Skip to main content

Kama Deva

Kama (काम kāma) ialah perkataan Sanskrit yang mempunyai tiga maksud. Amnya  Kama bermaksud “idaman”, “kemahuan”, dan “niat”. Secara spesifik Kama bermaksud “keseronokan” dan “cinta (seksual)”. Selain itu, Kama juga bermaksud ‘Kamadeva’, Dewa Cinta dalam agama Hindu.
Kamadeva
Sumber : MyGodPictures.com

Dewa Kama dan Dewi Rati
Salah satu keistimewaan atau keunikan agama Hindu adalah bahawa setiap aspek kehidupan, baik atau buruk, telah didewa-dewakan atau mempunyai dewa yang mengawalnya.
Demikian, cinta dan nafsu berahi juga berada di bawah sanjungan dewa-dewi. 

Kamadeva (Devanagari: कामदेव) atau Kama ialah Dewa cinta dan keinginan. Kama sering digambarkan bersama-sama pasangan perempuannya, Rati. Kamadeva juga mempunyai seorang isteri lain bernama Trisha.
Nama ‘Kama’ disebut dalam Rig Veda (9, 113. 11). Kamadeva juga ialah suatu nama Vishnu dalam Vishnu Purana dan Bhagavata Purana (SB 5.18.15). Krishna dan Shiva juga dipanggil sebagai Kama. Agni dipanggil sebagai Kama dalam Atharva Veda (6.36.3).
Kamadeva mempunyai beberapa nama lain. Antara nama Kamadeva yang popular ialah:

