Skip to main content

Siapakah Avatara?

Sri Ramakrishna
Konsep Avatara (jelmaan Tuhan) merupakan salah satu kepercayaan utama dan rukun asas dalam agama Hindu, terutamanya dalam falsafah Vedanta dan mazhab-mazhab Vaishnava dan Sakta. Perkataan 'Avatara' lazimnya sering dikaitkan dengan Maha Vishnu. Menurut tradisi-tradisi Vedanta, Vaishnava, dan Sakta, Siva Mahadeva juga telah menjelma dalam beberapa rupa. Namun, pandangan ini tidak diterima oleh mazhab Saivisme. 
Sri Ramakrishna menjelaskan konsep Avatara begini: 
"Manusia boleh menikmati Bhakti dan cinta kepada Tuhan hanya melalui Jelmaan-Nya.  
Permainan (Lila) Tuhan adalah tidak terkira. Tetapi, apa yang aku perlu ialah cinta dan Bhakti. Aku hanya mahu susu. Susu keluar daripada tetek lembu. Jelmaan ialah bagai tetek lembu." 
Sri Rama
Menurut Swami Vivekananda pula: 
Teori Jelmaan ialah gelang pertama dalam rantai idea yang mengakui kesatuan Tuhan dan manusia. 
Asal-Usul
Avatara berasal dari akar perkataan Sanskrit, ava (bawah), dan tri (untuk merentasi). Maka, Avatara bermaksud penurunan Tuhan. 

Kemungkinan konsep Avatara telah wujud sejak zaman VedaRig Veda (3.53.8; 6.47.18) menyebut bahawa Indra mempunyai kesaktian unik untuk menukar rupanya dengan bebas. Beberapa Avatara dalam senarai Dasavatara juga dapat dikenali pada zaman awal kesusasteraan Veda

Teks Satapatha Brahmana menyebut tentang Matsya (jelmaan Tuhan dalam rupa ikan) dan Kurma (jelmaan kura-kura), dan jelmaan Varaha (babi hutan) (1.8.1.1-6; 7.5.1.5; 14.1.2.11). Teks ini juga menyebut tentang Vamana (jelmaan orang kerdil) oleh Vishnu. (1.2.5.1).

Buat julung kalinya, konsep Avatara telah diperkenalkan dalam Bhagavad Gita (4.5-8): 
"Yadā yadā hi dharmasya glānir bhavati bhārata 'abhyutthānam adharmasya tadātmanam srjāmy aham
paritrānāya sādhūnām vināśāya ca duskrtām 'dharma samsthāpanarthāya sambavāmi yuge yuge" (Bhagavad Gītā, 4.7-8)
 "Bila-bila kebaikan atau Dharma merosot dan kejahatan atau adharma bermaharajalela, Aku menjelma. Demi mengembalikan kebaikan, menghapuskan kejahatan, Aku menjelma dalam setiap zaman (Yuga)."
Itulah yang dijanjikan oleh Tuhan dalam Jelmaan-Nya sebagai Sri Krishna.

Selain itu, Devi Mahatmyam dalam Markandeya Purana juga menyebut tentang Jelmaan Tuhan sebagai Dewi. 

"bhrāmarīti ca māṃ lokās tadā stoṣyanti sarvataḥ 'ittham yadā yadā bādhā dānavotthā bhaviṣyati (54)
tadā tadāvatīryāham kariṣyāmyarisakṣyam" (55)
"Dan maka, orang akan memuji-Ku sebagai Bhrāmarī. Demikian, bila-bila masalah timbul disebabkan kedatangan orang jahat, Aku akan menjelma dan memusnahkan musuh-musuh."
Tujuan Avatara
Alam semesta ini berfungsi menurut hukum kosmik yang dikenali sebagai Rta, Satya, atau Dharma. Dengan inteleknya, manusia memahami Rta sebagai Satya (kebenaran). Apabila kehidupan berjalan menurut Satya, maka, Dharma (kebaikan) diamalkan. 

