595-1671M) pula telah menulis penjelasan bagi ulasan Madhva. 

Beberapa orang penulis lain juga telah menulis ulasan bagi beberapa Upanishad. 

Brahmānanda Sarasvatī, Śaṅkarānanda (kurun ke-14), Uvaṭārya (kurun ke-11) dan Vedānta-deśika (1268-1370M) telah menulis ulasan Īśāvāsya Upaniṣad. 

Rāghavendra Tīrtha telah menulis ulasan Īśa, Kena, Kaṭha, Praśna, Muṇḍaka dan Māṇḍūkya menurut fahaman Madhva. 

Upaniṣad Brahma Yogīndra telah menulis ulasan-ulasan untuk beberapa Upanishad minor. 

Terjemahan Inggeris
Beberapa orang rahib Ramakrishna telah menterjemahkan Upanishad-Upanishad utama dalam bahasa Inggeris. Antara terjemahan yang popular ialah oleh Swami Gambhirananda, Swami Nikhilananda, Swami Lokeswarananda, Swami Madhavananda, Swami Swahananda, Swami Prabhavananda, Swami Sarvananda, Swami Paramananda, Swami Tejomayananda, dan Swami Vedananda. 


Dalam tradisi Vedanta yang lain pula, Swami Chinmayananda, Swami Sivananda, Alladi Mahadeva Sastry, S.Radhakrishnan, Sri Aurobindo, K.Narayanasvami Aiyar, Janki Parikh, Sree Purohit Swami, A.C.Bhaktivedanta  Swami Prabhupada, Tattvavidananda Saraswat Swami, dan Muni Narayana Prasad telah menterjemahkan beberapa buah Upanishad terpilih. 

Selain itu, beberapa orang cendekiawan barat juga telah menterjemahkan beberapa Upanishad. Antaranya ialah Max Muller, Charles Johnston, Patrick Olivelle, Vernon Katz & Thomas Egenes, Robert Ernest Hume, Alan Jacobs, Valerie J.Roebuck, dan Edward Byles Cowell. 

Falsafah dalam Upanishad
Aliran pemikiran dalam Upanishad adalah suatu kesinambungan daripada  bahagian-bahagian Brahmana dan Aranyaka (bahagian Veda). Walau bagaimanapun, jelas terdapat perubahan arah aliran yang menentang ritualisme. Upanishad juga menunjukkan kecenderungan untuk upāsanā (meditasi) dan jñāna (ilmu).

Bahagian Upanishad yang lebih bersifat falsafah, amnya tertumpu pada perbincangan mengenai punca ciptaan dunia (sama ada wujud atau tidak) serta sifat dan evolusi dunia. Lazimnya, punca ciptaan ini dikenali sebagai "Brahman". 


Satu lagi tema Upanishad yang popular ialah mengenai kewujudan atau ketidakwujudan suatu entiti abadi di sebalik badan-minda. Entiti abadi ini dikenali sebagai "Atman" (Diri atau roh). Adakah Atman satu atau banyak? Adakah Atman sesuatu yang halus atau infinit? Adakah Atman serupa atau berbeza daripada Brahman? Meskipun Upanishad membincangkan soalan-soalan ini, namun tidak ada suatu jawapan yang sama. Terdapat pelbagai pandangan yang berbeza. Falsafah Vedanta yang orthodoks cuba untuk memberikan satu pandangan sebagai pandangan yang betul dan menolak pandangan lain. 

Matlamat kehidupan di dunia dan di akhirat juga menjadi subjek perbincangan dalam Upanishad. Kejahilan mengenai diri sendiri merupakan punca ikatan duniawi. Cara untuk melepaskan diri daripada kejahilan juga diberikan.


Para Rishi dalam Upanishad
Upanishad menyebut mengenai beberapa orang Rishi zaman purba yang hebat. Yājñavalkya merupakan seorang Rishi yang luar biasa pintar. Gautama Aruni seorang guru yang hebat. Rishi Svetaketu seorang guru yang tegas. 

Upacara-upacara ritual yang dilakukan oleh raja-raja yang kaya, berpengaruh, dan mulia memberikan peluang kepada Rishi-Rishi untuk menunjuk bakat di samping mendapatkan kekayaan dan populariti. 

Senarai Rishi-Rishi dalam beberapa buah Upanishad utama adalah:  
Aṅgiras, Bhṛgu, Gārgī, Ghora Āṅgirasa, Hāridrumata, Mahidāsa Aitareya, Nārada, Pippalāda, Raikva, Sanatkumāra, Śāṇḍilya, Satyakāma Jābāla, Uddālaka Āruṇi, Vāmadeva dan Varuṇa.
Yama-Dewa Maut, Prajāpati, raja-raja agung seperti Janaka, Ajātaśatru dan Pravāhaṇa Jaivali juga muncul dalam Upanishad sebagai guru. 
Sesuatu yang menarik mengenai guru-guru Upanishad ini ialah mereka disanjung tinggi kerana ilmu dan kehebatan rohani mereka tanpa melihat kasta, jantina, atau darjat. 
Kesimpulan 
Upanishad mengandungi contoh unggul agama dan falsafah Vedik. Upanishad memberikan kekuatan dan inspirasi kepada Enam sistem Falsafah India (dinamakan "Saddarshana"). Falsafah Vedanta, khususnya, merupakan hasil pemikiran Upanishad. 

