Sarada Devi (Bengali: সারদা দেবী; Sharodā Debi merupakan seorang tokoh wanita India kurun ke-19. Beliau merupakan isteri Sri Ramakrishna Paramahamsa. Kisah hidup Sarada merupakan satu rekod utama dalam sejarah wanita India dan antarabangsa. Hidupnya menjadi idola sebagai seorang anak, kakak, isteri, ibu dan guru rohani. Fakta bahawa seorang wanita kampung yang tidak berpendidikan, yang kini dipuja oleh jutaan manusia di seluruh dunia sebagai seorang Dewi, dapat menggambarkan kehebatannya.
Pada 22 Disember
1853, Saradamani Devi telah lahir di kampung Jayrambati (terletak lebih kurang
100 km di barat Kolkata) di Bengal Barat, India. Sarada ialah anak sulung
Ramchandra Mukhopadhyaya (atau Mukherji) dan Syamasundari Devi, pasangan
Brahmin yang miskin. Ramchandra mencari rezekinya dengan bertani dan juga
melakukan kerja-kerja sami.

Beberapa hari
kemudian, Syamasundari sedang pulang dari kampung asalnya, Sihore. Disebabkan
cuaca yang panas, dia duduk di bawah sebatang pokok Vilwa untuk berehat.
Tiba-tiba dia terdengar bunyi loceng kecil dan melihat seorang budak perempuan
yang hitam manis tetapi sangat cantik. Budak itu turun dari pokok Vilwa dan
mendakap Syamasundari. Sentuhannya menyebabkan Syamasundari pengsan. Apabila
dia terjaga, dia merasakan dirinya hamil.
Kedua-dua
pengalaman mistik ini menunjukkan bahawa kanak-kanak yang akan lahir untuk
mereka ialah seorang dewi.
Tidak lama
kemudian, Syamasundari melahirkan anak perempuan sulungnya. Menurut carta
astrologi, anak itu dinamakan sebagai Saradamani dan Thakurmani (Permata Dewi).
Saradamani dalam Bahasa Bengali bermaksud ‘Permata yang memberikan intipati
hidup’. Nama ini juga dieja sebagai ‘Saradamani’ yang bermaksud Saraswati (Dewi
ilmu). Ramakrishna sendiri mengumumkan bahawa Sarada ialah Saraswati, yang
telah lahir di bumi demi menyelamatkan manusia sejagat, dengan menyorokkan
kecantikannya yang luarbiasa.
Sarada seorang
budak yang amat pemalu dan senyap. Namun dia rajin bekerja dan sering membantu
ibu bapanya di rumah dan di sawah. Sebagai anak sulung dalam keluarganya, dia
menjaga dan mendidik adik-adiknya seperti seorang ibu. Walaupun kecil, dia
sangat bijak dan sering bertindak sebagai hakim dalam pertengkaran kanak-kanak
kampung.
Sejak kecil lagi,
Sarada amat menyayangi patung-patung Lakshmi dan Kali! Dia gemar bermain dengan
menghiasi patung-patung itu dengan bunga dan memujanya.
Pada tahun 1864,
Jayrambati dilanda kemarau panjang. Kegiatan pertanian terhenti menyebabkan
ramai orang miskin mengalami kebuluran. Ramachandra menyediakan makanan percuma
di rumahnya untuk orang-orang yang kebuluran. Sering kali, Sarada mengipas
makanan yang panas agar orang-orang yang kebuluran itu dapat memakan dengan
cepat.
Ketika
Sarada berusia dua tahun, dia telah dibawa ke sebuah kuil Shiva. Apabila
wanita-wanita tua menyoalnya secara main-main, siapakah yang dia akan kahwin
apabila dia dewasa kelak, Sarada menunding ke arah seorang pemuda berusia dua
puluh tahun bernama Gadadhar (Ramakrishna). Tiga tahun kemudian, pada Mei 1859,
Sarada dikahwinkan dengan Gadadhar yang sama!