Fikiran manusia telah dibentuk dengan tiga unsur-unsur atau Guna, iaitu Sattva, Rajas, dan Tamas. Maka, fikiran manusia sentiasa berubah-ubah menurut perubahan tiga Guna ini. Apabila, unsur Sattva kuat, manusia akan lebih cenderung untuk mematuhi Dharma. Dalam keadaan ini, dunia akan aman dan damai. Apabila unsur Sattva menjadi lemah dan unsur-unsur Rajas dan Tamas meningkat, manusia akan lebih cenderung ke arah kejahatan. Secara-cara beransur-ansur, dunia akan hilang keamanan. Orang-orang baik yang mengikuti Dharma akan hilang kekuasaan. Sebaliknya, orang-orang jahat akan bermaharajalela. Dalam keadaan-keadaan kritikal seperti ini, Tuhan akan 'turun' dalam rupa manusia (atau makhluk lain) dan mengembalikan semula keseimbangan rohani dan kebaikan (Dharma) di dunia. 
Sri Krishna

Tugas utama Avatara ialah untuk menegakkan semula Dharma. Selain itu, Avatara juga menghapuskan  atau menghukum orang-orang jahat dan melindungi orang-orang baik. 

Avatara ialah jelmaan langsung Tuhan ke tahap manusia demi membantu manusia untuk mencapai matlamat kerohaniannya. 

Apabila manusia hilang kekuatan rohaninya dan tenggelam dalam kehidupan duniawi, kemunculan Avatara memberinya harapan baru. Daripada seorang Avatara, dia dapat mengenali identitinya dengan Tuhan. Jiva lahir sebagai manusia disebabkan tindakan lepasnya (Prarabdha Karma). 

Avatara pula lahir atas kehendak-Nya sendiri demi membantu manusia. Akibatnya, Avatara sentiasa sedar akan misi dan ketuhanan-Nya. Hanya orang yang boleh melihat kedua-dua Maha Mutlak (Brahman) dan alam ciptaan-Nya dapat mengajar tentang Maha Mutlak. 

Demikian, kedatangan Avatara memberikan arus kerohanian baru dan mendorong manusia mencapai tahap kerohanian yang tinggi dan akhirnya, menyedari kesatuannya dengan Tuhan. 

“Apabila banjir besar melanda,” kata Sri Ramakrishna, “semua anak sungai dan parit dipenuhi dengan air tanpa sebarang usahanya sendiri. Begitu juga, apabila Jelmaan Tuhan muncul, satu banjir rohani melimpahi dunia, dan orang merasakan kerohanian meliputi segala-galanya.”

Satu lagi keunikan doktrin Avatara ialah Tuhan menjelma mengikut kehendak zaman dan keperluan. Maka, tidak ada sebarang had kepada jumlah jelmaan atau tempat. Satu-satunya pertimbangan ialah kemerosotan Dharma dan peningkatan adharma, sehingga menyebabkan keseimbangan sosial tergugat. 

Bagaimanakah Tuhan Lahir sebagai Avatara? 
Doktrin Avatara bukan sesuatu yang mustahil. Vedanta menerima bahawa Tuhan menjelma sebagai alam semesta, Tuhan Maha Wujud, Maha Mengetahui, Maha Berkuasa, dan Maha Penyayang. Maka, tidak mustahil bahawa Tuhan boleh menjelma dengan sesuatu rupa khas sebagai Avatara dan mengingati matlamat jelmaan-Nya sejak awal lagi. Avatara tidak terikat dengan Maya dan mengawalnya dengan penuh. Maka meskipun Tuhan lahir dalam rupa manusia, Tuhan tidak terikat dengan kehidupan duniawi. 

Sri Krishna berkata kepada Arjuna, "Meskipun Aku tidak boleh mengurangkan Diri-Ku, meskipun Aku Tuan segala ciptaan, namun dengan bantuan Prakriti-Ku, Aku berkuasa untuk menjelma." 

Prakriti ialah suatu kuasa khas yang membolehkan Tuhan menjelma di bumi. Beberapa orang ahli falsafah menjelaskan Prakriti sebagai Maya. Prakriti bermaksud tenaga ciptaan yang disebut dalam Latin sebagai Procreatrix. Dengan kuasa ini, Tuhan dapat melakukan sesuatu yang mustahil, menjadikan sesuatu yang mutlak kelihatan seperti sesuatu yang terhad. 