Idea Moksha atau Mukti sebagai matlamat utama kehidupan, yang mempengaruhi segala aspek agama dan kebudayaan India, berasal sepenuhnya daripada Upanishad. 

Upanishad juga menjadi salah satu asas Prashtanatraya (tiga kitab suci asas) falsafah Vedanta, disamping Bhagavadgita dan Brahmasutra. 

Upanishad yang penuh dengan idea-idea yang universal lagi mendalam telah menarik perhatian pemikir-pemikir daripada agama-agama dan masyarakat lain. 

Pengajian Upanishad, tanpa sebarang prejudis atau tanggapan awal, akan pasti memberikan kita inspirasi untuk menjelajahi kehidupan rohani. 


Comments

Popular posts from this blog

Kenapa Sembah Berhala?

Soalan Purba Salah satu soalan yang sering dilontarkan kepada seorang Hindu ialah: 'Kenapa kamu sembah patung?' Malah, dalam kalangan penganut Hindu sendiri, ramai yang tidak tahu atau pernah menyoal diri sendiri tentang perbuatan menyembah sesuatu berhala atau gambar. Ini bukan satu soalan yang baru! Soalan ini telah dikemukakan dan dijawab dalam kitab-kitab suci agama Hindu, terutamanya dalam teks-teks   Āgama   dan Purana .  Suatu peristiwa dalam riwayat Swami Vivekananda memberikan jawapan kepada soalan purba ini begini:  Raja Mangal Singh ialah seorang pemerintah di Alwar. Baginda seorang yang berpendidikan moden dan tidak mempercayai agama Hindu.   Dalam suatu pertemuan dengan Swami Vivekananda, Raja Mangal Singh bertitah: “Beta tidak percaya kepada penyembahan berhala. Tengok, beta tidak boleh menyembah  kayu, tanah, batu, atau logam, seperti orang lain. Jadi apakah nasib beta selepas beta mangkat?”   Swami Vivekananda menjawab, “Saya rasa setiap manusia har

Kuil Hindu

Kuil Sri Nandi di Bengaluru Pengenalan  Kuil Hindu sering menjadi bahan cemuhan dan serangan. Apa yang menyedihkan ialah masyarakat Hindu sendiri sering mencemuh dan memandang rendah pada 'Kuil Hindu'. Cemuhan yang sering dilontarkan ialah bahawa tindakan membina atau melawat kuil adalah sia-sia. Mengapakah wang yang boleh digunakan untuk membina sekolah dan membantu orang miskin disia-siakan untuk membina kuil? Apakah gunanya bersembahyang di kuil? Bukankah Tuhan Maha Wujud dan berada di semua tempat? Malah perbuatan sembahyang juga sering dikutuk sebagai perbuatan meminta sedekah!  Semua persoalan ini hanya menunjukkan kejahilan tentang konsep 'Kuil Hindu', perbuatan sembahyang, dan matlamat hidup manusia!  Menurut agama Hindu, matlamat hidup manusia adalah untuk mencapai kebebasan daripada kitaran kehidupan-kematian (samsara) atau dalam kata lain, untuk mencapai Tuhan. Tujuan Kuil Hindu adalah untuk membantu manusia biasa yang menjalani kehidupan beru

Thirukkural & Agama Hindu

Thirukkural dikenali sebagai suatu teks klasik dunia. Teks Tamil ini bukan sahaja suatu mahakarya yang penuh dengan nilai-nilai estetik dan kesusasteraan, tetapi ia juga suatu panduan hidup untuk seluruh umat manusia. Meskipun Thirukkural menjadi kitab untuk seluruh umat manusia tanpa mengenal agama, kaum, bangsa, darjat, dan seumpamanya yang membawa perbezaan sesama manusia, memang tidak dapat dinafikan bahawa Thirukkural patut kepada segala hukum-hukum asas agama Hindu. Thiruvalluvar tidak pada bila-bila masa pun mencabar atau menafikan sebarang hukum asas agama Hindu.  Doa dan Pujian Setiap kitab atau teks suci agama Hindu bermula dengan doa kepada atau pujian untuk Yang Maha Esa. Setiap kitab atau teks suci agama Hindu bermula dengan doa kepada atau pujian untuk Yang Maha Esa.  Thiruvalluvar, penulis Thirukkural Sumber: Pinterest Thirukkural bermula begini: "Agara mudala ezhuththellam Aadhi  Bhagavan mudhatre ulaku." "'A' adalah abja