Perkahwinan Sarada
dengan Ramakrishna memang telah ditakdirkan. Apabila Ramakrishna mendapati
bahawa percubaan ibu dan abangnya untuk mencari seorang jodoh untuknya tidak
berjaya, Ramakrishna memberitahu mereka bahawa jodoh yang telah dipilih
untuknya berada di rumah Ramachandra Mukhopadhyaya di Jayrambati. Malah, carta
astrologi mereka juga amat serasi!
Selepas perkahwinan
yang pelik ini, Sarada pulang ke rumahnya di Jayrambati. Ramakrishna pula
pulang ke kuil Kali di Dakshineswar untuk melakukan disiplin rohani.
Ramakrishna kembali
ke Kamarpukur pada tahun 1867 dan tinggal di sana selama beberapa bulan. Ketika
ini, Sarada yang berusia empat belas tahun berpeluang untuk berjumpa dengannya.
Ramakrishna mengajarnya untuk bersembahyang, bermeditasi dan juga melakukan
kerja rumah. Beliau juga mengajarnya cara-cara untuk berkomunikasi pelbagai
jenis orang. Selepas tinggal di Kamarpukur selama beberapa bulan, Sarada sekali
lagi kembali ke Jayrambati. Dia tidak berpeluang untuk berjumpa dengan
Ramakrishna selama beberapa tahun.
Beberapa tahun
kemudian, Sarada mendengar bahawa suaminya telah menjadi ‘gila’. Wanita-wanita
kampungnya melihatnya dengan penuh simpati kerana dia ditakdirkan untuk
berkahwin dengan seorang ‘gila’. Ramakrishna sedang melakukan pelbagai disiplin
rohani yang luarbiasa yang tidak pernah dilakukan oleh sesiapapun. Oleh itu,
orang menganggap bahawa beliau telah menjadi gila.
Selama beberapa
bulan, Sarada tidak ada cara untuk mengetahui kebenarannya. Dia telah menunggu
dengan harapan bahawa suaminya akan membawanya pergi ke Dakshineswar. Apabila
dia mendengar bahawa suaminya telah menjadi gila, dia menjadi bimbang.
Akhirnya, dia memutuskan untuk pergi ke Dakshineswar untuk berjumpa dengan
Ramakrishna.
Dalam Mac 1872,
Sarada bertolak ke Dakshineswar bersama-sama bapanya dengan berjalan kaki ke
Dakshineswar. Sarada tidak pernah berjalan sejauh hampir 60 batu. Dalam
perjalanan, dia mendapat demam dan langsung tidak dapat bergerak. Selepas
berehat di sebuah pondok di tepi jalan, mereka meneruskan perjalanan ke
Dakshineswar.
Ramakrishna
menerima kedatangan Sarada dengan penuh kasih sayang dan prihatin. Sarada
berasa lega apabila mendapati suaminya normal dan tidak menunjukkan sebarang
tanda kegilaan. Malah, beliau juga menguruskan untuk rawatan Sarada dan
memintanya untuk berehat.
Sama seperti
Ramakrishna, Sarada juga tidak berminat dengan kehidupan duniawi. Ramakrishna
mula memberikan ajaran rohani kepada Sarada dan melatihnya melakukan
kerja-kerja rumah.
Tidak lama
kemudian, pada tahun 1872, pada hari Phalaharini Kali Puja, Ramakrishna memuja
Sarada sebagai Dewi Kali dan mempersembahkan semua hasil kehidupan rohaninya
kepada Sarada. Peristiwa unik ini amat bermakna dalam sejarah kerohanian
manusia. Ia membuktikan bahawa hawa nafsu dapat dihapuskan sepenuhnya dengan
sikap melihat semua wanita sebagai ibu. Melalui pemujaan ini juga, Ramakrishna
memberikan Sarada semua kuasa-kuasa rohaninya dan membangkitkan sifat keibuan
sejagat dalam diri Sarada.
