Skip to main content

Hukum Pembinaan Kuil


Pengenalan

Menurut teks-teks Āgama, kuil-kuil Hindu dikelaskan mengikut jenis arcā yang disembah di sesuatu kuil itu. Teks purba Arcanā Navanīta, membahagikan kuil Hindu kepada lima jenis berdasarkan kepada jenis Arcā seperti berikut:[1]
  • Svayambhu atau Arcā yang wujud secara semulajadi di sesuatu tempat      
  • Daivīka adalah Arcā buatan dewa-dewi
  • Ārṣa adalah Arcā buatan seseorang Rishi
  • Paurānika adalah Arcā yang dipuji dalam Purāa
  • Mānusa adalah Arcā buatan manusia
Teks-teks Āgama hanya mengawal pembuatan Arcā dan pembinaan kuil jenis Mānusa.

Setiap kuil Hindu perlu mempunyai beberapa ciri-ciri tertentu yang dikenali sebagai Ālaya Nirmāna Vidhi (Hukum Pembinaan Kuil). Ālaya Nirmāna Vidhi ini telah diberikan secara terperinci dalam teks-teks agama Hindu.

Suatu struktur buatan manusia yang tidak memenuhi hukum ini tidak boleh disifatkan sebagai sebuah kuil Hindu.

Suatu arca Tuhan juga mesti dibuat menurut ketetapan dalam Āgama. Ini adalah suatu pra-syarat untuk menempatkan arca Tuhan di kuil. Sekiranya arca dibuat tanpa memenuhi keperluan Āgama, arca itu tidak boleh ditempatkan di kuil atau disembah. [2]

Pemilihan Tapak
  • Teks-teks agama menetapkan tempat-tempat yang sesuai untuk mendirikan sesebuah kuil. Kuil adalah istana Tuhan. Maka, perhatian khas perlu diberikan untuk memilih kawasan yang terbaik untuk mendirikan sebuah kuil.
  • Kuil boleh didirikan di bahagian timur, utara, atau timur laut sesuatu penempatan.[3]
  • Kawasan terbaik untuk mendirikan kuil adalah gunung, bukit, rimba, kawasan tepi pantai, dan di tepi sungai. Kawasan yang tidak mempunyai sumber air perlu dielakkan.[4]
  • Kuil boleh dibina dalam bentuk segi empat, segi tiga, segi enam, atau bulat.[5] Namun, bentuk segi empat adalah yang terbaik.[6]

Arah Dan Saiz
  • Setiap bahagian kuil mempunyai arah dan saiznya yang tertentu. Dengan menentukan jenis tanah, arah dan lokasi kuil, seorang Sthapati akan menentukan saiz keseluruhan kuil dan arah untuk membina setiap struktur kuil.
  • Perlu diingati bahawa setiap aspek kuil perlu mematuhi hukum-hukum pembinaan menurut Sthāpatya Śāstra dan Āgama. Kegagalan mematuhi hukum-hukum ini boleh membawa padah atau gagal untuk memberikan pahala yang diharapkan.
  • Menurut teks-teks Āgama, arah untuk kuil adalah seperti berikut:    
        ~ Kuil-kuil Dewi Durga, Dewi Kali, dan Dewi Mariamman menghadap arah utara.
        ~ Kuil Ganapati boleh menghadap mana-mana arah.
        ~ Kuil lain tidak boleh menghadap arah utara. Sebaik-baiknya, kuil-kuil lain menghadap arah timur.  
        ~ Kuil Ganapati boleh menghadap mana-mana arah.
        ~ Kuil lain tidak boleh menghadap arah utara. Sebaik-baiknya, kuil-kuil lain menghadap arah timur.

Plot Tanah
Teks-teks agama memberikan maklumat terperinci bagi pemilihan tanah untuk mendirikan sebuah kuil. Perlu diingati bahawa kuil adalah istana Tuhan. Maka, tanah dan kawasan yang dipilih untuk mendirikan sesebuah kuil harus mempunyai beberapa kriteria khas.