  • Manmatha (orang yang membawa pergolakan), 
  • Ragavrinta (tangkai nafsu), 
  • Ananga (tidak berjasad), 
  • Manasija (orang yang lahir daripada fikiran), 
  • Kandarpa (orang yang menyemarakkan dewa), 
  • Atanu (tidak berbadan), 
  • Madana (memabukkan), 
  • Ratikanta (tuan Rati), 
  • Pushpavan, 
  • Pushpadhanva, 
  • Kusumashara (orang yang membawa anak panah bunga), dan 
  • Abhipura (juga nama Siva dan Vishnu).
Kama dikatakan sebagai salah seorang putera Brahma. Apabila Brahma memberkatinya dengan kuasa untuk memikat seluruh dunia dengan cinta asmara, Kama berani menggunakan kuasa itu terhadap Brahma sendiri! Akibatnya, Brahma menyumpah Kamadeva untuk menjadi abu dengan bahang pandangan mata ketiga Siva. Atas rayuan Rati, Siva menghidupkan semula Kamadeva.
Kamadeva sering digambarkan sebagai seorang jejaka hijau yang tampan. Dewa ini membawa sebatang tebu sebagai busur dan lima anak panah bunga. Lima bunga Kamadeva adalah bunga Ashoka, teratai putih dan biru, bunga melur dan bunga mangga. Seekor burung kakak tua menjadi kenderaannya. Dewa ini juga mempunyai bendera buaya. Beberapa unsur yang sering dikaitkan dengan Kamadeva adalah burung tekukur, burung kakak tua, lebah, musim bunga, dan angin sepoi-sepoi. Semua simbol ini juga menandakan musim bunga apabila perayaan Holi disambut.
Imej dan lagenda mengenai Dewa Kama telah wujud dalam Rig Veda dan Atharva Veda. Namun, dewa ini lebih popular daripada lagenda dalam Purana.
Menurut Siva Purana, Kamadeva ialah putera Dewa Brahma. Dalam Skanda Purana, dewa ini menjadi abang Prasuti dan putera Shatarupa.  Menurut Matsya Purana pula, Vishnu-Krishna dan Kamadeva mempunyai hubungan keluarga.
Terdapat beberapa kisah berlainan mengenai kelahiran Kamadeva. Dalam Mahabharata, Prajapati bernama Dharma telah lahir dari dada kanan Dewa Brahma. Prajapati kemudiannya, mempunyai tiga orang anak lelaki, Sama, Kama, dan Harsha.
Dalam kisah lain pula, Kama lahir daripada fikiran Brahma atau sebagai putera Sri.  
Rati ialah dewi cinta, asmara, nafsu berahi, dan nikmat seksual. Rati dikatakan sebagai puteri Prajapati Daksha. Disamping suaminya, Rati juga disembah dan sering digambarkan dalam lagenda dan ukiran kuil-kuil Hindu.
Ukiran Kamadeva dan Rati
di kuil Chennakesava, Belur
Nama Dewi Rati berasal daripada perkataan Sanskrit, “ram” yang bermaksud “menikmati” atau “berseronok”. Meskipun perkataan akar ini merujuk kepada segala bentuk keseronokan, lazimnya perkataan “rati” merujuk kepada nikmat asmara.
Menurut Bhagavata (10.55) dan Vishnu Purana (5.27), Rati telah lahir semula sebagai Mayavati, isteri Sambara, tetapi kemudiannya, Rati bersatu dengan suaminya, Manmatha yang telah lahir semula sebagai Pradyumna, putera Sri Krishna dan Rukmini Devi.
Rati seorang gadis yang amat cantik dan menawan. Dewi ini biasanya duduk di atas seekor burung kakak tua sambil memegang batang tebu sebagai busur dan lima jenis bunga sebagai anak panah. Rati juga sering digambarkan sebagai memegang Vina, danda (tongkat), dan akshasutra (kalungan tasbih).
Madana Bhasma atau Kama Dahana
Salah satu lagenda popular mengenai Kamadeva ialah peristiwa pembakaran Kamadeva oleh Siva. Lagenda penuh ini diberikan dalam Matsya Purana (ayat 227-255). Siva Purana juga menyebut tentang lagenda ini.
Para dewa-dewi berada dalam kerungsingan akibat ancaman dan serangan Tarakasura. Kecuali seorang putera Siva, tiada sesiapa pun yang dapat mengalahkan Tarakasura. Namun, Siva tidak berminat untuk menjalani kehidupan rumah tangga dengan Shakti. Oleh itu, para dewa membuat suatu rancangan untuk menimbulkan nafsu asmara Siva. Dewa Brahma menasihatkan Parvati untuk menggoda Siva yang sedang bermeditasi. Dewa Indra mengarahkan Kamadeva untuk mewujudkan suasana yang sesuai untuk membantu Parvati mencapai hasratnya,
Maka, Kamadeva mewujudkan musim bunga di luar masa (dipanggil sebagai ‘Akala Vasanta). Dengan memperdayakan Nandi, penjaga pintu Siva, Kamadeva memasuki istana Siva dalam rupa angin sepoi-sepoi. Kemudian, Kamadeva memancarkan anak panahnya dan membangkitkan Siva daripada meditasi. Oleh kerana meditasinya terganggu, dalam keadaan marah, Siva membuka mata ketiga-Nya dan membakar Kamadeva sehingga menjadi abu. Melihat Parvati, Siva bertanya apakah yang dikehendakinya. Parvati meminta untuk menghidupkan semula Kamadeva.
Siva menghidupkan semula Kamadeva dalam rupa halus tanpa badan. Oleh itu, Kamadeva mendapat nama ‘Ananga’ dan ‘Atanu’. Demikian, Kamadeva dalam rupa halusnya menyelubungi seluruh dunia dan membangkitkan nafsu berahi dalam kalangan manusia.
Menurut Matsya Purana, Kamadeva yang telah dibakar oleh Siva, lahir semula sebagai Pradyumna, putera Sri Krishna dan isterinya Rukmini.
Kuil-kuil Kamadeva
Menurut kepercayaan, tidak ada sebarang kuil untuk Kamadeva. Arca Kamadeva juga tidak dijual untuk pemujaan. Namun begitu, terdapat beberapa kuil purba untuk dewa ini. Antaranya adalah:

  • Kuil purba Madan Kamadeva di Baihata Chariali, daerah Kamrup di Assam. Kuil ini berada dalam keadaan roboh.
  • Kuil Kameshwara di Aragalur. Menurut Sthala Purana, Kamadeva telah membangunkan Siva di tempat ini.
  • Kuil Kameshvara di Kamyavan, salah satu daripada dua belas kuil-kuil rimba di Vrindavan.
  • Kuil Soundaraja Perumal di Thadikombu, berdekatan Dindigul, Tamil Nadu.
  • Kuil Harsat-Mata di Abhaneri mempunyai arca Kamadeva.
Perayaan
Perayaan Holi kadang-kadang disebut sebagai Madana Mahotsava atau Kama Mahotsava dalam bahasa Sanskrit. Pada asalnya, perayaan Holi disambut untuk Kamadeva yang disebut dalam Veda. Pada masa kini, perayaan ini disambut untuk Sri Krishna. Perayaan ini disebut dalam Purva Mimamsa Sutra oleh Jaimini. 