Sarada tinggal di
sebuah bilik kecil di tingkat bawah nahabat (dewan muzik) kuil Kali,
Dakshineswar selama tiga belas tahun. Dalam tempoh ini, dia sering kali
berulang-alih ke Jayrambati untuk menguruskan keluarganya di kampung. Walaupun
dia menjalani kehidupan yang serba kekurangan, dia gembira untuk berada
berdekatan Ramakrishna. Harinya bermula di antara pukul tiga dan empat pagi,
sebelum orang lain bangun. Dia bermandi di Ganga, di sebuah tangga menuju ke
sungai berdekatan Nahabat, dalam kegelapan awal pagi. Kemudian dia menghabiskan
satu setengah jam dengan berdoa di dalam biliknya. Selepas itu, dia memasak
untuk Sri Ramakrishna. Menjelang petang, dia menyediakan sumbu pelita-pelita
dan menyalakannya dan kemudian duduk untuk berdoa dan bermeditasi. Kemudian dia
memasak makanan malam untuk Sri Ramakrishna.
Pada satu hari,
seorang pedagang kaya datang kepada Ramakrishna dan memintanya untuk menerima
sejumlah wang untuk perbelanjaan beliau. Ramakrishna menolak wang itu tetapi
apabila pedagang itu mendesaknya, beliau meminta Sarada untuk menerimanya.
Sarada yang bijak turut menolak wang itu kerana jika dia menerimanya, wang itu
masih akan digunakan untuk Ramakrishna. Apabila Ramakrishna mendengar tentang
keputusan Sarada, beliau berasa gembira dengan semangat pelepasan Sarada.
Hidup Sarada Devi
di Dakshineswar berlalu dengan gembira. Apabila orang ramai mula mengerumuni
Sri Ramakrishna untuk mendapatkan ajaran rohani, Sarada juga memainkan
peranannya dengan menyediakan makanan untuk pelawat-pelawat itu. Adakalanya,
pada waktu malam, dia terpaksa memasak untuk pengikut-pengikut Ramakrishna.
Adakalanya, berhari-hari dia tidak berpeluang untuk berjumpa dengan Sri
Ramakrishna yang sibuk memberikan ajaran rohani kepada pengikut-pengikutnya.
Dalam kalangan
pengikut Ramakrishna, beberapa orang wanita alim menjadi teman dan kawan
Sarada. Yogin-Ma, Gopaler Ma dan Golap Ma, adalah beberapa orang wanita yang
rapat dengan Sarada. Mereka membantu Sarada melakukan kerja-kerja memasak dan
sebagainya. Adakalanya, apabila Sarada malu untuk meluahkan sesuatu kepada
Ramakrishna, mereka menjadi pesuruhnya. Demikian, Sarada menghabiskan hampir
tiga belas tahun di Dakshineswar.
Suka, atau duka,
tidak berterusan selama-lamanya. Sekitar September 1885, Ramakrishna mengalami
sakit tekak, yang dikenalpasti oleh doktor sebagai penyakit barah. Oleh sebab
beliau perlu sentiasa dijaga, beliau dibawa ke sebuah rumah-taman di Kasipur,
yang lebih dekat dengan bandar Calcutta.
Sarada memasak
untuk beliau dan untuk pengikut-pengikut muda beliau yang tinggal di situ untuk
menjaga beliau secara bergilir-gilir. Narendra, bakal Swami Vivekananda, dan
ramai lagi pemuda sepertinya menjaga beliau sepanjang masa. Keadaan beliau
bertambah buruk. Namun, ketika ini, beliau mengarahkan Sarada untuk meneruskan
dengan kerja-kerja menjaga pengikut-pengikutnya selepas kematiannya.
Ia adalah 16 Ogos
1886, Ramakrishna meninggalkan jasadnya. Selepas menjalankan upacara pembakaran
mayatnya, Sarada menanggalkan barangan kemasnya. Ketika dia hendak menanggalkan
gelang tangannya, roh Ramakrishna muncul di hadapannya. Sambil menekan tangan
Sarada, beliau berkata: “Adakah saya sudah mati kamu bertindak seperti seorang
janda? Saya hanya telah berpindah dari sebuah bilik ke bilik yang lain.”