Teks-teks Āgama menyarankan kawasan dan plot tanah yang terbaik di sesuatu tempat untuk mendirikan kuil.

Keadaan Tanah yang Tidak Sesuai untuk Membina Kuil

Beberapa jenis tanah adalah tidak sesuai untuk mendirikan kuil. Antaranya adalah:
  • tanah berpasir
  • kawasan di mana air hujan atau air pembuangan bertakung
  • tanah yang mencerun
  • tanah yang ditimbuni sampah-sarap
  • bekas tanah lombong, kolam, atau tasik
  • kawasan atau berdekatan kawasan perkuburan / tempat pembakaran mayat
  • tanah yang sempit di barat dan selatan
  • tanah yang berbau madu, minyak sapi, dadih, minyak, darah, ikan, mayat, atau burung
  • tanah yang mengandungi Salliyam iaitu bahan-bahan yang tertanam seperti tengkorak manusia, abu, granit, serpihan periuk belangga, besi, mayat manusia, arang, sekam padi, tembaga, bahan-bahan kimia, barang jampi atau ilmu hitam, kayu.
  • halaman rumah atau kawasan perumahan
  • Bahan-bahan salliyam tertanam di tanah kuil akan membawa penderitaan dan masalah.  
Terdapat beberapa cara untuk menentukan kewujudan Salliyam di sesuatu tapak, iaitu:
  • Mengkaji kedudukan planet-planet dalam carta tahunan
  • Pemeriksaan tanah

Bhūparīksa – Pemeriksaan Tanah

Adalah penting untuk memastikan bahawa tanah yang dipilih adalah sesuai untuk mendirikan sebuah kuil. Oleh itu, pemeriksaan tanah dilakukan seperti berikut –

Langkah Pertama

·       Suatu lubang kecil yang mempunyai lebar, panjang, dan kedalaman yang sama (iaitu 2.9 kaki x 2.9 kaki x 2.9 kaki) digali
·       Lubang ini digali di bahagian timur laut atau utara atau timur plot.[7]
·       Tanah yang digali keluar perlu diperiksa untuk melihat petanda-petanda

Petanda-petanda
  • Jika sampel tanah mengandungi sarang lebah, lipan, ular, termit, rambut, semut, iguana, dan salah satu daripada 16 bahan yang disebut di atas, tanah itu perlu dianggap sebagai tidak sesuai untuk membina kuil.
  • Tanah yang mengandungi tembaga adalah sederhana baik.
  • Tanah mengandungi tanduk lembu, batu-bata, pañcaloha (lima jenis logam), cangkerang, lebah, katak, licak, ketam, duit, bijiran dianggap amat bertuah dan akan membawa kebaikan.

Langkah Kedua 
Selepas memeriksa tanah, lubang yang digali perlu diisi dengan air dan susu.
Petanda-petanda
  • Sekiranya air masih bertakung selepas 20 minit, tanah itu adalah sesuai untuk pembinaan kuil.
  • Sekiranya air telah kering sepenuhnya, tanah itu tidak sesuai untuk pembinaan kuil.

Langkah Ketiga
Lubang itu akan diisi semula dengan tanah yang telah digali keluar dan akan diperhatikan.
Petanda-petanda
  • Sekiranya tanah yang diisi semula cukup untuk menutup lubang itu, maka, tanah itu dianggap bertuah (Madhyama)
  • Sekiranya, tanah yang diisi semula lebih daripada mencukupi, tanah itu amat bertuah (Uttama)
  • Sekiranya tanah tidak mencukupi, maka tanah itu tidak bertuah dan akan membawa masalah atau rintangan (Adhama)

Langkah Keempat
  • Karṣaṇa – Pembinaan kuil bermula dengan ritual ini. Dalam ritual ini, tanah untuk membina kuil akan dibajak.
  • Tanah yang dipilih untuk mendirikan tanah akan dibajak dengan menggunakan dua ekor lembu jantan.
  • Tanah yang dibajak akan disemai dengan tujuh jenis benih seperti bijan dan biji sawi.
  • Jika biji bercantas dalam masa 3 hari, tanah itu dianggap Uttama, 4 hari, Madhyama, dan 5 hari, Adhama.[8] 
  • Tanah jenis Uttama adalah terbaik untuk mendirikan kuil.