Sri Krishna menyebut 'Prakriti-Ku'. Ini menunjukkan bahawa kuasa Maya ini adalah milik-Nya. Maya tidak bebas. Maya bertindak atas kehendak Tuhan. Maka, meskipun Tuhan menjelma dengan menggunakan kuasa Maya, Tuhan masih bebas dan tidak terpedaya dengan Maya seperti manusia biasa. 

Manusia yang terpedaya dan terikat dengan Maya, telah melupakan tentang sifat dirinya sendiri. Manusia menjadi hamba kepada Maya. Dia berfikir bahawa dia cuma sebuah badan yang akan uzur, menjadi tua, dan akhirnya akan mati. Ini tidak berlaku kepada Avatara. 

Sri Krishna mengingatkan ini kepada Arjuna apabila Arjuna bertanya, "Kau dan aku sama umur. Jadi, bagaimana-Kau boleh tahu apa yang telah berlaku sebelum Kau lahir?" Sri Krishna menjawabnya, "Arjuna, kau dan Aku telah melalui beberapa kelahiran. Kau tidak tahu, tetapi Aku ingat semuanya." 

Dalam kata lain, Arjuna, iaitu seorang manusia biasa menganggap dirinya sebagai badan dan tidak sedar dirinya yang sebenar, iaitu Atman yang abadi. Oleh itu, hidupnya terhad dengan kelahiran semasanya. Sri Krishna, Jelmaan Tuhan pula sentiasa sedar bahawa Ia ialah Paramatman. Maka, kesedaran-Nya tidak terhad dan Ia tahu segala-galanya. Jelmaan Tuhan dapat mengasingkan Diri-Nya daripada badan dan fikiran-Nya. Ini membolehkan-Nya menguasai badan dan fikiran-Nya. Ia tidak menjadi hamba kepada nikmat duniawi. Inilah sebabnya, Sri Krishna juga dikenali sebagai Hrishikesha atau Tuan segala deria. 

Sri Krishna seterusnya menegaskan bahawa: "Atas sebab manusia tidak boleh mengenali sifat-Ku yang tidak terhad, mereka melayan-Ku seperti manusia biasa. Aku tetap mutlak meskipun Aku kelihatan terhad." 

Inilah perbezaan sebenar antara manusia dan Avatara. Manusia sentiasa sedar akan hadnya dan tidak sedar akan sifat mutlaknya. Avatara pula sentiasa sedar bahawa meskipun Ia berada dalam badan yang terhad, Ia tetap mutlak. 

Bilangan Avatara
Dalam zaman Purana dan epik, Avatara dihadkan kepada sepuluh sahaja. Namun, terdapat beberapa senarai berlainan untuk sepuluh Avatara ini. 

Menurut satu versi, Dasavatara (sepuluh Avatara) ialah Matsya (ikan), Kurma (kura-kura), Varaha (babi hutan), Narasimha (manusia-singa), Vamana (orang kerdil), Parasurama, Rama, Krishna, dan Gautama Buddha, dan Kalki.  

Pada sekitar kurun ke-10 Masihi, Gautama Buddha telah disenaraikan sebagai Avatara. Dalam teks-teks awal lain pula, Balarama (abang Krishna) menjadi salah seorang Avatara. Dalam beberapa teks lain pula, Buddha dan Balarama menggantikan Krishna. Rasional untuk ini adalah kerana semua Dasavatara ialah sebenarnya jelmaan Krishna, Tuhan Maha Berkuasa.

Srimad Bhagavata memberikan tiga senarai Avatara yang berlainan. Dalam satu senarai, terdapat 22 nama (1.3.6-22), 23 nama (2.7.1.ff), 16 nama (11.4.3.ff), dan juga menyatakan bahawa bilangan Avatara adalah tidak terkira (1.3.25). 

