Skip to main content

Siapakah Guru Yang Sejati?

Maksud 'Guru' 


Guru bermaksud 'seseorang yang dipuji (disebabkan sifat-sifat mulianya)' dan 'seorang yang mengajar (ilmu seperti Veda)'. 

Dalam agama dan kebudayaan Hindu, setiap sains atau ilmu perlu dipelajari secara langsung daripada seorang Guru yang bertauliah dalam sesuatu bidang. 

Pembelajaran dianggap sebagai suatu disiplin kerohanian (Tapasya). Oleh itu, Guru yang mengajar sesuatu ilmu perlu dihormati dan disanjung tinggi. 

Perkataan 'Guru' juga digunakan dalam konteks yang luas. Adakalanya, perkataan ini bermaksud, 'seorang yang menyingkirkan kegelapan kejahilan'. Dalam konteks ini, Guru merujuk kepada seorang guru rohani, seorang yang mahir dalam ilmu sastera agama dan telah kukuh dalam ilmu Brahman atau Tuhan (Mundaka Upanishad 1.2.12). 

Kepentingan Guru 
Sankaracharya menggubah sebuah puisi yang indah yang dikenali sebagai "Guru Ashtakam". Sebuah rangkapnya berbunyi begini:  
ṣaḍańgādivedo mukhe śastravidyā
kavitcādi gadyaḿ supadyaḿ karoti
gurorańghripadme ḿanaścenna lagnaḿ
tataḥ kiḿ tataḥ kiḿ tataḥ kiḿ tataḥ kiḿ
Maksud: Seorang mungkin mahir dalam Veda, Vedanga, dan segala ilmu sains; mempunyai bakat berpuisi dan menghasilkan puisi dan sajak yang hebat, namun, jika fikirannya tidak memikirkan tapak teratai Gurunya, apakah gunanya semua ini? 

Kepercayaan dan ketaatan kepada Guru disanjung tinggi dalam agama Hindu. Hanya seorang yang mempunyai kepercayaan kuat kepada Gurunya dikatakan akan mengalami perkembangan rohani. 

Agama Hindu, terutamanya Vedanta, menekankan kepentingan mendapatkan ilmu rohani daripada seorang guru. Seorang yang serius untuk mencapai perkembangan rohani perlu mendapatkan mantera daripada seorang Guru. Mantera yang diperolehi terus daripada seorang Guru diyakini mempunyai kesaktian yang tinggi berbanding Mantera yang didapatkan daripada buku. 

Sri Ramakrishna menjelaskan bahawa: 
"Lebih baik mendengar daripada membaca. Lebih baik melihat daripada mendengar. Seorang memahami kitab-kitab suci dengan lebih baik apabila mendengarnya daripada seorang guru atau orang alim. Dengan itu dia tidak perlu memikirkan tentang bahagian yang tidak penting."  

Bagaimana hendak mengenali seorang Guru? 
Terdapat beberapa syarat yang ditetapkan untuk mengenali seorang guru yang sejati. 

Kathopanishad memberikan kelayakan seorang guru begini:  
Sritriyo vrjino kaamahato yo Brahmavittamah –
Orang yang berilmu dalam sastera agama, suci murni, tidak dicemari nafsu ghairah, dan seorang yang mengenali Brahman” ialah guru sejati.

Swami Vivekananda menjelaskan ini dalam Bhakti Yoga begini: 
"Jadi, bagaimana kita hendak mengenali seorang guru? Lampu tidak diperlukan untuk melihat matahari. Kita tidak perlu menyalakan lilin untuk melihat matahari. Apabila matahari terbit, secara spontan kita menyedarinya. Apabila seorang guru datang untuk membantu kita, secara spontan, jiwa kita tahu bahawa kebenaran telah mula meneranginya. Kebenaran adalah bukti kebenaran. Kebenaran tidak memerlukan sebarang keterangan untuk membuktikannya benar. Kebenaran menerangi dirinya sendiri. Kebenaran menembusi setiap pelusuk diri kita. Seluruh alam semesta berdiri di hadapannya dan berkata, “Inilah kebenaran.”