Remedi

Sekiranya sesuatu plot tanah didapati mengandungi Salliyam, tetapi masih perlu digunakan atas sesuatu sebab tertentu, maka perkara berikut boleh dilakukan sebagai remedi:
  • Kawasan yang akan dibina dengan kuil perlu digali sedalam 1 kaki dan diisi semula dengan tanah baru dari tempat lain.
  • Tanah baru perlu diisi setinggi 2.5 kaki dari paras asal.
  • Selepas meningkatkan tapak dengan cara ini, kuil boleh dibina di atas tanah itu.

Penentuan Saiz dan Dimensi Kuil
Kaedah-kaedah Penggiraan Āyādi

Sebelum membina kuil adalah penting untuk menetapkan perkara-perkara berikut:
  • Arah yang akan dihadapi oleh kuil,
  • Ukuran dan saiz Garbhagrha, dan
  • Dimensi arca yang akan ditempatkan di Garbhagrha.

Ketiga-tiga perkara ini tidak boleh ditetapkan dengan sewenang-wenangnya. Kiraan astrologi berdasarkan Āyādi perlu dibuat berdasarkan kepada sistem yang ditetapkan oleh teks-teks Āgama.

Apakah itu Āyādi?

Āyam bermaksud pendapatan, keuntungan, dan faedah yang diperolehi. Oleh itu, sistem kiraan astrologi ini dikenali sebagai ‘Āyādi Sūtram’ atau ‘Āyādi Poruttam’.

Tujuan membina sesebuah kuil adalah untuk mendapatkan rahmat Tuhan bagi kebaikan masyarakat dan negara. 

Sekiranya Āyādi dipatuhi dalam pembinaan kuil dan arca Tuhan, ini akan membawa kekayaan, kemakmuran, dan segala kesejahteraan kepada masyarakat.

Sekiranya sesebuah kuil dibina tanpa mematuhi atau mengingkari Āyādi, ini akan membawa kesengsaraan dan penderitaan kepada semua orang. Kuil juga akan mengalami pelbagai masalah seperti kelemahan pentadbiran, rebutan kuasa, kemalangan di kuil, dan kerugian kewangan.

Maka, sebaik-baiknya, pelan pembinaan kuil disediakan selepas menentukan kiraan Āyādi.

Āyādi perlu diambil kira dalam menentukan saiz dan dimensi kuil, Garbhagrha, Dvajastambha, Manṭapa, Gopuram, dan Vimāna.

Ukuran kuil dan dimensi Mūla Mūrti ditentukan dengan kiraan Āyādi bagi Karta (ketua pentadbiran kuil), bandar, dan Mūla Mūrti.

Terdapat tiga Nakshatra (bintang) yang digunakan seperti berikut:
  • Ālaya Karta – Janma Nakshatra (Bintang kelahiran) orang yang mengetuai pentadbiran kuil atau jawatankuasa pembinaan kuil.
  • Vāstu Nakshatra bagi bandar di mana kuil berada. Ini boleh ditentukan berdasarkan kepada nama bandar.
  • Nakshatra Swāmi iaitu bintang bagi Swāmi atau Mūla Mūrti yang akan ditempatkan di kuil. Nakshatra untuk setiap Swāmi telah diberikan dalam Śilpa Sāstras.

Saiz kuil perlu ditetapkan dengan mengambil kira dimensi Mūla Mūrti yang akan ditempatkan di kuil. Ini bermaksud, kuil tidak boleh dibina tanpa menentukan saiz dan dimensi Mūla Mūrti terlebih dahulu. Kuil perlu dibina bagi kesesuaian Mūla Mūrti.

