Skip to main content

Sri Sankaracharya

Adi Śaṇkaracharya - juga dikenali sebagai Sankaracharya(Ādi) ŚaṅkarācāryaŚaṅkara BhagavatpādaŚaṅkara Bhagavatpādācārya. 

Beliau merupakan salah seorang ahli falsafah dan teologi Hindu yang terkenal dari India. Doktrin Advaita Vedanta merupakan sumbangan utama Sankara.
Sankara bersama-sama pengikutnya
Penulisan Śaṇkara dalam bahasa Sanskrit telah memberikan asas yang kukuh untuk doktrin Advaita Vedanta. Beliau juga telah menulis ulasan-ulasan Upanishad, Brahma Sutras dan Bhagavad Gita (ketiga-tiga kitab ini dikenali sebagai Prasthanatraya). Penulisan Śaṇkara menentang ajaran-ajaran falsafah Mimamsa dan beberapa mazhab Samkhya dan mazbah Buddha.
Śaṇkara merantau di seluruh benua India untuk menyebarkan falsafahnya melalui perbincangan dan perdebatan dengan pemikir-pemikir lain. Beliau juga memberikan nafas baharu kepada kehidupan rahib atau Samnyasa dengan mengasaskan tradisi rahib Dashanami. Śaṇkara juga ialah pengasas empat biara utama yang memainkan peranan penting dalam perkembangan dan pembangunan semula Advaita Vedanta.

Sumber

Sebarang percubaan untuk melakar riwayat Śaṇkara, menghadapi dua cabaran. Pertama, fakta-fakta yang tidak mencukupi. Kedua, biografi tradisionalnya penuh dengan pelbagai perkara ajaib yang sukar dipercayai atau dijelaskan secara rasional. [1]
Hampir ke semua biografi Śaṇkara bersetuju bahawa beliau hidup hanya selama 32 tahun. Namun, mengenai tarikh lahirnya, wujud beberapa percanggahan. Menurut satu pendapat, beliau lahir pada tahun 788 Masihi dan sesetengah pendapat lain pula menerima tahun 684 Masihi.[2]
Setakat ini, hampir 21 biografi tradisional Śaṇkara telah dikenalpasti. Dalam kalangan biografi ini, ŚaṇkaraVijaya oleh Anandagiri dan Śaṇkara Digvijaya oleh Mādhava-Vidyāraṇya dianggap sebagai yang paling sah dan diterima ramai.[3]

Riwayat Hidup

Kelahiran

Śivaguru dan Āryāmbā ialah suami isteri yang soleh dari kasta Nambūdiri. Mereka tinggal di Kālaḍī (di negeri Kerala) berdekatan sungai Pūrṇā. Selepas berdoa kepada Dewa Śiva di Vrṣabhācala, mereka mendapat seorang anak lelaki. Mereka menamakannya sebagai Śaṇkara.
Śaṇkara mempunyai kecerdikan dan bakat yang luarbiasa. Ketika dia masih seorang kanak-kanak, dia telah mempelajari semua sastera agama. Ketika Śaṇkara berusia empat tahun, bapanya meninggal dunia. Āryāmbā seorang diri membesarkannya. Selepas menamatkan pendidikan Gurukula, Śaṇkara ingin menjadi seorang Sannyasin.
Pada suatu hari, Śaṇkara sedang bermandi di sungai Pūrṇā. Tiba-tiba seekor buaya menangkap kakinya. Āryāmbā yang berada di tebing sungai menjerit meminta tolong tetapi tiada sesiapa di tempat itu. Apabila usahanya untuk melepaskan diri tidak berjaya, Śaṇkara meminta ibunya bahawa dia akan mati dengan tenang sekiranya dia dapat mengambil ikrar rahib ketika itu. (Ini dikenali sebagai Āturasaṃnyāsa, iaitu ikrar rahib yang diambil ketika saat kematian.) Āryāmbā tidak dapat menolak permintaan anak kesayangannya. Sebaik sahaja Śaṇkara melafazkan ikrar rahib secara mental, buaya itu melepaskannya dan menghilangkan diri.
Menurut sastera agama, seseorang yang terselamat selepas mengambil ikrar rahib mesti mengambil ikrar itu secara formal dan menjalani kehidupan rahib. Dengan keberatan, Āryāmbā mengizinkan anaknya untuk menjalani kehidupan rahib. Namun sebelum meninggalkan ibunya, Śaṇkara berjanji bahawa dia akan berada disamping ibunya ketika ibunya menanti ajalnya.