Avatara Vishnu dalam Bhagavata
Bhagavata memberikan satu senarai 22 jelmaan Vishnu yang dikenali sebagai Lilavatara dalam zaman-zaman berlainan seperti berikut:

  • Beberapa Kumara seperti Sanaka (Golongan Kumara ialah bujang-bujang abadi, mahkluk-mahkluk dalam ciptaan pada zaman Kaumara).
  • Varaha (Sang Babi Hutan) yang membawa keluar bumi yang disembunyikan di Rasatala
  • Devarshi Narada (pengajar doktrin Pancharatra)
  • Rishi Nara dan Rishi Narayana (putera-putera Dharma Prajapati)
  • Kapila (pengasas sistem Sankhya)
  • Dattatreya (putera Atri dan Anasuya)
  • Yajna (putera Ruchi dan Akuti)
  • Rishabha (putera Nabi dan Meru) yang mengajar kehidupan Paramahamsa
  • Maharaja Prithu (yang menjumpai sumber-sumber bumi)
  • Matsya (Sang Ikan) yang menyelamatkan Vaivasvata dari Banjir Besar dalam Chakshushamanvantara
  • Kurma (Sang Kura-kura) yang menyokong Gunung Mandara ketika para Deva dan Asura mencari Amirta.
  • Dhanvantari (yang muncul dengan Amirta dari Samudera Susu
  • Mohini (Rupawati yang menggoda para Asura ketika pengagihan Amirta).
  • Narasimha (Separa manusia dan harimau)
  • Vamana (Sang Kerdil) yang menghapuskan Maharaja Bali
  • Parasurama yang menghapuskan golongan Kshatriya
  • Veda Vyasa (putera Parasara dan Satyavati)
  • Sri Rama (putera Dasaratha, hero Ramayana)
  • Balarama (abang Sri Krishna)
  • Sri Krishna (pemberi Bhagavad Gita)
  • Gautama Buddha
  • Kalki (akan datang pada hujung zaman Kali)

Jenis-Jenis Avatara

Adakalanya, Avatara dibahagikan kepada tiga jenis iaitu: Purnavatara, Amsavatara, dan Avesavatara. 



Purnavatara ialah jelmaan Tuhan yang penuh dan sempurna. Purna bermaksud penuh. Rama dan Krishna ialah Purnavatara.



Amsavatara ialah jelmaan sebahagian aspek Tuhan. Amsa bermaksud sebahagian. Vyasa Bhagavan ialah Amsavatara. 



Avesavatara ialah jelmaan Tuhan untuk sementara waktu. Avesa bermaksud kemasukan. Narasimha menjelma dalam badan Padmapada (seorang pengikut Sankara). 

Adakalanya, Tuhan juga menjelma dalam rupa wanita dan sebagai pasangan Avatara. Dharini (isteri Bhagavan Parasurama), Sita, isteri Sri Ramachandra, dan Vishnupriya, pasangan Sri Chaitanya, dianggap sebagai Jelmaan Mahalakshmi. Radha dan para Gopi, Rukmini, Satyabhama dan semua isteri-isteri Sri Krishna kecuali Yamuna dianggap sebagai jelmaan sebahagian Mahalakshmi. Kecuali Sita dan Radha, semua jelmaan lain tidak memainkan sebarang peranan utama. Sita menjadi ideal wanita yang suci. Radha ialah kekasih dan pencinta-Tuhan yang ideal. 

Selain avatar-avatar yang disebutkan dalam kitab-kitab Purana dan Veda, beberapa orang lain juga telah dikenal pasti sebagai Avatara. Mereka adalah orang-orang dengan kesaktian rohani yang luar biasa jika dibandingkan dengan manusia biasa dan diyakini sebagai penjelmaan Tuhan atau manifestasinya. Selain itu, mereka juga telah memainkan peranan utama dalam menegakkan Dharma pada zaman mereka. Mereka ialah:

  • Sri Krishna Chaitanya (Mahaprabhu) jelmaan Sri Krishna dan Srimati Radha
  • Sri Sankara (Sankaracharya) diyakini sebagai jelmaan Siva.
  • Madhvacharya ialah jelmaan Dewa Vayu yang telah menjelma dalam Treta Yuga sebagai Hanuman dan sebagai Bhima dalam Dwapara Yuga.
  • Ramanujacharya dipercayai sebagai jelmaan Lakshmana (adik Sri Rama).

Cabaran
Walaupun kitab-kitab suci dan juga sejarah menunjukkan bahawa Tuhan telah menjelma dalam beberapa keadaan, keraguan manusia tidak akan berakhir. 