Bahan-bahan Binaan

Menurut Kapinjala Samhita, kuil boleh dibina dengan:
·       Batu -  ini adalah terbaik (Uttama)
·       Batu-batan - ini adalah sederhana (Madhyama)
·       Kayu - jenis rendah (Adhama)

Warna

Teks-teks Āgama juga telah menyebut tentang warna yang sesuai untuk setiap arca Tuhan. Kegagalan untuk mematuhi ini juga adalah tidak baik.

Masa
Masa yang sesuai untuk memulakan kerja-kerja pembinaan kuil adalah[9]:

  • Uttarayana (bulan Ādi hingga Mārgalhi) – terbaik
  • Dakshinayana (Āvani, Kārtikai) – baik
Nakṣatra yang sesuai adalah: Revathi, Punarpūsam, Magam, Uttiram, Chittirai, Anuṣam, Tiruvonam, Hastam, Rohini, Pūsam, Asvati, Mrgasīrṣam
Hari yang sesuai adalah: Isnin, Rabu, Khamis, dan Jumaat

Penempatan Semula Kuil Hindu
Selain daripada Svayambhu atau Arcā yang wujud secara semulajadi, semua arca lain boleh dipindah ke kuil baru sekiranya perlu.

Namun, ini hanya boleh dilakukan dengan mengikuti prosedur yang betul dan bukan secara sewenang-wenangnya.

Alasan-alasan wajar untuk memindahkan sesebuah kuil adalah:

·  Kuil berada di atas tanah yang bukan milikan sah kuil 
·  Kuil berada di atas tanah pihak ketiga secara tidak sah atau tanpa kebenaran
·  Kuil berada di atas tanah yang tidak sesuai untuk mendirikan kuil. Misalnya, tanah yang mempunyai Salliyam.

Apakah yang perlu dilakukan untuk memindahkan kuil?

· Mesti mendapatkan sebuah kuil yang siap dibina di tempat baru, dan
· Tarikh dan masa yang sesuai untuk upacara pemindahan arca harus ditetapkan mengikut kiraan Āyādi.

Peringatan 
·  Sesuatu arca yang telah menjalani Pratiṣṭhā tidak boleh dialihkan dari tempatnya dengan sewenang-wenangnya. Sekiranya arca itu dialihkan dari tempatnya, sesuatu kebinasaan akan menimpa negara.[10]
·  Menurut Tirumantiram, Linga yang telah dipuja di kuil tidak boleh dialihkan. Kerajaan akan ditimpa masalah dan wabak penyakit akan meragut nyawa sekiranya Linga dimusnahkan.[11] 
· Tirumūlar juga memberi amaran bahawa perbuatan mengalihkan walau seketul batu dari tembok kuil akan membawa kejatuhan kerajaan dan kemusnahan kepada orang yang melakukannya.[12]
· Sekiranya arca yang telah menjalani Pratishthā rosak atau usang, arca itu tidak boleh dibuang. Arca itu mesti dibaiki, disucikan dan ditempatkan semula. Hukum yang sama terpakai untuk sesebuah kuil.[13]
·  Arca batu hitam tidak boleh dibaiki. Maka, hukum ini hanya terpakai untuk arca-arca daripada logam.


[1] Ālayam: The Hindu Temple, ms.41
[2] The Āgama Encyclopaedia, Vol.IX, ms.21
[3] Ālaya Nirmana Bimbalakṣana Sirpanūl, ms.7-8
[4] Ālaya Arccaṇai - Ākamaṅkaḷiṇ Vaḻiyil Vitimuṟaikaḷ, ms.33-34
[5] Vaikhanasa Āgama
[6] Bṛhad Samhitā
[7] Ālaya Nirmana Bimbalakṣana Sirpanūl, ms.8
[8] Ālaya Nirmana Bimbalakṣana Sirpanūl, ms.8
[9] Vaikhanasa Āgama
[10] Ālayam: The Hindu Temple, ms.41
[11] Nāradīya Samhitā 
[12] Tirumantiram, 515
[13] Tirumantiram, 516


Comments

Popular posts from this blog

Kenapa Sembah Berhala?