Selepas kematian
Sri Ramakrishna, Sarada Devi melakukan lawatan ibadah bersama-sama beberapa
orang temannya seperti Golap-Ma dan Lakshmi Didi. Dengan berdoa dan
bersembahyang di tempat-tempat suci seperti Deoghar, Varanasi, Prayag, dan
Vrindavan, Sarada mengubati hatinya yang sedih. Ketika ini, beliau memberikan
mantera kepada Yogin, seorang pengikut Ramakrishna yang kemudiannya menjadi
rahib. Sarada mengakhiri lawatan ini pada bulan Ogos 1887 dan pulang ke
Calcutta.
Tidak lama
kemudian, dia bertolak ke rumah pusaka Ramakrishna di Kamarpukur. Sebelum
kematiannya, Ramakrishna telah meminta Sarada untuk pergi ke Kamarpukur dan
tinggal di sana seorang diri. Kini, Sarada menunaikan janjinya kepada
Ramakrisna. Selama hampir sembilan bulan, Sarada tinggal di Kamarpukur dalam
kemiskinan. Kecuali padi daripada sawah keluarganya, dia tidak ada apa-apa pun.
Jadi, Sarada memasak nasi dengan padi itu dan memakannya tanpa secubit garam.
Kemudian, dia menanam beberapa sayur-sayuran di belakang rumahnya. Dengan
tenag, Sarada mengharungi kemiskinan. Namun, hatinya tidak senang kerana dia
tidak dapat bermandi di Sungai Ganges, seperti yang biasa dilakukannya di
Dakshineswar.
Pada suatu hari, dengan mata kasarnya, Sarada melihat Sri Ramakrishna tampil di hadapannya. Tiba-tiba, Sungai Ganges memecut keluar dari tapak kakinya dan mengalir dengan deras! Peristiwa ini meyakinkan Sarada bahawa Sri Ramakrishna wujud dalam segala-galanya. Menurut mitologi Hindu, Sungai Ganges berasal daripada tapak kaki Dewa Vishnu dalam Jelmaan-Nya sebagai Vamana.
Pada suatu hari, dengan mata kasarnya, Sarada melihat Sri Ramakrishna tampil di hadapannya. Tiba-tiba, Sungai Ganges memecut keluar dari tapak kakinya dan mengalir dengan deras! Peristiwa ini meyakinkan Sarada bahawa Sri Ramakrishna wujud dalam segala-galanya. Menurut mitologi Hindu, Sungai Ganges berasal daripada tapak kaki Dewa Vishnu dalam Jelmaan-Nya sebagai Vamana.
Apabila
pengikut-pengikut Ramakrishna di Calcutta mendapat tahu tentang kehidupan
Sarada di Kamarpukur, mereka menjemputnya ke Calcutta. Sebuah rumah disewa dan
para pengikut mengambil tanggungjawab untuk menjaga Sarada Devi yang mereka
panggil sebagai 'Ibu Yang Alim'.
Demikian, Sarada
ditempatkan di rumah-taman Nilambar Babu di kampung Belur. Ketika ini, dia
melakukan ‘Pancatapa’ suatu disiplin rohani yang rumit. Empat ungun api
dinyalakan di atas teres rumah itu, setiap satu pada jarak enam kaki. Terikan
matahari yang bersinar di atas adalah api yang kelima. Sarada dan Yogin-Ma
(salah seorang temannya) bermandi di Ganes pada waktu subuh dan, duduk di
tengah-tengah ungun-ungun api itu, dan melakukan meditasi. Mereka melakukan ini
sehingga matahari terbenam. Selama tujuh hari berturut-turut mereka melakukan
ini dari subuh ke senja.
Dalam tahun 1888,
Sarada melakukan lawatan ibadah ke Gaya, sebuah kota purba suci untuk Vishnu.