Kehidupan Rahib

Demikian, ketika berusia lapan tahun, Śaṇkara menjadi seorang rahib. Seterusnya, Śaṇkara memulakan satu perjalanan yang jauh ke sisir sungai Narmada untuk berjumpa dengan Mahaguru Govinda Bhagavatpāda. Beliau merupakan seorang rahib terkenal zaman itu dan dipercayai sebagai jelmaan (Avatara) Ādiśesa. Govinda Bhagavatpāda dengan kesaktian yoganya telah mengetahui tentang kedatangan Śaṇkara. Beliau menerima Śaṇkara sebagai pelajarnya dan melatihnya dalam falsafah Advaita. Selepas pendidikan selama tiga tahun, atas arahan Mahagurunya, Śaṇkara bertolak ke Kāśī, pusat segala ilmu.
Śaṇkara memulakan asramanya di Kāśī dan mengajar falsafah Advaita Vedanta. Ramai pelajar-pelajar dari serata benua India berkumpul di asramanya. Beberapa orang dalam kalangan mereka menjadi pengikut setia Śaṇkara. Antaranya, Sanandana (kemudian dikenali sebagai Padmapāda) - salah seorang daripada empat pengikut utama Śaṇkara.
Antara peristiwa penting dalam hidup Śaṇkara yang berlaku di Kāśī ialah pertemuannya dengan Dewa Viśwanātha (Śiva) yang muncul sebagai seorang banjingan. Peristiwa ini menghapuskan saki-baki kejahilan Śaṇkara dan menjadikannya seorang Mahaguru yang tiada tandingan dan insan yang sempurna. Seterusnya, atas arahan Dewa Viśwanātha, Śaṇkara bertolak ke Badarīnātha, sebuah tempat suci di pergunungan Himālaya. Beliau membaiki semua sebuah kuil lama Nārāyan̩a dan memperkenalkan sistem pemujaan yang teratur. Di Badarīnātha juga Śaṇkara menghasilkan ulasan Brahmasūtras (dikenali sebagai Brahmasūtras Bhāṣya). Penulis asal karya Brahmasūtras, Muni Vyāsa sendiri dikatakan telah mengesahkan dan memuji ulasan Śaṇkara.

Lawatan ke Seluruh India

Seterusnya, Śaṇkara bertolak ke India Selatan, mengalahkan dan menukar pendeta-pendeta falsafah lain seperti Maṇḍana Miśra. Śaṇkara juga berjaya menukar beberapa kumpulan Kāpālika di Śriīśaila (kini di negeri Andhra Pradesh) dan Gāṇapatya di Gokarṇa (di Karnataka) yang mengamalkan amalan-amalan yang keji.
Sementara itu, Śaṇkara mendapat tahu (dengan kuasa yoganya) bahawa ibunya sedang tenat. Seperti yang telah dijanjikannya, Śaṇkara melawat ibunya dan atas permintaan ibunya, Śaṇkara menyanyikan sebuah Stotra. Ibunya meninggal dunia dengan melihat rupa Dewa Vīṣṇu. Apabila penduduk Kalaḍi memukaunya dan enggan membantunya melakukan upacara pembakaran jasad ibunya, Śaṇkara seorang diri melangsungkan upacara pembakaran jasad ibunya.
Selepas merantau di India Selatan dan mendapat dua orang pengikutnya, Hastāmalaka dan Toṭaka, Mahaguru Śaṇkara bertolak ke utara sehingga ke Kashmir. Selepas mengalahkan semua pendeta-pendeta daripada pelbagai mazhab, Śaṇkara menaiki takhta Ilmu, Sarvajñapīṭha di kuil Sarasvatī.
Semasa merantau di seluruh India, Śaṇkara telah menubuhkan empat buah Maṭha atau biara di empat tempat utama iaitu di Purī, Śṛṅgerī, Dvāraka dan Joṣimaṭha. Beliau juga melantik empat orang pengikut utamanya sebagai ketua biara-biara ini. Demikian, Śaṇkara membentuk tradisi kerahiban yang berpanjangan untuk meneruskan dengan kerja-kerja yang telah dimulakannya. Rajah berikut menunjukkan butiran empat biara ini:
No.NamaTempatKetua Pertama
1Śāradā MaṭhaŚṛṅgerīSureśvara
2Kālikā MaṭhaDvārakāHastāmalaka
3Jyotir MaṭhaBadarīToṭaka
4Govardhana MaṭhaPurīPadmapāda
Śaṇkara berjaya menghidupkan semula agama Veda dengan penulisan dan propaganda luasnya mengenai prinsip-prinsip falsafah yang kukuh.Di