Comments

Popular posts from this blog

Kenapa Sembah Berhala?

Soalan Purba Salah satu soalan yang sering dilontarkan kepada seorang Hindu ialah: 'Kenapa kamu sembah patung?' Malah, dalam kalangan penganut Hindu sendiri, ramai yang tidak tahu atau pernah menyoal diri sendiri tentang perbuatan menyembah sesuatu berhala atau gambar. Ini bukan satu soalan yang baru! Soalan ini telah dikemukakan dan dijawab dalam kitab-kitab suci agama Hindu, terutamanya dalam teks-teks   Āgama   dan Purana .  Suatu peristiwa dalam riwayat Swami Vivekananda memberikan jawapan kepada soalan purba ini begini:  Raja Mangal Singh ialah seorang pemerintah di Alwar. Baginda seorang yang berpendidikan moden dan tidak mempercayai agama Hindu.   Dalam suatu pertemuan dengan Swami Vivekananda, Raja Mangal Singh bertitah: “Beta tidak percaya kepada penyembahan berhala. Tengok, beta tidak boleh menyembah  kayu, tanah, batu, atau logam, seperti orang lain. Jadi apakah nasib beta selepas beta mangkat?”   Swami Vivekananda menjawab, “Saya rasa setiap manusia har

Kuil Hindu

Kuil Sri Nandi di Bengaluru Pengenalan  Kuil Hindu sering menjadi bahan cemuhan dan serangan. Apa yang menyedihkan ialah masyarakat Hindu sendiri sering mencemuh dan memandang rendah pada 'Kuil Hindu'. Cemuhan yang sering dilontarkan ialah bahawa tindakan membina atau melawat kuil adalah sia-sia. Mengapakah wang yang boleh digunakan untuk membina sekolah dan membantu orang miskin disia-siakan untuk membina kuil? Apakah gunanya bersembahyang di kuil? Bukankah Tuhan Maha Wujud dan berada di semua tempat? Malah perbuatan sembahyang juga sering dikutuk sebagai perbuatan meminta sedekah!  Semua persoalan ini hanya menunjukkan kejahilan tentang konsep 'Kuil Hindu', perbuatan sembahyang, dan matlamat hidup manusia!  Menurut agama Hindu, matlamat hidup manusia adalah untuk mencapai kebebasan daripada kitaran kehidupan-kematian (samsara) atau dalam kata lain, untuk mencapai Tuhan. Tujuan Kuil Hindu adalah untuk membantu manusia biasa yang menjalani kehidupan beru

Thirukkural & Agama Hindu

Thirukkural dikenali sebagai suatu teks klasik dunia. Teks Tamil ini bukan sahaja suatu mahakarya yang penuh dengan nilai-nilai estetik dan kesusasteraan, tetapi ia juga suatu panduan hidup untuk seluruh umat manusia. Meskipun Thirukkural menjadi kitab untuk seluruh umat manusia tanpa mengenal agama, kaum, bangsa, darjat, dan seumpamanya yang membawa perbezaan sesama manusia, memang tidak dapat dinafikan bahawa Thirukkural patut kepada segala hukum-hukum asas agama Hindu. Thiruvalluvar tidak pada bila-bila masa pun mencabar atau menafikan sebarang hukum asas agama Hindu.  Doa dan Pujian Setiap kitab atau teks suci agama Hindu bermula dengan doa kepada atau pujian untuk Yang Maha Esa. Setiap kitab atau teks suci agama Hindu bermula dengan doa kepada atau pujian untuk Yang Maha Esa.  Thiruvalluvar, penulis Thirukkural Sumber: Pinterest Thirukkural bermula begini: "Agara mudala ezhuththellam Aadhi  Bhagavan mudhatre ulaku." "'A' adalah abja