Dia juga melawat Bodh Gaya, di mana Buddha mendapat Ilmu. Di sini dia melawat
sebuah biara Hindu yang besar dan berasa gembira untuk melihat rahib-rahib yang
hidup dengan senang. Mereka tidak merana dalam kemiskinan. Hati keibuan Sarada
menderita memikirkan keadaan anak-anaknya (pengikut-pengikut Sri Ramakrishna
yang menjadi rahib) yang sedang merantau sebagai fakir-fakir. Dengan
bersungguh-sungguh, Sarada berdoa kepada Sri Ramakrishna untuk menyediakan satu
biara untuk pengikut-pengikutnya.
Selepas kematian
Sri Ramakrishna, Sarada Devi mengambil tugas menjaga Surabala, kakak iparnya
yang gila dan Radhu, anak saudaranya yang hampir gila. Sarada juga sering
terlibat dengan persengketan keluarga abang-abangnya.
Sri Ramakrishna
telah mengarahkan Sarada Devi untuk meneruskan tugas kerohanian. Sarada
memberikan ajaran dan mantera suci kepada kepada ratusan orang. Sesiapa sahaja
yang memanggilnya sebagai ‘Ibu’ menerima kasih sayangnya. Malah, orang-orang
yang dibenci oleh masyarakat juga menerima simpati dan kasihnya. Siang
dan malam, dia sibuk memikirkan tentang kebaikan ‘anak-anaknya’ dan melakukan
disiplin rohani seperti japa dan meditasi untuk mereka.
Narendranath,
pengikut utama Sri Ramakrishna, menjadi Swami Vivekananda. Pada awal 1893, Vivekananda
telah hampir memutuskan untuk berlayar ke Amerika untuk menyertai Persidangan
Agama-Agama Dunia di Chicago. Tetapi dia masih mempunyai satu keraguan: adakah
ia benar-benar niat Tuhan? Bagi mendapatkan kepastian, Vivekananda menulis
surat kepada Sarada Devi dan meluahkan hasratnya. Hanya selepas Sarada
memberikan restunya, Vivekananda bertolak ke Amerika.
Swami Vivekananda
kembali ke India pada awal 1897 selepas kejayaannya di Barat. Tidak lama
kemudian, sebidang tanah dibeli di kampung Belur, merentasi Ganga. Di sini,
Biara Belur, pusat Ramakrishna Order didirikan.
Pada 1899, Sarada
Devi melawat Biara Belur, ditemani oleh Saudari Nivedita dan beberapa orang
pengikut Vivekananda. Apabila Sarada pertama kali menjejaki tanah Biara itu,
Vivekananda menjemputnya dengan penuh rendah diri. Sarada menyapu dan
membersihkan sebuah tempat di tanah itu dan memuja sebuah potret Sri
Ramakrishna di situ. Sarada berasa amat gembira kerana akhirnya ‘anak-anaknya’
sudah mempunyai sebuah tempat tetap.
Sejak Sarada
berpindah ke Kolkata, dia ditempatkan di rumah-rumah pengikut Sri Ramakrishna
dan kadang-kadang di rumah sewa. Swami Saradananda, seorang pengikut Sri
Ramakrishna bertekad untuk mendapatkan sebuah rumah untuk Sarada. Dengan
meminjam dan memungut derma, dia membeli sebuah bangunan yang cantik di
Baghbazar, Kolkata. Pada 23 Mei 1909, Sarada memasuki rumah baru ini dan
tinggal di tingkat pertama rumah ini sehingga ke akhir hayatnya.
Di tingkat bawah
rumah ini, Saradananda menulis biografi ‘Sri Ramakrishna Lilaprasanga’, dalam
bahasa Bengali (‘Sri Ramakrishna, The Great Master’). Hasil jualan buku ini
digunakan untuk membayar pinjaman Rumah Ibu. Di bangunan ini juga, sebuah
pejabat jurnal bulanan Udbodhan ditempatkan. Udbodhan merupakan jurnal Bengali
yang dimulakan oleh Vivekananda pada tahun 1899. Oleh itu, Rumah Ibu juga dikenali
sebagai ‘Rumah Udbodhan’.