Soalan Purba Salah satu soalan yang sering dilontarkan kepada seorang Hindu ialah: 'Kenapa kamu sembah patung?' Malah, dalam kalangan penganut Hindu sendiri, ramai yang tidak tahu atau pernah menyoal diri sendiri tentang perbuatan menyembah sesuatu berhala atau gambar. Ini bukan satu soalan yang baru! Soalan ini telah dikemukakan dan dijawab dalam kitab-kitab suci agama Hindu, terutamanya dalam teks-teks   Āgama   dan Purana .  Suatu peristiwa dalam riwayat Swami Vivekananda memberikan jawapan kepada soalan purba ini begini:  Raja Mangal Singh ialah seorang pemerintah di Alwar. Baginda seorang yang berpendidikan moden dan tidak mempercayai agama Hindu.   Dalam suatu pertemuan dengan Swami Vivekananda, Raja Mangal Singh bertitah: “Beta tidak percaya kepada penyembahan berhala. Tengok, beta tidak boleh menyembah  kayu, tanah, batu, atau logam, seperti orang lain. Jadi apakah nasib beta selepas beta mangkat?”   Swami Vivekananda menjawab, “Saya rasa setiap manusia har

Ramayana

Pengenalan Sri Rama Tidak ada karya lain yang telah mempengaruhi segala aspek kehidupan penduduk India seperti Ramayana. Antara dua epik India, Mahabharata dan Ramayana , ternyata pengaruh Ramayana adalah lebih mendalam dan luas. Sebab utama untuk keadaan ini adalah kerana watak-watak utama Ramayana telah menjelajah hampir ke seluruh benua India termasuk Sri Lanka. Sungai di mana Sita mencuci pakaiannya, batu yang dipijak oleh Rama, gunung yang terbelah dua akibat tekanan Hanuman - demikian rakyat jelata India mengaitkan kampung kecil atau pekan mereka dengan Rama, Sita, Lakshmana, dan Hanuman. Selain itu, setiap watak Ramayana telah menjadi ideal masyarakat Hindu sejak beribu-ribu tahun. Setiap wanita Hindu mengidamkan suami seperti Rama. Setiap lelaki Hindu menginginkan isteri seperti Sita. Setiap adik-beradik cuba menjadi seperti Rama dan Lakshmana. Setiap orang mengharapkan sebuah kerajaan ideal seperti Ramarajya. Demikian, watak-watak Ramayana telah memberikan inspira

Thirukkural & Agama Hindu

Thirukkural dikenali sebagai suatu teks klasik dunia. Teks Tamil ini bukan sahaja suatu mahakarya yang penuh dengan nilai-nilai estetik dan kesusasteraan, tetapi ia juga suatu panduan hidup untuk seluruh umat manusia. Meskipun Thirukkural menjadi kitab untuk seluruh umat manusia tanpa mengenal agama, kaum, bangsa, darjat, dan seumpamanya yang membawa perbezaan sesama manusia, memang tidak dapat dinafikan bahawa Thirukkural patut kepada segala hukum-hukum asas agama Hindu. Thiruvalluvar tidak pada bila-bila masa pun mencabar atau menafikan sebarang hukum asas agama Hindu.  Doa dan Pujian Setiap kitab atau teks suci agama Hindu bermula dengan doa kepada atau pujian untuk Yang Maha Esa. Setiap kitab atau teks suci agama Hindu bermula dengan doa kepada atau pujian untuk Yang Maha Esa.  Thiruvalluvar, penulis Thirukkural Sumber: Pinterest Thirukkural bermula begini: "Agara mudala ezhuththellam Aadhi  Bhagavan mudhatre ulaku." "'A' adalah abja