Sri Krishna menyuarakan ini dalam Bhagavad Gita begini: 


Avajnananti mam mrda manushim tanumasritam
Param bhavamajnanante mama bhrutamehasvaram


“Tanpa menyedari bahawa Akulah Tuhan Alam Semesta ini, orang-orang bodoh mempersendakan Aku yang menjelma dalam rupa manusia.”
Sesungguhnya, melainkan seorang mempunyai kesucian dan rahmat Tuhan, dia tidak akan dapat mengenali seorang Avatara. 

Menurut Ramayana, hanya 12 orang Rishi sahaya dapat mengenali identiti sebenar Sri Rama. Semua orang lain memandang-Nya hanya sebagai putera Dasaratha.  





Comments

Popular posts from this blog

Kenapa Sembah Berhala?

Soalan Purba Salah satu soalan yang sering dilontarkan kepada seorang Hindu ialah: 'Kenapa kamu sembah patung?' Malah, dalam kalangan penganut Hindu sendiri, ramai yang tidak tahu atau pernah menyoal diri sendiri tentang perbuatan menyembah sesuatu berhala atau gambar. Ini bukan satu soalan yang baru! Soalan ini telah dikemukakan dan dijawab dalam kitab-kitab suci agama Hindu, terutamanya dalam teks-teks   Āgama   dan Purana .  Suatu peristiwa dalam riwayat Swami Vivekananda memberikan jawapan kepada soalan purba ini begini:  Raja Mangal Singh ialah seorang pemerintah di Alwar. Baginda seorang yang berpendidikan moden dan tidak mempercayai agama Hindu.   Dalam suatu pertemuan dengan Swami Vivekananda, Raja Mangal Singh bertitah: “Beta tidak percaya kepada penyembahan berhala. Tengok, beta tidak boleh menyembah  kayu, tanah, batu, atau logam, seperti orang lain. Jadi apakah nasib beta selepas beta mangkat?”   Swami Vivekananda menjawab, “Saya rasa setiap manusia har

Kuil Hindu

Kuil Sri Nandi di Bengaluru Pengenalan  Kuil Hindu sering menjadi bahan cemuhan dan serangan. Apa yang menyedihkan ialah masyarakat Hindu sendiri sering mencemuh dan memandang rendah pada 'Kuil Hindu'. Cemuhan yang sering dilontarkan ialah bahawa tindakan membina atau melawat kuil adalah sia-sia. Mengapakah wang yang boleh digunakan untuk membina sekolah dan membantu orang miskin disia-siakan untuk membina kuil? Apakah gunanya bersembahyang di kuil? Bukankah Tuhan Maha Wujud dan berada di semua tempat? Malah perbuatan sembahyang juga sering dikutuk sebagai perbuatan meminta sedekah!  Semua persoalan ini hanya menunjukkan kejahilan tentang konsep 'Kuil Hindu', perbuatan sembahyang, dan matlamat hidup manusia!  Menurut agama Hindu, matlamat hidup manusia adalah untuk mencapai kebebasan daripada kitaran kehidupan-kematian (samsara) atau dalam kata lain, untuk mencapai Tuhan. Tujuan Kuil Hindu adalah untuk membantu manusia biasa yang menjalani kehidupan beru

Thirukkural & Agama Hindu

Thirukkural dikenali sebagai suatu teks klasik dunia. Teks Tamil ini bukan sahaja suatu mahakarya yang penuh dengan nilai-nilai estetik dan kesusasteraan, tetapi ia juga suatu panduan hidup untuk seluruh umat manusia. Meskipun Thirukkural menjadi kitab untuk seluruh umat manusia tanpa mengenal agama, kaum, bangsa, darjat, dan seumpamanya yang membawa perbezaan sesama manusia, memang tidak dapat dinafikan bahawa Thirukkural patut kepada segala hukum-hukum asas agama Hindu. Thiruvalluvar tidak pada bila-bila masa pun mencabar atau menafikan sebarang hukum asas agama Hindu.  Doa dan Pujian Setiap kitab atau teks suci agama Hindu bermula dengan doa kepada atau pujian untuk Yang Maha Esa. Setiap kitab atau teks suci agama Hindu bermula dengan doa kepada atau pujian untuk Yang Maha Esa.  Thiruvalluvar, penulis Thirukkural Sumber: Pinterest Thirukkural bermula begini: "Agara mudala ezhuththellam Aadhi  Bhagavan mudhatre ulaku." "'A' adalah abja