Tahun-tahun Terakhir

Menurut kepercayaan popular, Śaṇkara telah memasuki sebuah gua bernama Dattātreyaguhā di Himālaya berdekatan Badarī dan hilang selama-lamanya. Menurut versi lain yang masih berterusan ialah, Śaṇkara telah menubuhkan sebuah lagi biara di Kāñcīpuram (di Tamil Nadu) bernama Kāmakoṭipīṭha dan menetap di sana sehingga kematiannya. Kontrovesi mengenai ini tidak dapat diselesaikan kerana tiada bukti kukuh.


Falsafah Śaṇkara

Alam Semesta

Menurut Sankara, dunia atau Alam Semesta tidak boleh dijelaskan dengan kepastian kerana ia sentiasa berubah. Dunia tidak boleh dikatakan sebagai wujud atau tidak wujud. Sesuatu yang benar-benar wujud tidak boleh kemudiannya menjadi tidak wujud. Namun, setiap saat, ia sedang musnah, dan sesuatu yang baru lahir. Jadi, ia tidak boleh dikatakan sebagai wujud atau tidak wujud. Namun, kedua-dua keadaan ini tidak boleh wujud dengan serentak. Macam mana sesuatu yang abadi boleh menjadi fana dalam masa yang sama? Bagi menjelaskan keadaan ini, Sankara menggunakan terma 'Maya'. Alam Semesta ini bersifat Maya.[4]

Jiwa

Apakah yang dimaksudkan dengan 'Aku'? Siapakah ‘Aku’? Jawapan kepada soalan ini ialah ‘Aku seorang yang cantik’, ‘Aku seorang peguam’, ‘Aku seorang kaya’, ‘Aku seorang Tamil’ dan sebagainya. Manusia dengan salah mengenalpasti dirinya dengan jasadnya yang fana. Sankara membuktikan secara analisasi bahawa jiwa adalah sempurna. Aku bukan badan. Aku ialah jiwa. Aku mempunyai badan. Individu mempunyai tiga faktor iaitu badan, minda, dan ego atau diri. Badan dan minda sentiasa berubah. Ego atau diri tidak berubah kerana diri yang sama yang wujud sejak kelahiran hingga kematian seseorang individu. Perubahan bermaksud kematian sesuatu dan kelahiran sesuatu yang lain, peninggalan sesuatu dan kemasukan sesuatu yang lain, penamatan sesuatu dan permulaan sesuatu yang lain. Maka, tidak berubah bermaksud tidak ada permulaan dan pengakhiran. Dalam kata lain, ‘tidak berubah’ bermaksud ‘abadi’. Sankara juga membuktikan bahawa sesuatu yang abadi juga adalah infinit. Demikian, Sankara membuktikan bahawa jiwa adalah infinit dan abadi.[5]
Śaṇkara juga membuktikan kesatuan jiwa. Tidak boleh ada dua infinit. Diri aku ialah Diri sebenar di sebalik semua badan dan minda.  Keadaan ini sama untuk semua hidupan. Hanya wujud satu Diri. Diri yang sama berada dalam semua hidupan. Ini ialah falsafah Advaita atau sistem monistik. 