"Guru-guru yang paling hebat yang dunia telah kenali ialah guru-guru yang bijaksana dan mempunyai kebenaran bak sinaran matahari. Sebahagian besar umat manusia menyembah guru-guru begini.

"Namun kita boleh mendapatkan bantuan daripada guru-guru yang sederhana juga. Cuma kita sendiri tidak cukup bijak untuk menilaikan orang yang mengajar dan memberi tunjuk ajar kepada kita. Jadi, seorang guru perlu memuaskan beberapa ujian dan syarat tertentu..."

Apakah Syarat-Syarat ini?
Seorang guru mestilah orang yang daripada keluarga yang baik, menjalani kehidupan yang suci dan tidak berdosa, dan mempunyai kawalan diri. Dia juga perlu mempunyai pengetahuan luas dalam kitab-kitab suci, mahir dalam pelbagai teknik meditasi dan sembahyang. Dia juga perlu menyayangi dan bersimpati dengan pelajar-pelajarnya. 

Dalam 
Bhakti Yoga, Swami Vivekananda menegaskan:
"Berhubung dengan seorang guru pula, kita mesti lihat sama ada dia memahami inti sastera agama. Seluruh dunia membaca Kitab Injil, Veda, dan al-Quran. Semua ini hanya kata-kata, sintaks, etimologi, filologi. Itu hanya rangka agama. Seorang guru yang banyak menghabiskan masa dengan kata-kata, tenggelam dalam kata-kata yang indah dan terlepas pandang akan maksud sebenarnya. Seorang guru agama yang sejati ialah seorang yang mengenali intipati sastera agama. Jaringan perkataan dalam sastera agama adalah bagai sebuah hutan belantara di mana fikiran manusia sering sesat dan tidak dapat mencari jalan keluar.”

Sankaracharya dalam Vivekachudamani menyatakan ini begini:  
Vagvaikhari sabdajhari sastra vyakhyana kaisalam
Vaidushya vidushyam tadvat bhuktaye na tu muktaye
Jaringan kata-kata adalah sebuah hutan belantara;
ini menyebabkan fikiran merayau-rayau.’

Swami Vivekananda menjelaskan maksudnya begini: 
“Pelbagai kaedah penyusunan kata-kata, pelbagai cara percakapan dengan bahasa yang indah, pelbagai cara menjelaskan maksud sastera, semua ini hanyalah untuk perdebatan dan keseronokan golongan ilmiawan. Ini tidak akan membantu perkembangan daya tanggapan rohani.’

"Bhagavan Ramakrishna sering menceritakan sebuah kisah beberapa orang yang telah pergi ke sebuah dusun mangga. Mereka sibuk menggira daun, ranting, dan dahan, memeriksa warna dan saiz buah mangga. Mereka mencatatkan semuanya dengan teliti dan kemudian membincangkan setiap topik ini, yang ternyata amat menarik bagi mereka. Salah seorang dalam kalangan mereka, seorang yang lebih bernas daripada yang lain, tidak mengendahkan semua ini. Jadi, dia mula memakan buah mangga. Bukankah dia seorang yang bijak? Jadi tinggalkan kerja-kerja menggira daun dan ranting dan mengambil nota kepada orang lain. Kerja begini memang ada tempatnya, tetapi itu tidak ada tempat dalam alam kerohanian. Kamu tidak akan berjumpa dengan seorang yang kuat alim di kalangan ‘penggira daun’ ini. Kesusahan begini tidak perlu untuk agama iaitu matlamat manusia yang tertinggi dan termulia. 

Syarat kedua yang harus ada pada seorang guru ialah – kesucian. 