Pada akhir bulan
Februari 1911, Sarada dan beberapa orang lain melawat tempat-tempat suci di
India Selatan. Swami Ramakrishnananda yang berada di Madras (kini Chennai)
telah menjemputnya untuk melawat tempat-tempat suci dan berjumpa dengan
pengikut-pengikut di sana. Semasa lawatan ini, Sarada memuja Sivalinga di kuil
Rameswaram dengan 108 daun Bilwa emas. Ketika melakukan pemujaan dengan
tangannya sendiri, secara tidak sengaja Sarada berkata bahawa Sivalinga itu
masih berada sama seperti yang ditinggalkannya dahulu. Menurut tradisi,
Sivalinga itu telah dibuat oleh Dewi Sita.
Seterusnya, Sarada
melawat Ramakrishna Ashrama (kini Ramakrishna Math, Bangalore) di Bangaluru
sebelum kembali ke Kolkata. Dia menetap di sini selama tiga hari daripada 24
hingga 26 Mac 1911. Sebuah memorial telah didirikan bagi menandakan tempat di
mana Sarada bertapa.
Sekali lagi, pada tahun 1912, Sarada melakukan lawatan ke Varanasi.
Selama 34 tahun,
Sarada menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu dan guru kepada ribuan
orang yang mencari ketenangan rohani. Bilangan anak-anaknya yang makin
bertambah menyebabkan dia langsung tidak dapat berehat. Usianya kini 67 tahun
dan badannya telah menjadi lemah. Tanpa mengendahkan kesihatannya, Sarada berjumpa
dengan sesiapa sahaya yang datang untuk mendapatkan restunya.
Awal tahun 1920,
Sarada mula mengalami demam setiap hari. Keputusan diambil untuk membawanya ke
Kolkata untuk rawatan. Pada 24 Februari 1920, buat kali terakhir, Sarada
meninggalkan Jayrambati dan kembali ke Rumah Udbodhan. Di sini rawatan yang
terbaik diberikan, namun demamnya tidak berhenti.
Sarada Devi
meninggal dunia pada 21 Julai 1920. Jasadnya dibawa merentasi Ganges ke Biara
Belur dan dibakar di atas unggun kayu cendana. Kini di tapak yang sama, sebuah
kuil marmar telah dibina menempatkan abu suci Sarada Devi.
Nasihat Akhir
Beberapa hari
sebelum kematiannya, Sarada Devi berkata,‘Mengapa
kamu nak takut? Kamu telah melihat Sri Ramakrishna… Biar saya memberitahu kamu
sesuatu. Anakku, jika kamu mahu ketenangan, jangan lihat kesalahan sesiapa pun.
Lihatlah kesalahan kamu sendiri. Cubalah untuk menjadikan dunia ini milikmu.
Anakku, sesiapa pun bukan orang asing. Seluruh dunia ini ialah milikmu.’ Ini adalah nasihat terakhir Sri Sarada Devi.
Dua ayat pertama di
atas memberikan kepastian kepada semua pengikut Sri Ramakrishna. Sesiapa yang
telah melihat Sri Ramakrishna atau menjadikan Sri Ramakrishna sebagai ideal
hidupnya, tidak perlu takut. Panduan hidup yang diberikan oleh Sri Ramakrishna
akan pasti membantu mereka untuk merentasi ‘Samsara’ iaitu kitaran hidup ini.
Ayat seterusnya
menunjukkan cara untuk mengatasi ketakutan dan juga hasil yang diperolehi
dengan mengikutinya. Apabila kita berhenti melihat kecacatan atau kelemahan
orang lain, kita akan dapat mengekalkan hubungan yang baik dengan semua orang.
Dengan melihat kelemahan diri sendiri, kita akan berusaha untuk mengatasi
kelemahan itu. Kita juga akan lebih bersimpati dan memahami orang lain.