Sumbangan Śaṇkara

Śaṇkara merupakan seorang penulis yang prolifik. Beliau telah meninggalkan banyak karya-karya yang boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu: Bhāṣya, Prakaraṇa, dan Stotra.
  •  Bhāṣya ialah eksposisi terperinci yang berasaskan kepada kitab-kitab asas falsafah Vedanta dan agama Hindu iaitu Brahmasutras, Upanishad dan Bhagavad Gita (dikenali sebagai Prasthānatraya). Beliau juga telah menulis ulasan Viṣṇusahasranāma (Mahābhārata, Anuśāsanparva, bab 149), Sanatsujātīya (Udyogaparva, bab 40-45) dan Lalitātriśatī.
  •  Prakaraṇa ialah karya-karya ringkas Advaita Vedānta. Antara karya yang popular ialah: Aparokṣānubhūti, Ātmabodha, Laghuvākyavṛtti, Upadeśasāhasrī, Vākyavṛtti, dan Vivekacūdāmaṇi.
  •  Stotra atau puisi-puisi suci oleh Śaṇkara ialah Ānandalaharī, Bhajagovindastotra, Dakṣināmūrtyaṣṭaka, Daśaślokī, Gopālāṣṭaka, Harimīḍestotra, Manīṣāpañcaka, Śivabhujaṅgaprayāta, Sopānapañcaka dan Viṣṇuṣaṭpadī.
  •  Selain ini, Śaṇkara juga dikatakan telah menghasilkan dua karya Tantra iaitu Prapañcasāra dan Saundaryalaharī.  
Śaṇkara melakukan semua ini dan lebih lagi tanpa sedikit pun merendahkan martabatnya atau terpesong daripada prinsip kehidupan rahibnya. Hanya seorang Avatārapuruṣa (jelmaan Tuhan) dapat mencapai kejayaan yang mengagumkan ini.[6]

Mengenai Śaṇkara

Menurut Dr Radhakrishnan: "Riwayat Śaṇkara memberikan gambaran yang amat bertentangan. Beliau seorang ahli falsafah, penyair, cendikiawan, wali, ahli mistik dan juga seorang pembawa reformasi agama. Beliau mempunyai pelbagai bakat berlainan sehingga jika kita cuba untuk memikirkan personalitinya, kita mendapat gambaran-gambaran berbeza. Dalam zaman remajanya, beliau penuh dengan cita-cita intelektual, seorang pembahas yang berani dan tidak mudah mengalah. Menurut pandangan lain, beliau seorang ahli politik yang bijak dan licik (lebih kepada patriot) yang cuba untuk membawa rasa perpaduan dalam kalangan rakyat. Bagi pendapat ketiga, beliau seorang ahli falsafah yang tenang yang terlibat dalam percubaan untuk mendedahkan percanggahan kehidupan dan pemikiran dengan kepastian yang tiada tandingan. Keempat, beliau seorang mistik yang menyatakan bahawa kita lebih mulia daripada apa yang kita tahu. Tidak ada ramai orang yang universal sepertinya."

Swami Vivekananda sering menekankan keperluan menggabungkan ilmu dan iman dan berkata bahawa kita memerlukan "akal Śaṇkara dan hati Buddha". Ketika mengajar falsafah Vedanta, beliau sering mengambil pendekatan Śaṇkara dan mengungkap di sana sini pandangan Ramanuja. Swami Vivekananda yang dianggap sebagai seorang pendukung terbaik falsafah Śaṇkara dalam zaman moden berkata bahawa "Śaṇkara ialah guru falsafah Vedanta yang terbaik." 

Swami Vivekananda berkata lagi, "Śaṇkaracharya telah menangkap irama Veda, nada kebangsaan. Sesungguhnya saya sentiasa membayangkan bahawa ketika muda beliau telah mempunyai sedikit pandangan seperti saya, dan beliau menghidupkan semula muzik purba seperti itu. Seluruh hasil kerjanya ialah cuma suatu denyutan keindahan Veda dan Upanishad-Upanishad." 

