![]() |
Nayantara sebagai Sita dalam filem Sri Rama Rajyam |
Janaka bertekad untuk melangsungkan perkahwinan dengan seorang yang berjaya mengangkat busur Siva (Sivadhanus) yang dimiliki oleh keturunannya. Ramai raja-raja telah mencuba tetapi gagal untuk mengangkat busur itu.
Rama, putera Dasaratha yang datang ke Mithila bersama-sama gurunya berjaya mengangkat busur itu. Ketika Rama mencuba untuk mengikat busur itu, busur itu terpatah dua akibat tekanan tangan Rama. Peristiwa ini diikuti dengan sambutan perkahwinan Rama dan Sita.
Sita tinggal di istana Ayodhya selama beberapa tahun dengan gembira. Apabila tiba masanya untuk menabalkan Rama sebagai Raja Ayodhya, Dasaratha terpaksa membuangnya dari negeri akibat janjinya kepada Permaisuri Kaikeyi.
Apabila Rama melepaskan kerajaannya dan bersedia untuk bertolak ke hutan, Sita turut mengikut bersama-samanya. Begitulah didikan tentang svadharma yang telah diperolehi Sita. Apabila Rama enggan untuk membawanya ke hutan, Sita membantah bahawa itu adalah hak dan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Dengan memakai kulit pokok dan menghiasi dirinya seperti seorang pertapa, Sita berjalan di hadapan Rama.
Sita sentiasa bersedia untuk mematuhi dan berkhidmat kepada suaminya, Rama. Namun, ada masanya, apabila perlu, Sita juga memberikan nasihat dan pendapatnya dengan berani. Apabila Rama berjanji kepada para Rishi di hutan Dandaka untuk menghapuskan golongan raksasa, Sita membantahnya. Sita menyoal tindakan Rama kerana ianya bertentangan dengan kehidupan pertapa untuk melukakan hidupan lain yang tidak menyusahkannya. Apabila Rama memberikan alasannya, Sita menerimanya dengan penuh anggun.
Kemunculan rusa emas menjadi detik permulaan penderitaan Sita. Terpegun dengan kecantikan rusa emas itu, Sita mendesak Rama untuk menangkapnya. Lakshmana memberi amaran bahawa kemungkinan itu adalah suatu helah. Rama, meskipun sedar akan bahaya, ingin memenuhi permintaan Sita kerana sebelum itu Sita tidak pernah meminta apa-apapun. Seperti ditakdirkan, Rama mengejar rusa emas itu jauh ke dalam hutan. Apabila anak panah Rama menusuk badannya, rusa emas itu bertukar rupa menjadi raksasa Maricha. Maricha menyahut 'Sita! Lakshmana!' dalam suara 'Rama' dan meninggal dunia.
![]() |
Sita oleh Raja Ravi Varma |
Sita terdengar laungan 'Rama' dan tidak dapat mengawal dirinya. Takut bahawa Rama mungkin berada dalam bahaya, Sita mendesak Lakshmana untuk pergi mencari Rama. Lakshmana cuba untuk menenangkannya bahawa Rama mesti selamat. Melihat keengganan adik iparnya untuk mematuhi arahannya, Sita menuduhnya sebagai seorang pembelot. Sita juga mengancam untuk membunuh diri. Khuatir akan ancaman Sita, dengan berat hati, Lakshmana pergi mencari Rama.
Melihat Lakshmana keluar dari asrama mereka, Ravana yang sedang menyamar sebagai seorang pertapa, muncul dan menculik Sita dari asramanya, Sita sedar akan kesalahannya kerana mengesyaki Lakshmana yang cuba melindunginya, Namun, nasi sudah menjadi bubur. Tanpa mengendahkan rayuan Sita, Ravana mengheretnya pergi.
Meskipun terperanjat, takut, dan sedih akan kejadian yang menimpanya, Sita masih dapat berfikir dengan tenang, Apabila dia terpandang beberapa orang vanara di sebuah bukit, Sita menjatuhkan barangan kemasnya untuk menarik perhatian mereka. Lama kemudian, Rama dan Lakshmana berjumpa dengan golongan vanara itu dan meminta bantuan untuk mencari Sita. Mereka menunjukkan barangan kemas yang dijatuhkan oleh Sita. Demikian, Rama dapat mengetahui arah yang dituju oleh Ravana yang menculik Sita.
Dalam tahanan Ravana, Sita menjalani kehidupan yang penuh berdisiplin. Sita tidak terpedaya dengan ketampanan, kekuatan, atau kekayaan Ravana. Berulangkali, Ravana cuba menggodanya dengan kata-kata manis dan bermegah tentang kehebatan dirinya. Bagi Sita, Ravana cuma seorang pengecut dan perompak yang menculiknya. Apabila Ravana bercakap, Sita menjawabnya dengan memandang sehelai jerami kering!