Swami Vivekananda meneruskan dalam 
Bhakti Yoga
"Soalan ini sering ditanya, ‘Mengapa kita harus melihat sifat dan peribadi seorang guru? Kita hanya perlu menilaikan apa yang diajarnya, dan mengambil ajarannya.’ Ini tidak betul. Jika seorang hendak mengajar saya tentang dinamik, atau ilmu kimia, atau sebarang ilmu sains, peribadinya tidak penting. Ilmu sains fizikal hanya memerlukan intelek. Sebaliknya, dalam ilmu rohani, ianya mustahil sebarang cahaya rohani boleh diberikan oleh orang yang tidak suci. Macam mana seorang yang tidak suci boleh mengajar ilmu agama?  

"Kesucian jiwa dan raga adalah asas bagi memperolehi kebenaran rohani atau mengajarnya kepada orang lain. Sehingga jiwa menjadi suci, ia tidak boleh melihat Tuhan atau mengalami sebarang pengalaman kerohanian. Oleh itu, mengenai seorang guru agama, mula-mula kita mesti mengetahui peribadinya, dan kemudian apa yang dikatakannya. Dia mesti seorang yang suci murni. Barulah ajarannya bernilai. Barulah dia boleh menjadi seorang ‘pemancar’ yang sebenar. Apakah yang dia boleh berikan jika dia sendiri tidak ada sakti rohani dalam dirinya? Hati seorang guru mesti mempunyai getaran rohani, barulah dia dapat memancarkannya ke hati seorang pelajar. Sebenarnya, fungsi seorang guru ialah untuk memindahkan sesuatu, dan bukan setakat merangsang intelek atau fakulti lain yang sedia ada pada seorang pelajar. Suatu pengaruh yang sebenar dan boleh disanjung dipindahkan daripada seorang guru kepada pelajarnya. Oleh itu, seorang guru mesti suci."

Syarat ketiga adalah berhubung dengan motif. Swami Vivekananda menjelaskannya begini: 

"Seorang guru tidak harus mengajar dengan sebarang motif untuk kepentingan diri – untuk wang, nama dan kemasyhuran. Dengan penuh kasih sayang, dia mesti bekerja demi kasih sayang terhadap manusia sejagat. Cinta adalah satu-satunya perantara yang boleh memindahkan tenaga rohani. Sebarang motif kepentingan diri, misalnya keinginan untuk keuntungan atau nama, akan menutup perantara pemindahan ini dengan segera. Tuhan ialah cinta. Hanya orang yang telah menyedari Tuhan sebagai cinta boleh menjadi guru yang mengajar tentang Tuhan dan ilmu ketuhanan.

Akibat Jika Seorang Guru Gagal Memenuhi Syarat-Syarat Ini?

Sekiranya, seorang guru tidak mematuhi tiga syarat-syarat ini mengajar, apakah yang akan berlaku? Swami Vivekananda memberi amaran ini: 

"Apabila guru kamu memenuhi semua syarat ini, kamu selamat. Jika tidak, ianya berbahaya untuk menerima ajarannya. Ini kerana jika dia tidak dapat memindahkan kebaikan ke dalam hati kamu, dia mungkin memindahkan kejahatan. Kamu mesti sentiasa berwaspada tentang bahaya ini."

“Ramai orang, meskipun jahil, bangga dengan diri sendiri, menganggap bahawa mereka tahu segala-galanya. Tidak cukup setakat itu mereka juga menawarkan untuk menjinjing orang lain di atas bahu mereka. Maka, seperti orang buta menunjuk jalan kepada orang buta, kedua-duanya jatuh ke dalam longkang. “Orang bodoh yang berada dalam kegelapan, bongkah dan megah akan ilmu yang tidak berguna, berjalan berpusing-pusing, seperti orang buta menunjuk jalan kepada orang buta.” Dunia ini penuh dengan orang begini. Setiap orang ingin untuk menjadi guru. Semua pengemis ingin mendermakan hadiah sejuta ringgit! Tidak ada perbezaan di antara pengemis tolol begini dengan guru-guru itu.