Falsafah Śaṇkara bukan pessimistik mahupun optimistik. Falsafahnya adalah kenyataan fakta yang ringkas. Teori Śaṇkara mendedahkan percanggahan dalam dunia ini. Namun, daripada satu sudut, teorinya boleh dikatakan bersifat optimistik kerana beliau percaya bahawa kejahilan dapat dihapuskan dan beliau menunjukkan cara untuk melakukannya. 

Comments

Popular posts from this blog

Kenapa Sembah Berhala?

Soalan Purba Salah satu soalan yang sering dilontarkan kepada seorang Hindu ialah: 'Kenapa kamu sembah patung?' Malah, dalam kalangan penganut Hindu sendiri, ramai yang tidak tahu atau pernah menyoal diri sendiri tentang perbuatan menyembah sesuatu berhala atau gambar. Ini bukan satu soalan yang baru! Soalan ini telah dikemukakan dan dijawab dalam kitab-kitab suci agama Hindu, terutamanya dalam teks-teks   Āgama   dan Purana .  Suatu peristiwa dalam riwayat Swami Vivekananda memberikan jawapan kepada soalan purba ini begini:  Raja Mangal Singh ialah seorang pemerintah di Alwar. Baginda seorang yang berpendidikan moden dan tidak mempercayai agama Hindu.   Dalam suatu pertemuan dengan Swami Vivekananda, Raja Mangal Singh bertitah: “Beta tidak percaya kepada penyembahan berhala. Tengok, beta tidak boleh menyembah  kayu, tanah, batu, atau logam, seperti orang lain. Jadi apakah nasib beta selepas beta mangkat?”   Swami Vivekananda menjawab, “Saya rasa setiap manusia har

Kuil Hindu

Kuil Sri Nandi di Bengaluru Pengenalan  Kuil Hindu sering menjadi bahan cemuhan dan serangan. Apa yang menyedihkan ialah masyarakat Hindu sendiri sering mencemuh dan memandang rendah pada 'Kuil Hindu'. Cemuhan yang sering dilontarkan ialah bahawa tindakan membina atau melawat kuil adalah sia-sia. Mengapakah wang yang boleh digunakan untuk membina sekolah dan membantu orang miskin disia-siakan untuk membina kuil? Apakah gunanya bersembahyang di kuil? Bukankah Tuhan Maha Wujud dan berada di semua tempat? Malah perbuatan sembahyang juga sering dikutuk sebagai perbuatan meminta sedekah!  Semua persoalan ini hanya menunjukkan kejahilan tentang konsep 'Kuil Hindu', perbuatan sembahyang, dan matlamat hidup manusia!  Menurut agama Hindu, matlamat hidup manusia adalah untuk mencapai kebebasan daripada kitaran kehidupan-kematian (samsara) atau dalam kata lain, untuk mencapai Tuhan. Tujuan Kuil Hindu adalah untuk membantu manusia biasa yang menjalani kehidupan beru

Thirukkural & Agama Hindu

Thirukkural dikenali sebagai suatu teks klasik dunia. Teks Tamil ini bukan sahaja suatu mahakarya yang penuh dengan nilai-nilai estetik dan kesusasteraan, tetapi ia juga suatu panduan hidup untuk seluruh umat manusia. Meskipun Thirukkural menjadi kitab untuk seluruh umat manusia tanpa mengenal agama, kaum, bangsa, darjat, dan seumpamanya yang membawa perbezaan sesama manusia, memang tidak dapat dinafikan bahawa Thirukkural patut kepada segala hukum-hukum asas agama Hindu. Thiruvalluvar tidak pada bila-bila masa pun mencabar atau menafikan sebarang hukum asas agama Hindu.  Doa dan Pujian Setiap kitab atau teks suci agama Hindu bermula dengan doa kepada atau pujian untuk Yang Maha Esa. Setiap kitab atau teks suci agama Hindu bermula dengan doa kepada atau pujian untuk Yang Maha Esa.  Thiruvalluvar, penulis Thirukkural Sumber: Pinterest Thirukkural bermula begini: "Agara mudala ezhuththellam Aadhi  Bhagavan mudhatre ulaku." "'A' adalah abja