KAUSALYA
Valmiki tidak memberikan sebarang maklumat tentang asal usul Kausalya. Kausalya merupakan permaisuri pertama Dasaratha. Namun, disebabkan cintanya untuk Kaikeyi, Dasaratha telah mengabaikan Kausalya. Tanpa kasih sayang suaminya, Kausalya menjalani kehidupannya di istana seperti seorang Brahmacharini atau pertapa. Dengan sedikit nafkah yang diperolehinya, Kausalya menyara pelajar-pelajar Veda di istananya. Kaikeyi dan dayang-dayangnya juga sering menghina dan mendera Kausalya. Kausalya, seorang wanita bangsawan yang mulia, menghadapi segala cabaran hidupnya dengan tabah dan berserah kepada Tuhan. Hatinya penuh dengan sifat keibuan dan kasih sayang. Mungkin inilah ciri-ciri istimewanya yang memikat hati Tuhan untuk menjelma sebagai puteranya!
![]() |
Kausalya dan Rama Sumber: dasavani.blogspot.com |
Kausalya sering memakai kain sutera putih seperti seorang Brahmacharini. Badannya kurus disebabkan Vrata dan puasa berpanjangan. Mukanya sentiasa kelihatan sedih disebabkan penderitaan selama bertahun-tahun. Puteranya, Rama, merupakan satu-satunya sinar hidupnya.
Mendengar berita penabalan Rama sebagai putera mahkota, Kausalya mengedarkan sedekah secara besar-besaran dan melakukan upacara sembahyang sepanjang hari. Bagai embun pagi yang hidupnya hanya beberapa jam, harapan Kausalya hancur apabila Rama mengumumkan tentang hukuman pembuangan negeri ke atasnya. Dengan penuh kehampaan, Kausalya menusuk hati Dasaratha dengan kata-katanya. Melihat penderitaan Dasaratha kerana terpaksa berpisah dengan Rama, kemarahan Kausalya menjadi reda. Kausalya menyedari bahawa Dasaratha terikat dengan janjinya kepada Kaikeyi dan memohon ampun kerana bercakap kasar.
Kausalya cuba untuk menukar fikiran Rama dengan mengatakan bahawa perintahnya sebagai seorang ibu, 'Jangan pergi ke hutan!', patut diberi keutamaan daripada perintah Dasaratha! Apabila Rama memberikan alasan yang munasabah untuk menyokong pendiriannya, Kausalya menerimanya dengan baik.
Apakah Dharma kewajipan utama seorang wanita yang telah berkahwin? Kausalya tidak sanggup berpisah dengan puteranya, Rama. Tambahan lagi, tanpa Rama di sisinya, kekejaman Kaikeyi pasti akan berlipat ganda. Jadi, Kausalya menangis dan mendesak untuk mengikut Rama ke hutan. Dengan lembut, Rama mengingatkannya tentang kewajipan seorang wanita! Tugas utama seorang wanita adalah terhadap suaminya. Kausalya perlu berada bersama-sama Dasaratha dan menenangkannya. Penderhakaan Kaikeyi telah menghancurkan hati dan segala kekuatan Dasaratha. Kausalya perlu berada bersama-samanya untuk menjaga raja yang tua itu. Kausalya mengawal emosinya dan bersetuju dengan kata-kata Rama. Kemudian, Kausalya melakukan upacara pemujaan dan berdoa untuk perlindungan Rama.
Selepas Rama bertolak ke hutan bersama-sama Sita dan Lakshmana, Kausalya membawa Dasaratha ke istananya. Sepanjang hari, Dasaratha dan Kausalya bercakap dan berfikir tentang Rama. Selepas berpisah dengan Rama, Dasaratha hanya hidup selama lima hari.
Apabila Bharata pulang ke istana, pada mulanya Kausalya menyambutnya dengan pedih. Badannya telah bertambah kurus dan dengan langkah yang lemah, Kausalya melontarkan kata-kata yang pedih. Apabila Bharata menjelaskan bahawa dia tidak berdosa, dan tidak mengingini takhta Ayodhya, Kausalya meminta maaf dan memuji kemuliaan Bharata. Kesanggupan Kausalya untuk mempercayai dan menerima penjelasan Bharata dengan mudah menunjukkan kemuliaan dan kebaikan semula jadi Kausalya.
Kisah hidup Kausalya menggambarkan seorang wanita yang sederhana dengan hati yang mulia. Suka duka hidup tidak sedikit pun menjejaskan kepercayaannya kepada Tuhan. Hidupnya merupakan satu doa yang berterusan.