Ayat ‘Sesiapa pun
bukan orang asing. Seluruh dunia ini ialah milikmu’ ialah kebenaran yang
diutarakan oleh falsafah Vedanta. Dalam dua ayat ini, Sarada Devi telah
merumuskan falsafah Vedanta bahawa Atman atau Tuhan yang Satu wujud dalam
segala-galanya. Oleh kerana, semuanya ialah Atman yang sama, tidak ada
perbezaan di antara manusia. Perbuatan memburukkan orang lain ialah sama
seperti mencaci diri sendiri!
KRONOLOGI HIDUP Tahun | Peristiwa |
1853 Disember 22 | Kelahiran di Jayrambati |
1859 Mei | Perkahwinan dan lawatan pertama ke Kamarpukur |
1860 Disember | Lawatan kedua ke Kamarpukur |
1866 Mei (?) | Lawatan ketiga ke Kamarpukur |
1866 Disember - 1867 Januari | Lawatan keempat ke Kamarpukur |
1867 Mei - November | Lawatan kelima ke Kamarpukur |
1872 Mac (?) | Lawatan pertama ke Dakshineshwar |
1872 Jun 5 | Shodashi-puja |
1873 | Di Jayrambati |
1874 Mac 26 | Kematian Ramchandra Mukhopadhyaya, bapa Sri Sarada Devi |
1874 | Lawatan kedua ke Dakshineshwar |
1875 September | Di Jayrambati |
1875 | Jatuh sakit dan kebangkitan Dewi Simhavahini |
1875 November | Permulaan pemujaan Jagaddhatri |
1876 Februari 27 | Kematian Chandramani Devi, ibu mertua Sri Sarada Devi |
1876 April | Shambhu Babu menghadiahkan sebuah rumah |
1877 Januari | Lawatan ketiga ke Dakshineshwar (Pertemuan dengan pasangan perompak di Telo-bhelo) |
1881 Februari/Mac | Lawatan keempat ke Dakshineshwar |
1882 Februari | Lawatan kelima ke Dakshineshwar |
1884 | Lawatan keenam ke Dakshineshwar |
1885 Mac | Lawatan ketujuh ke Dakshineshwar |
1885 Oktober | Bersama-sama Sri Ramakrishna di Shyampukur |
1885 Disember 11 | Bersama-sama Sri Ramakrishna di Cossipore |
Berpuasa di Tarakeshwar | |
1886 Ogos 16 | Kematian Sri Ramakrishna |
1886 Ogos 30 | Ziarah ke India Utara (khususnya Vrindavan) |
1887 | Di Kamarpukur selama sembilan bulan |
1888 sehingga Oktober | Di rumah taman Nilambar Mukherjee (Belur) |
1888 daripada November | Di Puri |
1889 daripada Februari | Di Kamarpukur |
1890 Mac 25 | Ziarah ke Gaya |
1890 Oktober | Di Jayrambati |
1893 | Di rumah taman Nilambar Mukherjee |
1895 | Ziarah kedua ke Vrindavan |
1904-05 | Ziarah ke Puri |
1906 Januari | Kematian Shyamasundani Devi, ibu Sri Sarada Devi |
1907 Oktober | Pemujaan Durga di rumah Girish Ghosh |
1909 Mei 23 | Lawatan pertama ke ‘Udbodhan’ |
1910 Disember | Di Kothar, Orissa |
1911 Februari-Mac | Lawatan ke India Selatan |
1911 Jun 10 | Perkahwinan Radhu, anak saudara Sarada Devi |
1912 Oktober 16-21 | Pemujaan Dewi Durga di Belur |
1912 November 5 –Januari 15 | Ziarah ke Varanasi |
1915 Ogos - September | Di Koalpara |
1916 Mei 15 | Di rumah baru di Jayrambati |
1916 Oktober 3-6 | Pemujaan Dewi Durga di Belur |
1920 Julai 21 | Mahasamadhi |
Comments
Post a Comment