Maka, adalah jelas bahawa kita tidak boleh mendapat ilmu rohani daripada orang sebarangan. Hanya seorang yang layak sahaja dapat memberikan ilmu kerohanian. 






Comments

Popular posts from this blog

Kenapa Sembah Berhala?

Soalan Purba Salah satu soalan yang sering dilontarkan kepada seorang Hindu ialah: 'Kenapa kamu sembah patung?' Malah, dalam kalangan penganut Hindu sendiri, ramai yang tidak tahu atau pernah menyoal diri sendiri tentang perbuatan menyembah sesuatu berhala atau gambar. Ini bukan satu soalan yang baru! Soalan ini telah dikemukakan dan dijawab dalam kitab-kitab suci agama Hindu, terutamanya dalam teks-teks   Āgama   dan Purana .  Suatu peristiwa dalam riwayat Swami Vivekananda memberikan jawapan kepada soalan purba ini begini:  Raja Mangal Singh ialah seorang pemerintah di Alwar. Baginda seorang yang berpendidikan moden dan tidak mempercayai agama Hindu.   Dalam suatu pertemuan dengan Swami Vivekananda, Raja Mangal Singh bertitah: “Beta tidak percaya kepada penyembahan berhala. Tengok, beta tidak boleh menyembah  kayu, tanah, batu, atau logam, seperti orang lain. Jadi apakah nasib beta selepas beta mangkat?”   Swami Vivekananda menjawab, “Saya rasa setiap manusia har

Kuil Hindu

Kuil Sri Nandi di Bengaluru Pengenalan  Kuil Hindu sering menjadi bahan cemuhan dan serangan. Apa yang menyedihkan ialah masyarakat Hindu sendiri sering mencemuh dan memandang rendah pada 'Kuil Hindu'. Cemuhan yang sering dilontarkan ialah bahawa tindakan membina atau melawat kuil adalah sia-sia. Mengapakah wang yang boleh digunakan untuk membina sekolah dan membantu orang miskin disia-siakan untuk membina kuil? Apakah gunanya bersembahyang di kuil? Bukankah Tuhan Maha Wujud dan berada di semua tempat? Malah perbuatan sembahyang juga sering dikutuk sebagai perbuatan meminta sedekah!  Semua persoalan ini hanya menunjukkan kejahilan tentang konsep 'Kuil Hindu', perbuatan sembahyang, dan matlamat hidup manusia!  Menurut agama Hindu, matlamat hidup manusia adalah untuk mencapai kebebasan daripada kitaran kehidupan-kematian (samsara) atau dalam kata lain, untuk mencapai Tuhan. Tujuan Kuil Hindu adalah untuk membantu manusia biasa yang menjalani kehidupan beru

Thirukkural & Agama Hindu

Thirukkural dikenali sebagai suatu teks klasik dunia. Teks Tamil ini bukan sahaja suatu mahakarya yang penuh dengan nilai-nilai estetik dan kesusasteraan, tetapi ia juga suatu panduan hidup untuk seluruh umat manusia. Meskipun Thirukkural menjadi kitab untuk seluruh umat manusia tanpa mengenal agama, kaum, bangsa, darjat, dan seumpamanya yang membawa perbezaan sesama manusia, memang tidak dapat dinafikan bahawa Thirukkural patut kepada segala hukum-hukum asas agama Hindu. Thiruvalluvar tidak pada bila-bila masa pun mencabar atau menafikan sebarang hukum asas agama Hindu.  Doa dan Pujian Setiap kitab atau teks suci agama Hindu bermula dengan doa kepada atau pujian untuk Yang Maha Esa. Setiap kitab atau teks suci agama Hindu bermula dengan doa kepada atau pujian untuk Yang Maha Esa.  Thiruvalluvar, penulis Thirukkural Sumber: Pinterest Thirukkural bermula begini: "Agara mudala ezhuththellam Aadhi  Bhagavan mudhatre ulaku." "'A' adalah abja