SUMITRA
Sumitra merupakan permaisuri kedua Dasaratha dan bonda Lakshmana dan Satrughna. Antara semua permaisuri Dasaratha, Sumitra merupakan wanita yang paling tenang, mulia, dan bijaksana. Malah, Sumitra juga sedar bahawa Rama ialah Jelmaan (Avatara) Tuhan! Sumitra tidak menangis atau meratap dengan sedih apabila puteranya, Lakshmana, meluahkan hasratnya untuk pergi ke hutan bersama-sama Rama. Sebaliknya, Sumitra merestui keputusan Lakshmana dan menasihatkannya untuk melayan Rama dan Sita sama seperti ibu bapanya. Sumitra juga memberikan sokongan dan nasihat kepada Kausalya untuk menghadapi segala-galanya dengan tabah.
Perderhakaan Kaikeyi menyebabkan Kausalya dan Sita untuk mengucapkan kata-kata yang pedih. Hanya Sumitra yang tidak menunjukkan sebarang kepedihan. Begitulah kuat hatinya menerima takdir! Dengan tabah, Sumitra mengharungi semua penderitaan yang disebabkan oleh Kaikeyi. Itulah sebabnya Dasaratha sendiri memanggilnya sebagai seorang 'Tapasvini' (pertapa).
KAIKEYI
![]() |
Manthara menghasut Kaikeyi Sumber : ramayanainfo.blogspot.com |
Dengan bersenjatakan kecantikan dan keremajaannya, Kaikeyi menodai dan menghambakan Raja Dasaratha. Takut untuk melukakan hati Kaikeyi, Dasaratha mengabaikan kedua-dua permaisurinya, Kausalya dan Sumitra. Kaikeyi turut mengambil kesempatan untuk menghina dan melakukan penganiyaan terhadap Kausalya dan Sumitra. Entah bagaimana, Kaikeyi melahirkan Bharata, seorang putera yang mulia dan sedikitpun tidak mementingkan diri sendiri!
Pada awalnya, Kaikeyi melayan dan menyayangi Rama sama seperti puteranya, Bharata. Malah, pada mulanya, Kaikeyi menyambut berita penabalan Rama dengan girang. Kecemburuan yang terpendam dalam diri Kaikeyi mula membara apabila, dayangnya, Manthara, mencetuskan api kedengkian. Kata-kata Manthara yang penuh dengki, menyebabkan Kaikeyi hilang dasar pertimbangannya. Dengan amat licin, Kaikeyi mengatur langkah-langkahnya untuk mencapai hasratnya untuk membuang Rama ke hutan Dandaka dan menabalkan Bharata sebagai putera mahkota. Tangisan dan rayuan Dasaratha langsung tidak menukar hati batunya. Dasaratha menyayangi Rama lebih daripada Kaikeyi. Sekiranya Dasaratha tidak terikat dengan janjinya kepada Kaikeyi, tentu raja itu tidak akan menyetujui permintaan Kaikeyi.
Kedegilan Kaikeyi untuk menuntut kerajaan untuk puteranya dan membuang negeri Rama menyebabkan semua orang membencinya. Namun, Kaikeyi tidak mempedulikan apa-apa pun! Selepas Dasaratha mangkat, Kaikeyi tidak bersedih atau berasa salah. Dengan penuh bangga, Kaikeyi menyambut kedatangan Bharata dan mendedahkan berita bahawa baginda telah memenangi kerajaan Ayodhya untuk Bharata. Mungkin Kaikeyi seorang wanita yang bijak menggoda suaminya, tetapi sebagai seorang bonda, Kaikeyi tidak dapat memahami hati puteranya! Kaikeyi tidak menyangka bahawa Bharata akan mencemuhnya sebagai seorang wanita yang tamak dan kejam. Bharata tidak akan bermimpi untuk merampas takhta yang sepatutnya dimiliki oleh Rama. "Kalau bukan kerana Rama, tentu saya sudah membunuh kamu, wanita yang kejam! Rama tidak akan memaafkan saya untuk dosa membunuh seorang wanita, apatah lagi seorang ibu!" Jadi, Bharata hanya memutuskan hubungannya dengan Kaikeyi dan enggan mengakuinya sebagai bonda.
Mungkin kata-kata dan perbuatan Bharata menyebabkan Kaikeyi menyedari kesalahannya dan bertaubat. Bharata bertolak ke hutan untuk membawa Rama kembali ke Ayodhya. Kaikeyi turut menyertai rombongan itu bersama-sama Kausalya dan Sumitra. Apabila Rama pulang ke Ayodhya, Kaikeyi turut menyambutnya dengan gembira.
Comments
Post a Comment